Home » , » PAS nafi guna tragedi Memali pancing undi PRU14

PAS nafi guna tragedi Memali pancing undi PRU14

Written By Wadah Baru on Isnin, 21 Ogos 2017 | 3:09 PTG

PETALING JAYA: PAS menafikan dakwaan Amanah, anggota Pakatan Harapan, yang mendakwa parti itu mahu menjadikan peristiwa Memali sebagai modal politik untuk memancing undi orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, peristiwa Memali merupakan perkara yang perlu dibincangkan oleh semua pihak dan PAS tidak mempunyai sebarang kepentingan politik dalam hal tersebut.

“Ini bukan soal menarik undi kerana isu ini memang sejak dahulu diperjuangkan oleh PAS,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Dalam komennya awal hari ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan isu tragedi Kampung Memali yang kini muncul kembali sebagai 1 polemik yang dibangkitkan menjelang pilihan raya.
Laporan Sinar Harian hari ini memetik Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata PAS sengaja menimbulkan isu Memali yang berlaku 32 tahun lalu demi meraih undi orang Melayu.
Salahuddin berkata, menjadi perkara biasa apabila seseorang individu menentang BN, mengungkit kembali kesalahan lampau.

Menurutnya, Amanah menganggap perkara itu sudah lama berlaku, hampir empat dekad lamanya.
“Isu ini seolah-olah sengaja ditimbulkan apabila bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersatu dengan kita.

“Apabila seseorang itu menentang BN, maka segala kesalahan masa lalu diungkit kembali. Saya tidak melihat isu itu terlalu besar kerana ia berlaku, pada ketika itu.

“Ini hanya bermotifkan politik untuk ketika ini. Isu dibangkitkan (sekarang) untuk mendapatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu,” katanya.

Menurut Salahudin, Amanah menyambut tangan Dr Mahathir kerana bekas pemimpin negara itu menentang kezaliman paling besar iaitu skandal 1MDB.

“Ketika saya di dalam PAS, pihaknya pernah mengadakan majlis sambutan memperingati Ibrahim Libya.

“Namun, selepas mengadakan mesyuarat bersama Ketua Polis Kedah, majlis itu dihentikan bagi mengelak kekecohan dan rasa tidak puas hati. Hanya sambutan memperingati sekolah yang diasaskan oleh Ibrahim Libya sahaja dibuat,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa kerajaan agar mewujudkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat kembali peristiwa itu.

Peristiwa Memali yang menyaksikan 18 orang terbunuh kembali hangat susulan kekecohan yang berlaku semasa majlis Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, Selangor berikutan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Dr Mahathir.

Malah, minggu lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man merujuk beberapa kenyataan saksi kejadian itu yang mendakwa Kertas Putih yang dikemukakan kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir ketika itu sebagai “pembohongan”.

Beliau turut mempersoalkan sama ada mereka yang pernah mengikuti tragedi itu secara dekat kini menerima hujah Dr Mahathir mempertahankan tindakan pihak berkuasa menyerang Kampung Memali.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa Memali berlaku pada November 1985. Dalam kejadian itu, pertempuran tercetus apabila penduduk kampung mempertahankan Ibrahim Mahmud, seorang guru agama yang tidak disenangi pihak berkuasa ketika itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger