Pemuda Amanah Negeri Perak mahu Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry
Abdul Kadir menyatakan pendirian berhubung kenyataan Naib Presiden Umno
Datuk Dr Zahid Hamidi yang disifatkan menghina dan mengaibkan bekas
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pemudanya Hasnul Zulkarnain berkata, dalam konteks negeri
Perak, Zambry sudah pasti sangat terguris dengan kenyataan rakan
sejawatnya itu yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memandangkan Zambry
juga berketurunan India Muslim.
"Pemuda Amanah Negeri Perak memandang kenyataan tersebut dengan
konteks yang lebih luas lagi dan ia mempunyai agenda politik dalaman
Umno-BN. Kemungkinan kenyataan tersebut adalah kaedah percaturan politik
dalaman menjelang PRU14 ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahid ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat bahagian
Umno Kelana Jaya semalam mengungkit sejarah Tun Dr Mahathir Mohamad yang
berketurunan India dan mendakwa bekas perdana menteri itu mempergunakan
orang Melayu selama 22 tahun pentadbirannya.
Zahid, yang juga menteri dalam negeri, menunjukkan salinan kad
pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l
Iskandar Kutty".
Sambil memegang telefon bimbit dan menunjukkannya kepada hadirin,
Zahid berkata, "Ini IC biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki
Iskandar Kutty. Nombor IC biru dia […] Ini yang dihantar oleh ketua
pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)."
"Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty," katanya.
Beliau juga tidak menafikan ada kemungkinan kenyataan Zahid itu
menggambarkan Zambry tidak lagi mempunyai tempat dalam PRU14 selepas
kemunculan semula Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
yang juga bekas Menteri Kewangan 2.
"Umum mengetahui nama Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah sedang disebut-sebut selepas bekas Menteri Kewangan Kedua itu
'come back' setelah sekian lama menyepi.
"Adakah kenyataan Zahid memberi isyarat Umno tidak lagi mahu lagi
Zambry dalam perancangan BN di Perak? Mungkinkah benar khabar angin
Husni akan menjadi tokoh utama BN di Perak dalam PRU14 nanti?" soalnya.
Sementara itu, Hasnul berkata, Pemuda Amanah Negeri Perak turut
mengutuk tindakan Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri yang
disifatkan sebagai keterlaluan.
"Sebagai pimpinan nombor dua negara, Zahid tidak sewajarnya
mengeluarkan kenyataan yang bersifat perkauman melampau seperti itu,"
katanya.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan