Home » » Parti baru, NewGen akan pastikan kejayaan Pakatan

Parti baru, NewGen akan pastikan kejayaan Pakatan

Written By Wadah Baru on Sabtu, 23 September 2017 | 4:10 PTG

Oleh  

MINORITI terpinggir akan memberikan sekurang-kurangnya 20% undi orang India kepada Pakatan Harapan (PH), kata pengerusi Parti Generasi Baru (NewGen).

Rajaretinam Armuggan berkata Parti NewGen memutuskan untuk menyertai PH kerana mereka mahukan perubahan di Putrajaya.

“Penglibatan langsung NGO dalam kerjasama dengan Parti NewGen akan memastikan kejayaan untuk PH.

“Etnik India akan menjadi penentu di lebih 50 kawasan Parlimen dan lebih daripada 100 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara Orang Asal akan menjadi penentu di hampir tujuh kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN.

“Kami yakin yang Parti NewGen/Mira dengan sokongan lebih daripada 100 NGO akan dapat memastikan 15-20% undi daripada orang India untuk PH dalam kawasan yang orang India akan menjadi penentu kejayaan,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur.

Parti NewGen akan menghantar permohonan menukar nama kepada Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) kepada Jabatan Pendaftar Persatuan (RoS) tidak lama lagi dan kepimpinan terdiri daripada pemimpin NGO yang bergiat aktif di akar umbi lebih daripada 20 tahun.

Rajaretinam berkata NewGen/Mira bermatlamat untuk mengukuhkan lagi PH dan memastikan pembangkang dapat membentuk kerajaan baru di Putrajaya.

“Kami yakin kami dapat memberikan 25 daripada 35 kerusi Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan pada PRU14.

“Selain itu, kami akan membantu mengukuhkan 12 daripada 24 kerusi marjinal pembangkang yang berada dalam bahaya,” katanya.

Katanya, NewGen/Mira tidak mempunyai hasrat untuk bertanding di mana-mana kerusi yang dimiliki mana-mana pemimpin India dalam PH tetapi hanya akan bertanding untuk kerusi yang dikenalpasti dan dibenarkan Majlis Presiden PH.

“(Dengan menyertai PH) Kerana itu, nasib minoriti dan terpinggir akan berubah.

“Kami juga berharap rakan kami dalam PH akan mempertimbangkan permohonan kami untuk menyertai PH kerana kami ikhlas dan tidak meminta apa-apa. Kami tidak mempunyai sebarang tuntutan,” katanya dan menambah yang Putrajaya perlu mengiktiraf Resolusi PBB 1992 Mengenai Hak Minoriti bagi menghalang peminggiran berterusan hak minoriti dan komuniti terpinggir dalam pembangunan negara.

Menyentuh mengenai pertemuan Dr Mahathir Mohamad dengan Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf), Rajaretinam berkata kumpulan Hindu itu bukan pesaing mereka.

“Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Mereka bukan pesaing kami.

“Kami mewakili minoriti pelbagai etnik. Hindraf tidak boleh jadi pesaing (kami) kerana mereka mewakili orang Hindu,” katanya lagi.

Bulan lepas, Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan Hindraf untuk menarik kumpulan pendesak orang India itu menyertai pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata usaha Dr Mahathir menarik Hindraf menyertai pembangkang tidak pernah dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi pembangkang.

Naib Presiden Umno Hishammudin Hussein menyifatkan pertemuan itu sebagai usaha terdesak pembangkang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger