Home » » Amanah bukan parti 'nyamuk’

Amanah bukan parti 'nyamuk’

Written By Wadah Baru on Ahad, 29 Mei 2016 | 7:05 PTG

SELEPAS lapan bulan penubuhannya, Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat begitu yakin untuk menakluk kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan pada 18 Jun depan.

Mempertahankan bahawa kerusi Pas dalam Pakatan Rakyat kini menjadi milik mereka dalam Pakatan Harapan, Amanah kini berusaha untuk mendapatkan sokongan melalui Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Ikuti temu bual wartawan, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA bersama PRESIDEN AMANAH, MOHAMAD SABU bagi membincangkan peluang dan matlamat Amanah yang sebelum ini dilabelkan sebagai parti serpihan Pas.

Selepas lapan bulan pembentukan Amanah, masih ada yang menganggap parti ini adalah serpihan Pas. Jadi bagaimana Amanah menepis persepsi sedemikian?

Alhamdulillah, perkembangan Amanah begitu pesat. Kami dalam Amanah ini ada di antaranya saudara Anuar Tahir (Setiausaha Agung Amanah) yang mempunyai pengalaman luas dalam arena politik dan pernah berada dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) begitu lama. Beliau meletakkan parti Amanah ini sebagai parti yang pesat membangun dalam masa lapan bulan.

Perkembangannya baik sekali. Kita sudah ada lebih daripada 145 kawasan parlimen. Ada pemuda dan wanita yang sudah berdaftar. Sekarang adalah pembangunan di peringkat cawangan-cawangan.

Pejabat kita di peringkat kawasan parlimen begitu banyak terutamanya di Johor dan Selangor. Di Johor, hampir di semua kawasan parlimen sudah ada pejabat pentadbiran dan begitu juga di Selangor.

Jadi bagi saya, di peringkat awal, dilihat sebagai serpihan Pas tetapi sekarang ia telah membesar dan anggotanya terdiri daripada pelbagai golongan termasuk mereka yang tidak berparti sebelum ini dan bekas-bekas Umno mula menyertai Amanah. Kami sudah beransur menjadi sebuah parti baharu yang bersifat terbuka dan bukan dianggotai bekas ahli Pas sahaja.

Ahli Amanah berdaftar sekitar 50,000 hingga 60,000 tetapi dalam proses pendaftaran masih banyak. Sebab ahli dalam proses sudah melebihi 100,000 di peringkat negeri dan kawasan parlimen. Sebabnya, dalam sistem key-in, kita hadapi masalah di kawasan luar bandar. Sistem key-in itu lambat. Memerlukan masa panjang.

Apa pendapat apabila ada yang mengatakan Amanah tidak akan bertahan lama dalam arena politik?

Kita hormat pandangan mereka berdasarkan sejarah yang lalu di mana parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) tidak lama, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) walaupun masih ada tetapi tidak berkembang, Parti Negara yang berhenti di tengah jalan dan Semangat 46. Oleh itu kalau ada pimpinan Pas mengatakan Amanah tidak lama saya tidak marah kepada mereka kerana itu tanggapan biasa.

Bagaimanapun kena lihat di sini, Amanah tidak buat hubungan rapat dengan pemerintah. Kita terus menjadi pembangkang dan terus melawan pemerintah. Maka ia tidak mati dan sedang berkembang. Bahkan kenyataan seorang naib presiden Pas baru-baru ini, di peringkat awal mereka mengatakan parti ini kecil, parti nyamuk, sekarang dia berkata dalam ceramah terakhirnya di Kelantan, naib presiden itu berkata, kalau Amanah bertanding, Pas mungkin boleh kalah di Kelantan tetapi kamu kena ingat apa jawapan kamu nak jawab di akhirat kelak bila parti Islam kalah di Kelantan. Ertinya dia telah akui bahawa Amanah sudah ada kekuatan. Hatta di Kelantan itu sendiri. Amaran itu adalah satu pengiktirafan kepada Amanah.

Selepas penubuhan Amanah, bagaimana hubungan saudara bersama pemimpin Pas?

Saya masih bertegur. Masih berjumpa. Saya tidak ada hal peribadi. Bagi saya kelemahan pada saya banyak tetapi bagi saya seluruh gerakan Islam di dunia ini perlu buat perubahan.

Akhlak dan akidah terpisah. Akhlak Islam ada pada orang Jepun, Korea, Finland, New Zealand.

Orang Islam tiada akhlak Islam. Dia tidak jijik dengan rasuah. Ini yang paling pelik dalam dunia Islam. Dia boleh tengok pemimpin salah gunakan harta rakyat tidak seperti zaman kehebatan Islam dahulu. Kalau Islam nak naik balik, akhlak dan akidah perlu digabungkan semula.

Ketika ini Amanah dilihat mahu bertanding dalam PRK walaupun belum diputuskan Pakatan Harapan. Jadi mengapa Amanah mahu bertanding dan adakah yakin akan menang?

Amanah, secara fahaman umum adalah menggantikan Pas dalam Pakatan Harapan. Oleh itu sebarang kekosongan kerusi di tempat Pas, maka Amanahlah dianggap layak untuk bertanding. Walau bagaimanapun sebarang keputusan adalah melalui Pakatan Harapan. Di situ peringkat terakhir melalui Majlis Presidennya. Tetapi secara persidangan umum, kami nak bertanding di kawasan itu. Walau bagaimanapun ia mesti melalui keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Kita yakin menang di kedua-dua tempat. Kita sudah melakukan tinjauan. Walaupun tiga penjuru. Sebab kita yakin golongan pertengahan akan memihak kepada Amanah dan Pakatan Harapan. Ini kerana bila kita turun pada tiga hari lalu di Sungai Besar, sambutan yang diberikan agak luar biasa termasuklah orang veteran Pas, sahabat-sahabat. Bahkan yang memakai baju Amanah pun ada. Jadi kita yakin.

Jadi kita akan cuba memohon untuk bertanding dan Pakatan Harapan akan memutuskan. Dan kami memang ada orang, ada pekerja. Cukup. Kita boleh turunkan petugas kita. Mungkin 3,000 hingga 4,000 orang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Adakah tujuan Amanah hanya mahu membuat uji kaji sokongan rakyat?

Tidak. Itu adalah keputusan Pakatan Harapan. Itu memang hak kami untuk bertanding dalam pilihan raya dan juga kita nak lihat signal rakyat selepas apa yang berlaku seperti isu dana RM2.6 bilion, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), rasuah dan sebagainya. Ini ujian Amanah dan Pakatan Harapan.

Kalau BN terus menang, kita akan teruskan usaha lagi. Pilihan raya bukan pengakhirannya dalam perjuangan kita. Nak membuat perubahan bukan ambil masa yang singkat.

Bagi saudara, antara BN dan Pas, mana parti yang lebih mendatangkan masalah buat Amanah dalam PRK itu nanti?

Begini, saya jadi penceramah dalam Pas lebih 37 tahun. Dari Ipoh sampai Johor Bahru adalah tempat Pas hilang wang pertaruhan. Selalunya. Kalau di Selangor, tempat yang tidak hilang wang pertaruhan adalah di Sabak Bernam dan Tanjung Karang. Sungai Besar itu parlimen baharu. Lain-lain tempat itu selalunya Pas hilang wang pertaruhan.

Pas mula mendapat undi banyak apabila bersama Barisan Alternatif kemudian Pakatan Rakyat. Undi Pas ini terlalu kecil. Sebab itu bila dia balik secara berseorangan, kita yakin dia balik kepada undi asalnya. Bukan undi yang ada sekarang yang kita melihat di Sungai Besar, Pas kalah hanya 300 lebih undi. Itu undi Pakatan Rakyat. Terutamanya undi bukan Melayu dan saya yakin undi itu semua kalau Amanah bertanding akan pergi kepada Amanah. Sebab itu bila Pas balik kepada secara bersendirian, dia kuat dalam bentuk organisasi tetapi tidak kuat di sudut undi. 37 tahun lebih saya berhempas pulas bersama, bukan saya seorang. Pas hanya boleh mencapai kemenangan bersama barisan alternatif dan kemudian Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan pertembungan satu lawan satu dalam dua PRK tersebut. Apakah pendirian Amanah?

Bagi saya, satu lawan satu tidak boleh antara Pakatan Harapan. Seperti di Sarawak. Itu sebab Pakatan Harapan gagal apabila enam kerusi bertembung. Dengan Pas, dia bukan duduk dalam Pakatan Harapan. Tidak ada masalah. Pandangan Mahathir adalah pandangan peribadinya yang mahukan BN kalah. Kita pun mahu BN kalah tetapi kita dengan prinsip dalam perjuangan.

Bagi kita, ada beberapa sebab kegagalan di Sarawak. Pertamanya adalah Pakatan Harapan gagal meletakkan satu calon. Keduanya adalah pengaruh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Bagaimanapun keputusan di Sarawak tidak menggambarkan apa yang berlaku di Semenanjung. Misalnya menjelang tahun 1999, Pas mula bertanding di Sarawak. Hampir semua hilang deposit. Tetapi selepas itu juga Pas berjaya ambil Terengganu dan Kelantan.

Pas baru-baru ini memecat Datuk Husam Musa dan adalah Amanah mahu memancing beliau untuk menyertai Amanah?

Kita tidak memujuk. Husam adalah seorang yang bijak bestari. Dia seorang yang ada pemikiran dan mempunyai pandangan-pandangan terutama dalam bidang ekonomi. Satu penggal saya
berpengalaman dengannya di Parlimen, memang dia seorang yang boleh memberi cadangan dan membongkar penyelewengan pemerintah, khususnya dalam bidang ekonomi.

Oleh itu kita mengalu-alukan orang sepertinya untuk berada dalam Amanah. Terpulang kepadanya nak pilih parti mana. Bagi saya, saya iktiraf dia seorang yang berkebolehan dalam ekonomi.

Bagaimana pula Amanah melihat berkaitan warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara?
Surat daripada penjara itu tumpuannya kepada masalah dalaman PKR. Jadi saya tidak mahu sentuh panjang soal dalaman mereka. Setiap parti ada masalah dalaman.

Cuma bagi saya, daripada awal saya menyebut, kita kenal Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya sendiri pernah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bahkan dalam Perhimpunan Agung Umno, beliau menyerang saya berkali-kali. Tetapi kita orang Islam berpegang kepada satu prinsip iaitu tentang pemerintah yang zalim dan bukan pemerintah pencen yang zalim.

Kita akui sejarah beliau bukanlah baik di sudut hak asasi dan sebagainya. Tetapi sekarang beliau nak bersama untuk menentang penyelewengan yang begitu ketara.

Kita mengetahui, dengan umurnya 91 tahun, pada pandangan saya, beliau tidak ada perancangan untuk dirinya. Barang kali untuk kumpulannya saya tidak tahu. Saya ambil pada zahir, kerajaan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) ini berada dalam keadaan cukup parah, rasuah yang menjadi-jadi sehingga dunia mengejek.

Satu perkara yang perlu kita akui juga adalah beliau adalah individu yang terkenal di peringkat antarabangsa. Imejnya begitu tinggi di luar negara. Bagaimanapun saya berhati-hati dengannya tetapi penglibatan beliau untuk menjatuhkan Najib, saya sokong kerana bagi kita kalau Najib yang menyeleweng, rakyat bangun menolaknya, ia akan menjadi satu permulaan di Malaysia. Kalau Pakatan Harapan memerintah pula, bila ada penyelewengan, begini juga rakyat perlu lakukan. Bila berlaku begitu, kebaikan akan memihak kepada rakyat. Ini yang berlaku di lain-lain negara.

Deklarasi Rakyat ini mungkin membuatkan pembangkang berpecah kepada dua kumpulan dan mungkin akan memecahbelahkan pembangkang. Bagaimana Amanah melihat situasi itu?

Tidak ada masalah berapa kumpulan yang ada sekalipun. Yang penting, kita melihat bahawa soal menghadapi pemerintah yang rasuah dan menyeleweng ini. Menjelang pilihan raya, kita ada masa untuk menyatukan semua pihak. Barangkali ada pembangkang yang akan bersama dengan BN dan akan juga di kalangan BN yang timbul kesedaran, akan bersama pembangkang dan itu akan menyebabkan berlakunya penjajaran semula politik.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger