Home » » Kenapa PAS perlu nak marah dengan Gerakan Harapan Baru ?

Kenapa PAS perlu nak marah dengan Gerakan Harapan Baru ?

Written By Wadah Baru on Ahad, 19 Julai 2015 | 11:25 PTG

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Gerakan Harapan Baru (GHB) yang diumum baru-baru ini membuatkan mereka menjadi sasaran tembakan peluru-peluru PAS. Pimpinan PAS menyerang mereka bertubi-tubi samada dalam ceramah, mahupun blog dan media sosial.

2) Dalam banyak-banyak serangan, saya simpulkan bahawa peluru yang digunakan adalah berupa serangan psikologi dengan menggelar GHB ini sebagai kumpulan orang kecewa kalah pemilihan.

3) Serangan psikologi ini diasak dan disalut dengan dalil-dalil yang sedap didengar, tajam menikam, panas berapi - membuatkan ahli-ahli dari ceruk kampung tidak akan mendekati kumpulan ini.

4) Apa sebenarnya yang pimpinan PAS mahu? Sebenarnya tak perlu sindir, tak perlu serang. Biarlah GHB tubuh parti baru. Tak perlu pecat, mereka akan gugur keahlian dengan sendiri jika menubuh parti baru.
5) Sepatutnya pimpinan PAS bersyukur kerana orang yang mereka singkir itu benar-benar hilang daripada PAS. Lega bukan? Tapi sebaliknya, pemimpin PAS terjerit-jerit serang psikologi seolah-olah tak mahu mereka keluar daripada PAS.

6) Apakah PAS mahu mereka terus berada dalam PAS supaya psikologi mereka boleh didera secara halus? Jika tidak suka, biarkan mereka. PAS patut buat kenduri macam Ibrahim Ali. Syukur kerana jebon-jebon dah lari.

7) Perlu diingat, kamu gunakan serangan psikologi "orang kecewa kalah pemilihan". Walhal saya beranggapan mereka bukanlah memilih GHB kerana tewas pemilihan. Tetapi mereka tidak boleh terima cara pemilihan yang dilakukan.

8 ) Pemilihan itu bukan sekadar hari Muktamar. Semua orang tahu, berbulan-bulan sebelum Muktamar, mereka digelar sebagai jebon, munafik haraki, macai-DAP, geng liberal dan sebagainya. Mereka dicaci, disindir, diherdik sesuaka hati. Malah siap berdalil aqli dan naqli. Bukan itu sahaja, mereka diasak dengan persepsi untuk menjatuhkan presiden.

9) Hasil cacian dan makian itu meresap masuk ke dalam minda perwakilan dan akhirnya diterjemah melalui pemilihan. Malah pencalonan Ustaz Ahmad Awang memberi bonus kepada kempen "menghapuskan orang yang mahu jatuhkan Presiden".

10) Siapa tidak terasa. Kamu beri contoh Ustaz Hassan Syukri yang tewas tapi tetap istiqamah dengan PAS. Adakah Ustaz Hassan dimaki dan dicaci sebagai jebon dan munafik haraki sebelum pemilihan? Tunjukkan siapa yang telah terus istiqamah selepas dilabel begitu?

11) Ustaz Nasharudin Mat Isa pun terbarai akibat serangan "UG UG UG" dan serangan "agen Umno" yang menyaksikan beliau tewas kepada Mat Sabu. Ke mana Ustaz Nasharudin selepas itu? Hilang dari peta politik PAS. Kecewa dan membawa diri, bukan kerana kalah semata, tetapi kalah kerana hati terluka akibat dicaci maki. Itu sebab dia seorang. Kalau dia seramai 20 orang, dah lama dia gerakkan G20 versi dia sendiri.
(saya pernah terlintas, apakah pemilihan lalu adalah manifestasi balas dendam kumpulan ulama ke atas penyingkiran Ustaz Nasha oleh kumpulan progresif)

12) Pemimpin PAS perlu muhasabah, kenapa mereka mahu menyerang GHB. Saya terbaca tulisan Dr Zuhdi yang penuh fakta dan kaji selidik, berdalil bagai. Tetapi saya tak nampak semua hujah itu terkena kepada kumpulan GHB itu. Sekadar andaian dan tuduhan yang tak berasas.

13) Ya, orang kampung, pembaca harakah cetak, para penyokong bawahan yang kurang maklumat, pasti bersertuju dan hadam habis tulisan Dr Zuhdi itu. Tapi orang-orang yang keluar daripada momokan dan doktrin halus, mereka tidak akan menerima dakyah sedemikian. Jika tidak suka dengan GHB sekalipun, bukanlah tulisan Dr Zuhdi itu hujahnya.

14) Saya antara orang-orang yang tidak bersetuju penubuhan GHB. Tetapi saya tidak menolak penubuhannya kerana mereka yang mahu menubuh GHB lebih tahu apa yang mereka perlu buat. Mereka merasai keperitannya dihalau secara clean sweep.

15) Berbalik kepada serangan psikologi pemimpin PAS, saya rasa lebih baik PAS diam sahaja dan biarkan mereka bergerak mengikut haluan mereka. PAS sudah halau mereka, maka usah sedih dengan kehilangan mereka. Tak perlu serang mereka dengan label pengkhianat, jebon dan munafik haraki lagi.

16) Semua itu hanya akan mendatangkan simpati kepada mereka dan backfire kepada PAS. Bukankah PAS yakin dengan kekuatan sendiri dan sudah bersih daripada unsur-unsur jebon yang mahu jatuhkan Presiden? Mereka tidak akan mampu tarik ahli PAS yang setia. Yang tak setia kepada PAS, buka jalan keluar kepada mereka, usah ditangisi, usah dirindui. PAS akan bersih. Buat kerjalah dengan senang hati. Biarkan mereka, usah meroyan pula.
Sekian.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger