OLEH USTAZ AHMAD AWANG
 Saya memandang berat kenyataan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi 
Awang, Presiden PAS yang mahukan wakil rakyat PAS yang bakal menyertai 
parti baru oleh Harapan Baru untuk meletakkan jawatan mereka sebagai 
wakil rakyat.
Rakyat telah memilih mereka kerana mereka mewakili Pakatan 
Rakyat yang menjanjikan agenda untuk membuat perubahan politik dalam 
negara dengan matlamat menjatuhkan rejim pemerintahan UMNO/BN. Selagi 
mana wakil rakyat yang dipilih kekal memperjuangkan matlamat ini, maka 
mereka layak untuk terus menggalas amanah rakyat.
Di satu segi lain, tidak ada peruntukan perundangan dalam 
Perlembagaan Persekutuan mahupun amalan secara konvensional yang 
mengisyaratkan keperluan meletakkan jawatan.
Kenyataan PAS mendesak mereka meletakkan jawatan dalam 
keadaan mereka terus memperjuangkan hasrat rakyat yang telah mengundi 
mereka adalah membelakangkan kepentingan pengundi.
Seperkara lagi pada saat ini, rakyat mendesak supaya Dato’ 
Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan atas pelbagai skandal 1-MDB 
khasnya perpindahan wang RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi beliau 
dan kegagalan pengurusan ekonomi negara. Nilai ringgit terus menyusut 
dan simpanan asing juga mengecil ke paras yang mencemaskan. Ruang 
mitigasi fiskal  mengelak kegawatan kewangan semakin sempit dan 
‘tambatan ringgit’ tidak akan berkesan ketika simpanan asing terus 
mengecil.
Maka sewajarnya seluruh ahli-ahli parlimen pembangkang 
bersedia untuk mengisytiharkan sokongan mereka terhadap undi tidak 
percaya yang akan dibawa ke atas Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Saya berkeyakinan adalah lebih baik untuk Dato Seri Abdul 
Hadi Awang mengeluarkan kenyataan mendesak mana-mana ahli parlimen 
pembangkang yang tidak menyokong undi tidak percaya ini untuk meletakkan
 jawatan dan mengosongkan kerusi mereka. Kenyataan seperti ini lebih 
mewakili kehendak rakyat.
Yang pasti, wakil-wakil rakyat telah mengangkat sumpah di 
dalam dewan untuk menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan 
tanggungjawab untuk kepentingan negara.
Sikap mereka yang menampilkan komitmen yang tinggi (di 
dalam dan di luar dewan) untuk terus memperjuangkan aspirasi dan 
kehendak rakyat bagi menuntut perubahan untuk negara, tanpa mengira 
parti mana yang mereka wakili, seharusnya diberi pujian dan sokongan, 
bukannya diminta untuk melepaskan jawatan.
USTAZ AHMAD AWANG
Penasihat Umum
GERAKAN HARAPAN BARU
Penasihat Umum
GERAKAN HARAPAN BARU



0 ulasan:
Catat Ulasan