Home » , » Jawapan Kepada Soalan Yang Ditanya Berhubung Harapan Baru

Jawapan Kepada Soalan Yang Ditanya Berhubung Harapan Baru

Written By Wadah Baru on Isnin, 3 Ogos 2015 | 1:15 PTG

Oleh Khalid Samad

Saya telah menerima beberapa soalan berhubung Harapan Baru dan kesannya terhadap hala tuju politik Negara. Saya telah berjanji untuk menjawabnya melalui blog saya kerana saya berpendapat bahawa ianya turut bermanafaat kepada masyarakat ramai selain yang bertanya.

Soalan 1

“Bagaimana pembahagian kerusi pada PRU 14 akan datang dan seterusnya? Jika berlaku pertembungan 3 penjuru (PAS, UMNO dan parti baharu) siapa akan menang?
Pembahagian kerusi akan bergantung kepada suasana sebelum PRU 14. Terdapat 3 kemungkinan.

Pertama, PAS bersama PR 2.0. Dalam keadaan ini pembahagian kerusi boleh dirunding kembali. Mungkin PAS di Pantai Timur dan Harapan Baru (HB) di pantai barat? Perlu tunggu dan lihat. Adakah mungkin PAS kembali berdamai dengan DAP dan Harapan Baru?

Kedua, PAS bersendirian dan HB bersama PR 2.0. Ini akan menghasilkan 3 kemungkinan lagi.

Kemungkinan 2(a): Diadakan persefahaman politik antara PAS dan PR 2.0 dan dengan itu maka kembali kepada keadaan seperti kemungkinan pertama.

Kemungkinan 2(b): PAS bersendirian, tiada persefahaman politik dengan mana-mana pihak. Maka berlaku tiga penjuru seperti yang diinginkan oleh PJ PAS Perak apabila disebut PAS Perak akan bertanding kesemua 59 kerusi DUN Perak. Maka rakyat perlu pilih antara BN, PR 2.0 atau PAS.

Kemungkinan 2(c): PAS mengadakan persefahaman politik dengan BN dan dalam keadaan itu rakyat perlu pilih di antara BN/PAS dan PR2.0.

Ketiga, PAS bersama BN. Maka keadaan kemungkinan 2(c) seperti di atas akan kembali merupakan pilihan.

Sekiranya berlaku 3 penjuru, maka rakyat kena bijak apabila memilih antara calon parti yang ingin menang dan membentuk kerajaan menggantikan BN dan calon yang bertanding “hanya demi keredhaan Allah, kalah pun tidak mengapa”. Maka yang bertanding demi keredhaan Allah, kalah pun tidak mengapa; insyaAllah tercapai matlamat mereka dengan hanya sekadar bertanding. Oleh itu, tidak perlu undi mereka dan undi pihak yang ingin menang dan menggantikan kerajaan BN. Maka dengan itu kedua-dua pihak, iaitu PAS dan HB mencapai matlamat mereka masing-masing. Satu sekadar ingin bertanding demi keredhaan Allah dan satu lagi pihak bertanding untuk menang demi keredhaan Allah.

Siapa akan menang? Bergantung pada kefahman rakyat dan betapa kuatnya keinginan rakyat untuk menggantikan BN. Kalau keinginannya kuat, mengatasi segala yang lain, maka PR 2.0 akan dimenangkan. Lebih-lebih lagi apabila disedari bahawa jika dimenangkan PAS sekalipun, terdapat kemungkinan PAS akan bersama BN untuk tubuh kerajaan seperti pernah dicadangkan pada 2008 dan semasa krisis MB Selangor.

Soalan 2:
“Apakah probabiliti yang tidak akan wujud parti baharu lain jika sekiranya wujud serpihan yang tidak puas hati pula dengan performance parti baharu A pada pilihanraya seterusnya?”
Kemungkinan itu akan sentiasa wujud. Terpulang pada pihak yang terlibat. ‘Serpihan B’ dari PAS pun boleh berlaku bukan sekadar serpihan dari parti baharu A. Namun akhirnya terpulang pada rakyat samada untuk menyokong atau tidak.

Kalau sekiranya parti ‘serpihan B’ dapat sokongan mengatasi parti ‘serpihan A’ dan PAS, dan selepas itu mereka memberi khidmat yang baik; maka satu hari kelak mungkin juga ‘serpihan A’ atau PAS sendiri akan bungkus. Tiada yang kekal kecuali Allah.

Namun kebiasaannya parti serpihan tidak akan menerima sokongan kecuali terdapat sebab dan alasan kukuh di atas penubuhannya.

Soalan 3:
“Apa value added parti baharu ini kepada gabungan baharu nanti seperti dulu PAS menjadi value added kepada Pakatan Pembangkang tahun 1990 dulu?”
Tahun mungkin tidak betul, bukan 1990 yang dimaksudkan? Masa itu PAS bersama Semangat 46 iaitu Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Atau itu yang dimaksudkan? Namun soalannya difahami walau apa pun.

‘Value addednya’ adalah terbentuknya satu gabungan yang benar-benar ingin berkerjasama dan memerintah atas dasar dipersetujui bersama atau ‘common policy framework’. Dasar dipersetujui bersama merujuk kepada dasar yang akan dilaksanakan sebagai kerajaan. Namun, adanya dasar yang dipersetujui ini tidak menghalang setiap parti bergerak di tengah masyarakat membawa agenda khusus parti berkenaan atas nama parti masing-masing.

Keadaan sebegini di mana usaha kerjasama dilakukan secara bersungguh-sungguh dan jujur tidak pernah wujud semasa PR bersama PAS. Dari awal PAS kelihatan teragak-agak seolah-olah berada dalam satu gabungan yang tidak begitu diingininya. Ingat kembali pengalaman dengan Dr. Hassan Ali. Mungkin terpaksa atas sebab hujjah yang dibawa ‘golongan progressive’, atau HB sekarang, yang tidak dapat dijawab sejak dari dulu. Oleh itu keberkesanan gabungan PR tidak dapat dibuktikan dengan sejelas yang diinginkan atas sebab ketiadaan kommitmen 100% dari PAS. Namun begitu, bertambah kerusi juga di Selangor!

PR Selangor wajar dijadikan bukti untungnya PAS melalui PR. Dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Negeri dipersetujui bersama. Sambil itu PAS bergerak di tengah masyarakat membawa kefahaman Islam dan perjuangannya. Masjid dan Surau dibuka luas dan diberikan kebebasan untuk PAS memberikan kefahaman kepada ummat Islam berhubung perjuangan Islam. Malangnya dipersia-siakan peluang ini oleh sebahagian penceramah yang lebih giat memburukkan individu tertentu yang tidak disenangi. Sedangkan dengan itu PAS untung dari dua sudut. Pertama, sebahagian dasar yang ingin dilaksana terlaksana, sebagai contoh, bantuan kepada sekolah tahfiz. Kedua, pada masa yang sama kebebasan bergerak sepertimana yang tidak sanggup diberikan BN telah turut dinikmati.

Malangnya kelebihan ini seolah-olah tidak disedari pimpinan utama walaupun disebut dan dinyatakan berulang-kali oleh PAS Selangor sendiri. Akhirnya hubungan dengan DAP serta PKR tetap dikucar kacirkan dan terjadilah apa yang telah terjadi.

Soalan 4:
“Adakah wujud Baiah sehingga menceraikan isteri sebagaimana laporan Malaysiakini?”
Ya, Baiah itu ada. Pada 2008 hampir semua negeri mengamalkannya. Pada 2013 hanya Kelantan sahaja yang kekal dengan baiah tersebut.

Saya difahamkan ianya mula diamalkan pada 2006 atau 2007 apabila PAS tinggal majoriti hanya 1 kerusi setelah kalah dalam Pilihanraya kecil. Pada asalnya ada majoriti 3 kerusi tetapi apabila sudah kalah pilihanraya kecil tersebut maka kerusi PAS kurang satu dan kerusi UMNO/BN bertambah satu. Sebagai contoh kalau asalnya 25 PAS dan 22 UMNO/BN, maka apabila PAS kalah 1, maka PAS tinggal 24 kerusi DUN sahaja. UMNO/BN pula tambah satu maka dari 22 menjadi 23 kerusi DUN. Bezanya hanya 1 kerusi ADUN.

Dalam keadaan itu, dengan penuh kekhuatiran bahawa UMNO akan cuba beli, ugut dan sebagainya supaya sekurang-kurangnya seorang ADUN PAS akan lompat, maka demi menyelamatkan kerajaan PAS Kelantan, TGNA memanggil kesemua ADUN PAS untuk berbaiah dengan baiah ini. Kekhuatiran PAS pada ketika itu sememangnya berasas. Soal beli calon dianggap amalan biasa pihak UMNO/BN.

Malangnya selepas suasana yang dianggap cemas dan darurat itu sudah tiada lagi, baiah itu terus dikekalkan. Tetapi untuk negeri-negeri lain ianya dibuat tahun itu sahaja dan hasil teguran dan nasihat dalaman sendiri, ianya tidak lagi diamalkan pada 2013. Kecuali di Kelantan.

Soalan 5:
“Apa perbezaan ketara GHB dan PAS yang memberi keyakinan kepada saya untuk tukar tanpa ragu wadah saya?”
Sebenarnya Harapan Baru sahaja iaitu HB dan bukan GHB. Perbezaannya adalah pendekatan. Asas perjuangannya insyaAllah sama, iaitu Islam. Tetapi dalam soal pendekatan HB akan berusaha untuk lebih terbuka dan jujur dalam berpakat tetapi tanpa menggadaikan prinsip Islamnya. Tidak akan cakap lain tetapi buat lain, mungkir janji dan istiqamah tidak hadir mesyuarat. HB ada menunjukkan keinginan bersungguh-sungguh untuk menang dalam PRU 14 bersama PR 2.0 dengan penuh keyakinan kemenangan itu boleh dicapai bersama keredhaan Allah. Juga tidak berpegang kepada kepercayaan khurafat bahawa hanya UMNO/BN boleh memerintah dengan membela nasib Islam dan ummat Islam. Adalah diyakini bahawa insyaAllah PR 2.0 yang HB bersamanya akan menguntungkan perjuangan Islam dan ummatnya dengan lebih baik lagi dan oleh itu HB tidak ‘takut dengan kemenangan’ (fear of success).

Secara ringkasnya HB berpegang teguh dengan konsep Islam sebagai

1. Rahmatan lil ‘alamin, iaitu rahmat untuk seluruh alam bukan untuk orang Islam Melayu sahaja,

2. Politik Islam adalah politik li ta’arafu iaitu untuk berkenalan dan berbaik-baik bukan untuk mengadu domba antara kaum,

3. Matlamat politik Islam ‘li yaquman nasu bil qist’ iaitu untuk manusia menegakkan keadilan sesama manusia secara keseluruhannya dan bukan sahaja untuk Melayu Islam, dan

4. Politik Islam adalah politik amanah dan berpegang pada janji walaupun dengan yang bukan Islam. Rujuk kisah Hudaibiyyah dan ayat 94 Surah An-Nahl serta tafsirannya.

Walaupun PAS akan cuba menyatakan bahawa mereka sama sahaja, tetapi itu terpulanglah kepada rakyat untuk membuat penilaian.

Soalan 6:
“Apakah yang dimaksudkan YB bahawa PAS telah terkeluar dari Baiahnya sendiri?”
Sefaham saya, baiah ini adalah di antara dua pihak. Satu yang memberi dan satu lagi menerima. Kedua-dua pihak ada tanggung-jawabnya terhadap satu sama lain. Dalam konteks baiah yang dilakukan sebagai calon PRU 13, ianya adalah untuk melakukan tugas tertentu, iaitu menjadi calon dalam PRU ke 13 sebagai calon PAS. PAS pula menurunkan calonnya sebagai sebahagian dari Pakatan Rakyat iaitu gabungan PKR, DAP dan PAS. Dalam kempen yang dilakukan semua calon PAS memanafaatkan manifesto PR, bercakap atas nama PR dan berkempen bersama rakan PR. Undi yang diperolehi sebahagiannya adalah atas sebab PAS bersama PR.

Oleh itu apabila membuat baiah sebagai calon PAS, semua memahami bahawa hubungan PAS dan PR, lebih-lebih lagi di Selangor di mana PR memerintah bersama. Ini bererti sambil calon ada baiah dengan PAS dan PAS juga berjanji (atau baiah) dengan PR. Dan janji PAS dengan PR diketahui dan dipersetujui semua calon. Janji PAS dengan PR inilah yang telah lama dilanggar seperti kes Kota Damansara, pil kuda, MB Selangor serta lain lagi dan akhirnya mengambil bentuk rasmi mutakhir ini. Ini menjadikan baiah calon juga yang telah bersetuju dalam konteks dan suasana terdahulu turut tercabar keabsahannya.

Namun demikian saya bersetuju bahawa sekiranya baiah tersebut ingin dilanggar maka perlu yang melanggarnya beristighfar dan membayar kaffarah. InsyaAllah sekiranya ianya dilakukan demi yang kebaikan Islam, Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengampuni.

Soalan 7:
“Bagaimanakah GHB nak atasi persepsi GHB ‘anjing DAP’ untuk meraih undi pengundi luar bandar?”
Persepsi ini akan diatasi melalui kata-kata dan tindakan.

Hakikatnya persoalan perlaksanaan sistem perundangan Islam, termasuk hudud, tetap ada dalam matlamat perjuagan Harapan Baru (HB). Hanya pendekatan ke arah perlaksanaannya adalah jauh berbeza di mana kebergantungan kepada UMNO tidak merupakan sebahagian dari strateginya. Sebenarnya inilah yang membezakan sikap pengasas HB dan PAS. Pengasas HB menganggap UMNO hanya memperalatkan hudud untuk memecah-belahkan PR. PAS berkeyakinan UMNO ikhlas sehingga sanggup memecahkan PR demi mendapatkan bantuan UMNO supaya hudud terlaksana. Siapa betul perlu dinilai sendiri oleh semua.

Kedua, terdapat pimpinan PAS yang beranggapan orang Melayu tidak mahu pada PAS kerana PAS bersama DAP di dalam PR. Kenyataan ini meyakinkan saya bahawa pimpinan tersebut telah termakan dengan propoganda UMNO/BN. Oleh itu usaha ‘bergaduh’ dengan DAP dan mengeluarkan DAP dari PR dilakukan mereka. Sedangkan statistik menunjukkan sokongan Melayu dan bukan Melayu terhadap PAS telah bertambah apabila bersama PR. Amat malang apabila terdapat pimpinan terpengaruh dengan kata-kata UMNO/BN dan MKN. HB menganggap DAP sebagai rakan dan asset, pimpinan PAS melihat mereka sebagai musuh dan liabiliti. Bagaimana untuk selaras?

Maaf kalau tidak sempat menjawab semua soalan. Terlalu banyak. InsyaAllah ianya akan turut dijawab oleh website HB apabila ianya siap dan dilancarkan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger