Pengerusi protem Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu menyatakan
hari ini, beliau kini enggan mengulas apa-apa yang berkaitan dengan
PAS.
Bekas timbalan PAS itu, lebih mesra dikenali sebagai Mat Sabu,
berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan presiden parti Datuk
Seri Abdul Hadi Awang yang seolah-olah berpihak kepada perdana menteri
sejak kebelakangan ini.
"Itu kena tanya dia (Hadi). Kena tanya isi hati dia. Saya tak nak komen atas pandangan peribadi dia.
"Saya tak nak komen lagi hal PAS. Saya dah jadi ahli biasa,"
katanya selepas majlis 'Dialog Terbuka #Harapanbaru bersama Mat Sabu
dan Pimpinan' di Kuala Lumpur hari ini.
Selasa lalu, susulan
rombakan Kabinet, Hadi menggesa wakil rakyat PAS memerhatikan terlebih
dahulu barisan Kabinet yang baru diumumkan sebelum membentangkan usul
tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat.
"Kita tak boleh kata bersetuju atau tidak (dengan barisan Kabinet
baharu)... kita tunggu sejauh mana mereka dapat laksanakan tugas
khususnya bagi isu melibatkan rakyat dan negara," beliau dilaporkan
berkata.
Jumaat lalu, Najib memuji Hadi, menyatakan beliau
menghargai sikapnya yang berpegang pada prinsip seseorang itu tidak
bersalah selagi belum dibuktikan bersalah.
Sementara itu, pada
majlis tersebut Mat Sabu dalam ucapannya berkata, umat Islam di dunia
ini secara umumnya kelihatan hebat dalam perjuangan, tetapi apabila
mendapat kuasa, gagal dalam pemerintahan.
"Kita melihat gerakan umat Islam perlu berubah di seluruh dunia, perlu berani membuat perubahan.
"Isu perkauman masih dimainkan oleh pemerintahan dan orang Islam sudah
terperangkap. Parti Islam juga mudah terperangkap dalam isu
perkauman," katanya tanpa merujuk kepada mana-mana pihak.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 100 orang dan rata-rata daripada
mereka hadir sambil mengisi borang sebagai ahli gerakan itu.
Gerakan itu ditubuhkan oleh pemimpin PAS dari puak progresif dan
golongan profesional yang tersingkir semasa pemilihan parti yang
diadakan pada muktamar tahunan awal Jun lalu.
Mat Sabu enggan komen apa-apa berkaitan PAS lagi
Written By Wadah Baru on Isnin, 3 Ogos 2015 | 2:10 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan