Home » , » PAS mula bertindak, 2 pemimpin GHB bakal digantung keahlian

PAS mula bertindak, 2 pemimpin GHB bakal digantung keahlian

Written By Wadah Baru on Isnin, 3 Ogos 2015 | 2:16 PTG

OLEH ZULKIFLI SULONG

PAS dijangka mula bertindak ke atas ahlinya yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) termasuk
menggantung keahlian mereka pada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hujung minggu ini.Menurut sumber, PAS membuat keputusan itu minggu lalu selepas tekanan semakin kuat agar tindakan diambil ke atas mereka.

"Besar kemungkinan 2 pemimpin PAS yang aktif di Kelantan akan digantung keahlian mereka," kata sumber itu.


Tindakan ini dipercayai diambil ekoran PAS Kota Baru, yang diketuai Penyelaras GHB Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, memecat Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan sebagai ahli jawatankuasa (AJK) PAS Kota Baru.

Keputusan memecat Takiyudin dibuat dalam mesyuarat PAS kawasan tersebut pada 15 Julai lalu, 2 hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Dalam mesyuarat tersebut, Rahim dikatakan turut memecat pengarah pilihan raya PAS kawasan tersebut, Hamid Seman. Kedua-duanya merupakan AJK yang dilantik.

Dalam mesyuarat itu juga, Rahim dikatakan turut menyerahkan tugasnya sebagai yang dipertua PAS Kota Baru kepada timbalannya, Dr Rosli Allani Abdul Kadir manakala beliau sendiri mengambil cuti.

Semalam, PAS Kuala Terengganu mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang menang atas tiket PAS dalam pilihan raya umum lalu selepas beliau dilantik sebagai penyelaras GHB negeri Terengganu.

Pengumuman pelantikannya dibuat dalam satu perhimpunan GHB di Jertih, Besut pada 31 Julai lalu.
"PAS tidak lagi menggabungkan diri, bekerjasama, memberi apa-apa jua bantuan atau kemudahan kepada ahli Parlimen Kuala Terengganu," kata Setiausaha PAS Kuala Terengganu Soud @ Said Mat Ali dalam satu suratnya kepada ahli PAS di kawasan itu.

Raja Kamarul Bahrin dalam satu respons kepada The Malaysian Insider menerima tindakan PAS kawasan itu walaupun yakin beliau tidak bersalah kerana GHB bukannya sebuah parti politik.
"Inilah PAS Terengganu, walaupun setiausaha agung baru kata Harapan Baru hanya sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), tidak perlu ambil tindakan," katanya

Beliau dipercayai merujuk kepada pekeliling yang ditandatangani Takiyudin yang meminta ahli PAS tidak terlibat dengan sebarang kegiatan GHB.

Raja Kamarul Bahrin kesal kerana tindakan PAS Kuala Terengganu seolah-olah mengatasi pekeliling yang dikeluarkan setiausaha agung PAS itu.

Bagaimanapun, arkitek terkenal yang juga calon PAS buat pertama kalinya itu yakin ada kebaikan daripada tindakan itu dengan berkata, "Alhamdulillah ada hikmah di sebalik semuanya ini."-TMI

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger