Oleh Zin Mahmud
Diari.
Semalam aku menziarahi Ahmad Lutfi Othman, bekas ketua pengarang
Harakah bersama adikku Azhar. Beliau agak lemah tetapi masih bersemangat
untuk bercerita. Beliau berasa mual kerana keadaan buah pinggangnya.
Aku faham apa yang dilaluinya.
Setelah bercerita mengenai kesihatan, kami berbual mengenai politik.
Apa yang berlaku dalam PAS dan munculnya GHB bukanlah ada perancangan
daripada kedua-dua pihak yang bertelagah. Ia berlaku dengan kebetulan di
mana satu keadaan membawa keadaan yang lain.
Memang perpecahan ini menyukarkan kedua-dua belah pihak kerana perpecahan ini masuk ke dalam.
Semuanya kena berhati-hati dan menjaga hati. Antara sahabat handai
memanglah. Apatah lagi sanak saudara. Adik beradik pun begitu. Malah
suami isteri. Juga anak dengan mertua. Bapa dengan menantu. Perpecahan
ini memang mendalam dan menyakitkan.
Daripada kes yang diceritakan, aku dapat menyimpulkan perpecahan PAS
ini adalah paling besar dalam sejarah politik negara. Umno yang pernah
berpecah pun tidak mengalami keadaan begini.
Ada orang berpendapat perubahan haluan yang ditunjukkan Ustaz Hadi
Awang menyerlahkan bibitnya sejak pilihan raya umum pada 1998 lagi.
Sejak itu beliau mula mahu berbaik dengan Umno, cuma keadaan tidak
mengizinkan. Ada orang berpandangan perubahan haluannya kepada perpaduan
Umno-PAS adalah tindakannya untuk menebus kesilapannya memecahkan orang
Islam dengan seruan kafir mengkafir dalam perjuangannya menentang
sekularisme pada awal 1980-an.
Tetapi bagi aku legasi Ustaz Hadi ialah memecahkan sebuah parti Islam
dan gerakan Islam besar di negara ini. Selain daripada menjadi pemecah
pakatan antara parti pelbagai kaum yang hampir merealisasikan amalan
sistem 2 parti.
Di sebalik itu, aku juga rasa ada kompleks rendah diri atau inferior
complex di kalangan para ulama yang mendapati diri mereka tidak dapat
muncul sebagai golongan yang boleh menjadi pemimpin dalam dunia sekular
ini.
Dalam Umno, mereka hanya dapat berada sebagai pihak yang menjaga hal
ehwal agama atau berada dalam kedudukan untuk mempertahankan pemimpin
kanan mereka.
Dalam PAS pula mereka bergantung pada aktivis daripada latar belakang
profesional atau golongan bukan ulama. Malah apabila berlaku
penyingkiran golongan yang dipanggil profesional ini pun, ulama PAS
daripada Harun Din di atas terpaksa mendapatkan Umno sebagai pemimpin
mereka.
Adakah sistem pendidikan Islam baik dari dalam negeri mahupun di luar
negeri seperti di Mesir, Jordan dan Arab Saudi, dengan Syria dan Yaman
habis terbakar tidak dapat melahirkan ulama yang boleh mampu muncul
sebagai pemimpin negara, bukan saja memimpin umat Islam tetapi memimpin
rakyat berbilang agama?
Maka pemimpin terpaksa diambil juga daripada kalangan pendidikan
konvensional seperti undang-undang, kejuruteraan, sains sosial,
perubatan dan sains alam.
Justeru tidak hairanlah aktivis IRC/JIM/Ikram yang banyak terdiri
daripada kalangan profesional berasa lebih selesa untuk berada dalam GHB
berbanding masa mereka dalam PAS. Harap harap semuanya baik kelak.
Kecenderungan Hadi kepada Umno mula dikesan sejak 1998
Written By Wadah Baru on Khamis, 20 Ogos 2015 | 3:27 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan