Home » » Mampukah parti Islam baharu buang label ‘proksi DAP’?

Mampukah parti Islam baharu buang label ‘proksi DAP’?

Written By Wadah Baru on Jumaat, 21 Ogos 2015 | 7:18 PG

OLEH SHERIDAN MAHAVERA

Pada ketika Gerakan Harapan Baru (GHB) muncul menjadi satu kuasa mencabar Umno dan PAS
untuk mendapatkan undi Melayu, ia menjadi sasaran kempen memburuk-burukkannya bagi melihat sejauh mana pengaruh terutama di kalangan pengundi atas pagar yang menjadi golongan penting dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Isu perkauman dimainkan bagi menentang gerakan Islam itu dan pemimpin serta penyokongnya yang dilabelkan sebagai proksi DAP – matlamat sebenar adalah untuk membawa DAP ke Putrajaya.
Ia dilakukan untuk menimbulkan kebimbangan palsu terutama di kalangan orang Melayu luar bandar dan kelas bawahan, di mana mereka akan rugi daripada segi pekerjaan, pendidikan dan kuasa politik jika DAP, yang pemimpin utamanya bukan Melayu berkuasa.

Jadi, walaupun sebelum GHB melancarkan parti politiknya, terdapat persoalan sama ada pemimpinnya boleh menawan kawasan utama Melayu dan merancang untuk menariknya daripada Umno dan bekas rakan dalam PAS. Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, GHB mempunyai peluang tipis untuk mengancam sokongan PAS di kalangan orang Melayu walaupun ia dipimpin bekas pemimpin parti Islam itu yang dikenali dan merupakan ahli Parlimen parti.

"Sebelum ini, apabila PAS bekerjasama dengan DAP, Umno melabel PAS sebagai proksi DAP, dan kita merasa sukar untuk mendapatkan sokongan. Sekarang parti baharu ini akan memakai label itu," katanya yang juga bekas setiausaha agung PAS.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia juga memainkan peranan dalam memberi gambaran DAP yang paling untung hasil kerjasamanya dengan GHB.

Kedua-dua pihak, bersama dengan PKR, dijangka bergabung tenaga untuk mewujudkan pakatan pembangkang baharu bagi menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang kini tidak berfungsi.

Bekas pemimpin DAP Johor Norman Fernandez percaya yang persepsi itu akan kekal.

"DAP sangat-sangat memerlukan sebuah parti Melayu-Islam untuk membantu mempengaruhi undi Melayu. Pada masa lalu, hubungan dengan PAS memberi DAP manfaat yang besar.

"Jika tidak kerana PAS, pemimpin DAP tidak boleh menjejakkan kaki dan bercakap di kampung dan kawasan Melayu yang konservatif," kata Fernandez, yang keluar daripada DAP kerana hubungannya dengan PAS.

Label lama
 
Pemimpin parti baharu yang bakal ditubuhkan GHB, Parti Amanah Rakyat atau Amanah bagaimanapun yakin label proksi tidak akan mengurangkan sokongan orang Melayu dengan berkata, ini dapat dilihat daripada jumlah kehadiran di road show anjuran mereka.

"Di semua tempat yang kami lawati, majoriti orang yang keluar berjumpa kami adalah Melayu, daripada semua pihak. Tua dan muda," kata Salahuddin Ayub, yang juga timbalan pengerusi GHB.

"Jika kebanyakan mereka orang bukan Melayu maka kita akan bimbang, tetapi itu tidak berlaku," kata bekas naib presiden PAS serta orang yang bertanggungjawab terhadap road show GHB di kawasan majoriti Melayu di Johor, Perlis dan Kelantan.

Beliau juga mempertikaikan persepsi ramai orang Melayu akan termakan helah DAP. Ini kerana PAS sendiri mendapat banyak sokongan orang Melayu di Semenanjung Pantai Barat apabila ia dilabel sebagai proksi DAP semasa kedua-duanya dalam PR.

"Ketika kami di dalam PR, kami berjaya mengembangkan sokongan kami di luar pangkalan tradisional (Semenanjung Pantai Timur)."

Seorang lagi pemimpin GHB Khalid Samad berkata, pengundi pada pilihan raya akan datang, sama ada Melayu atau bukan Melayu, akan mencari gabungan yang benar-benar boleh mencabar Barisan Nasional (BN) dan membentuk kerajaan baharu.

Sentimen ini beliau percaya, akan menjadikan mereka melihat semua retorik perkauman masa lalu yang digunakan terhadap GHB.

Berbanding mana-mana pemimpin PAS, Khalid menjadi sasaran strategi kotor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan pesaingnya cuba menjatuhkan beliau daripada kerusi Parlimen majoriti Melayu di Shah Alam itu.

"Rakyat Malaysia cukup berpengalaman melihat strategi ini. Ia pernah cuba sebelum ini tetapi tidak berkesan," kata Khalid, yang meningkatkan majoriti kemenangan dalam PRU13 walaupun kempen perkauman digunakan terhadapnya.

Masalah lebih besar
 
Faktor kaum masih berkesan di kalangan orang Melayu, kata Ibrahim Suffian dari Merdeka Center, tetapi ia hanya untuk memastikan orang Melayu yang secara tradisinya mengundi Umno beralih sokongan.

Ibrahim berkata, masalahnya ialah pengundi Umno membentuk 45% hingga 50% daripada penduduk Melayu di mana-mana kerusi.

"Faktor kaum masih penting kerana ia merupakan bank undi besar Umno. Itulah sebabnya ia akan menjadi sukar bagi mana-mana pihak baharu untuk mendapat ruang dalam pilihan raya,” katanya.
Ibrahim berkata, ini akan menjadi masalah lebih besar kepada parti baharu.

Katanya, jika Umno berjaya mendapatkan bank undi itu dengan memainkan retorik perkauman, undi bukan Umno Melayu yang lain akan berpecah jika parti baharu GHB berdepan dengan PAS.

Ini kemungkinan sebenar memandangkan parti baharu dijangka bertanding di kerusi yang sama seperti PAS dan Umno.

Khalid menyedari ini, tetapi percaya jika ia adalah pilihan di antara PAS dan GHB dalam PRU14, pengundi bukan Umno akan memilih parti sebahagian daripada pakatan yang boleh membentuk kerajaan.

Dan sekarang, masa depan gabungan bukan BN seterusnya tidak mungkin termasuk PAS.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger