Home » , » Najib, dunia sedang memerhatikan, berpada-padalah…

Najib, dunia sedang memerhatikan, berpada-padalah…

Written By Wadah Baru on Selasa, 4 Ogos 2015 | 9:40 PG


Oleh Dzulkefly Ahmad

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lagi menghiraukan apa jua pandangan umum terhadap dirinya. Beliau berhenti mempedulikan popularitinya dari kaca mata rakyat dan masyarakat dunia. Beliau hanya punya satu matlamat iaitu "menyelamatkan dirinya".

Untuk tujuan itu, beliau sanggup lakukan apa jua. Pergolakan mutakhir penuh aksi menggemparkan sedang ditonton rakyat adalah di bawah pengarahan Najib. Tidak perlu seorang pundit politik untuk meramal jalan ceritanya.

Ya, Najib memang tidak punya pilihan. Situasi ini lazim disebut sebagai "damn if you do and damn if you don’t" atau "ditelan mati emak, dibuang mati bapak". Najib mula percaya beliau paling berkuasa di negara ini dan tidak dapat dikalahkan atau ditundukkan! Pecat, tangkap dan gantung akhbar biasa sahaja buat Najib kini.

Tentunya episod mutakhir adalah seluruhnya berhubung siasatan dakwaan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) awal bulan lalu yang sejumlah wang RM2.67 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib sudah siap. Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam langkah terakhir untuk membuat pendakwaan terhadap Najib. Menghidu akan tindakan tersebut, Najib bingkas bertindak bagi memintas langkah itu. Beliau panik. Pertama yang disingkirkan peguam negara sendiri. Nasib 3 lagi ahli pasukan petugas khas (special task force) juga ketidaktentuan.

Mereka bukan calang-calang peribadi, elit tertinggi negara; Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Pemecatan Gani, 60 hari sebelum tarikh bersaranya jelasnya tindakan “desperado”. Gani banyak mencurah khidmat kepada Najib dan Umno-Barisan Nasional (BN). Tidak siapa sangsikan kesetiaannya. Namun, kesemua itu lenyap daripada radar kompas moral Najib. Atau memang beliau tidak ada kompas itu.
Kini, rakyat mahu tahu apakah Najib mampu menghalang lanjutan daripada siasatan yang dilakukan. Apakah peguam negara baharu berani mendakwa Najib? Nanti kita perhatikan.

Bagi menjayakan rancangannya, Najib juga bertindak “melumpuhkan” Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan melantik pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed ke dalam Kabinet. Untuk memastikan kelancaran makarnya itu, 3 ahli PAC juga dilantik. Presiden Transaprency International-Malaysia menyelar tindakan Najib yang tidak punya integriti dan tidak langsung menghormati keluhuran undang-undang.

Sekali gus semakin terserlah Umno tidak lagi punya pemimpin berwibawa kerana semuanya mudah dibeli dengan jawatan Kabinet. Demi jawatan semua sanggup membelakangkan kemaslahatan rakyat yang kononnya mereka perjuangkan. Alahai pemimpin Umno…

Bagi menghantar satu mesej yang keras buat semua pimpinan di semua peringkat, Najib memecat timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Juga tersingkir adalah seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Afdal.

Kedua-dua berani bersuara tentang perlunya siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus dibuat. Adalah jenayah besar dalam Umno bagi sesiapa pun yang berbicara tentang 1MDB dan Najib. Apa sudah jadi?

Mesej itu jelas buat semua. Untuk memastikan semua faham, Najib memanggil semua pengerusi badan perhubungan negeri seluruh negara ke rumah rasminya petang Jumaat. Apakah ada lagi pemimpin Umno berdarah Jebat untuk berani "memberontak"? Sama-sama kita saksikan. Ada, tetapi rakyat mahu lihat sejauh mana keberanian mereka.

Memang Najib sedang menyerlahkan "kejantanannya" yang sedikit masa dulu sangat dipertikaikan. Dia juga ibarat "harimau yang cedera". Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, memahami isyarat bosnya, lalu segera bertindak selaku pahlawan yang setia.

Gesaan Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw untuk prosiding dan proses siasatan diteruskan segera disanggah speaker. Beliau nampaknya tidak fasih "Standing Order" Dewan Rakyat, nampaknya Speaker silap. Harap baca baik-baik peraturan mesyuarat 83(3) tentang korum mesyuarat dan 77(3) kedudukan ahli jawankuasa yang lain yang boleh dilantik untuk mempengerusi mesyuarat. Alahai Speaker.

Di mana komitmen speaker untuk menjadikan Parlimen Malaysia sebagai “World-Class’. Memang kata-kata itu murah. Salah satu ciri "a failed state" adalah apabila institusi-institusi kritikal semak-imbang seumpama "cabang legislatif" yakni Parlimen dimandulkan dan tidak lagi punya wibawa dan upaya untuk menghentikan ‘segala kemungkaran’ pihak "cabang eksekutif". Negara sedang mengalami “kegagalan dan kereputan sistemik” yang sangat parah.

Ekonomi, nilai mata wang, kos saran hidup, pertentangan kaum dan agama dan lain-lain...di "tahap terminal"!
Dengan tindakan yang diambil Najib ini, saya ramalkan tidak akan ada sesiapa pun yang akan berani untuk mengheret beliau ke kandang orang salah untuk didakwa. Terkini semua pihak menafikan wujudnya draf kertas pertuduhan terhadap Najib.

Kenyataan rasmi SPRM sudah pun segera menafikan wujudnya draf kertas pertuduhan terhadap Najib. Dakwa mereka, siasatan masih belum selesai dan bagaimana pula pertuduhan dibuat pasukan petugasa khas tersebut.

Nah, kalau asalnya ada cita-cita pasukan petugas khas untuk dakwa Najib, kini perdana menteri sudah pusingkan semuanya ke atas mereka. Najib dan kuncu-kuncunya, khasnya Tan Sri Mohamad Apandi Ali akan dakwa "konspirator" yang hendak "menggulingkan" perdana menteri yang sah.

Ini bukan sahaja berita celaka buat pasukan petugas khasi, bahkan buat seluruh rakyat! Hakikatnya, Najib mengisytiharkan perang kepada rakyat Malaysia!

1Bukan sahaja Najib adalah punca segala kemelut dan keberantakan bersabit dengan 1MDB yang beliau merupakan pengerusi lembaga penasihatnya. Beliau kini sedang menjerumuskan seluruh negara dalam krisis yang bukan kepalang, melibatkan hampir semua pihak dan institusi-institusi penting dalam negara. “Sempurna” sudah krisis di negara malang ini.

Paling ngeri dan menakutkan buat saat ini, belum ada yang jelas bagaimana akan berakhir kemelut ini. Tun Dr Mahathir Mohamad pun tidak kedengaran suaranya lagi..Alahai tanah airku!

Ayoh, seluruh patriot, bangkit pertahan tanah airmu! Jom...bersama Bersih 4.0 29 dan 30 Ogos! Jumpa anda di sana!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger