Home » , » Tiba-tiba Peguam Negara baru kepanasan, panik

Tiba-tiba Peguam Negara baru kepanasan, panik

Written By Wadah Baru on Sabtu, 1 Ogos 2015 | 12:58 PTG

Oleh DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR

1.Beberapa  hari lepas saya telah menegaskan bahawa pemberhentian Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara adalah tidak sah dan melanggar peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan kerana tidak ada tribunal siasatan ditubuhkan bagi membuat rekomendasi kepada Yang Dipertuan Agong berhubung dengan kedudukan beliau sebagai Peguam Negara. Meskipun saya bukanlah seorang peguam atau terlatih di dalam bidang undang-undang, namun pandangan yang sama turut diutarakan oleh ramai peguam dan ahli undang-undang di dalam negara ini. 

2. Dicelah-celah polemik yang timbul berhubung dengan tafsiran sebenar Perkara 145 tersebut, tidak semena-semena Peguam Negara yang baru  iaitu Tan Sri Apandi Ali nampak ‘kepanasan’ dan panik dengan hujah-hujah yang mempertikaikan kesahan (validity) pemberhentian Tan Sri Gani Patail selaku Peguam Negara hingga memaksa beliau mengeluarkan kenyataan rasmi yang pertama di atas kapasiti selaku Peguam Negara bagi mempertahankan pemecatan Tan Sri Gani Patail atas alasan ianya sah dan tidak melanggar Perlembagaan. Sikap melatah yang ditunjukkan oleh Peguam Negara yang baru ini bukan sahaja melucukan, bahkan kelihatan janggal kerana seolah-olah beliau sangat tergugat dengan pertikaian yang timbul terhadap cara Gani Patail dipecat dan dengan itu beliau juga kelihatan tidak yakin dengan kesahan pelantikan beliau selaku Peguam Negara yang baru.

3. Saya juga berpendapat meskipun kenyataan rasmi yang dibuat oleh Peguam Negara tersebut adalah sebahagian daripada tugasnya untuk memberikan nasihat dan pandangan perundangan, tetapi oleh kerana soal pemecatan dan pelantikan Peguam Negara menyentuh secara langsung kedudukan peribadi beliau, maka tidak sepatutnya Peguam Negara sendiri mengeluarkan kenyataan tersebut kerana jelas berlaku percanggahan kepentingan (conflict of interest) yang melibatkan diri beliau sendiri. Sudah tentu beliau akan mempertahankan pemecatan Tan Sri Ghani  itu sah dan tidak melanggar Perlembagaan. Sekiranya beliau berkata ia tidak sah dan melanggar Perlembagaan, bermakna pelantikan beliau juga tidak sah. Sepatutnya biarlah orang lain yang mentafsir kedudukan yang menyentuh kepentingan beliau.

"Selamatkan Rakyat Dan Malaysia Tercinta!"

 DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger