Home » , » Ahli PAS sertai Amanah kecewa sikap presiden, haluan condong kepada Umno

Ahli PAS sertai Amanah kecewa sikap presiden, haluan condong kepada Umno

Written By Wadah Baru on Ahad, 13 September 2015 | 3:28 PTG

Oleh Tanaka Mustafa

Berdasarkan pemerhatian, mereka yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) adalah golongan yang kecewa dengan sikap PAS sejak kebelakangan ini.

Saya tidak fokus kepada G18 yang tewas pemilihan. Saya membuat pemerhatian dari satu kawasan ke satu kawasan yang dilanda gelombang Gerakan Harapan Baru (GHB).

Rata-rata akar umbi yang menyertai Amanah adalah mereka yang kecewa dengan PAS berdasarkan pengalaman kerja mereka bersama Pakatan Rakyat (PR).

Kawasan mereka rata-rata tidak mempunyai konflik dengan PKR dan DAP, malah kerjasama mereka erat. Mereka rasakan peluang dakwah terhadap bukan Islam terbuka luas di samping harapan untuk memenangi pilihan raya wujud jelas.

Mereka memperkenalkan PAS yang membawa Islam yang syumul kepada rakan-rakan DAP dan PKR. Mereka meyakinkan “PAS for all” kepada pengundi-pengundi bukan Islam.

Apabila Majlis Syura Ulama (MSU) bertindak memutuskan hubungan dengan DAP, mereka menjadi serba salah dengan rakan-rakan DAP dan PKR yang sudah terjalin persahabatan selama ini. Mereka rasa di mana mahu letak muka atas dakwah sebelum ini.

Dengan itu, mereka bertindak keluar PAS dan bersama Amanah yang dianggap boleh meneruskan kerjasama mereka.

Antara faktor lain, mereka kecewa dengan sikap golongan ulama PAS yang dianggap kasar, kurang bekerja untuk dakwah kepada bukan Islam, retorik dalam ceramah dan sebagainya.

Faktor lain lagi, mereka menganggap pimpinan PAS terpengaruh dengan dakyah Umno untuk membenci DAP.

Dan mereka menganggap pemimpin atau ulama yang bersetuju dengan pembatalan tahaluf siyasi adalah jumud dan tidak melihat pada sudut lebih luas. Hanya melihat pertelingkahan yang terpencil.

Mereka sekarang beriktikad  Nakhoda PAS sudah mengubah haluan, maka mereka mesti mencari kapal lain untuk ke destinasi. Sebab itu segala baiah dianggap batal kerana PAS sekarang bukan PAS semasa mereka berbaiah.

Falsafah mereka sekarang, bulan bukan hanya bercahaya, malah sisi gelap bulan juga ada.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger