Home » , » PKR bertemu PAS esok, bincang Pakatan Rakyat 2.0

PKR bertemu PAS esok, bincang Pakatan Rakyat 2.0

Written By Wadah Baru on Ahad, 13 September 2015 | 3:18 PTG

PKR dijangka bakal bertemu wakil PAS esok bagi membincangkan kemungkinan kerjasama yang akan dilaksanakan pembangkang untuk menubuhkan Pakatan Rakat 2.0, kata Rafizi Ramli.

Setiausaha agung PKR itu berkata, usaha yang dilakukan presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut dilakukan bersama parti pembangkang lain termasuk Parti Amanah Negara (Amanah)

"Presiden kami sudah memulakan proses duduk berbincang dengan setiap pihak.

"Kami duduk dan berbincang dengan Amanah, pada Rabu dan akan berjumpa PAS esok, tapi DAP belum lagi, jemputan sudah diberikan," katanya kepada pemberita, selepas menghadiri Kongres Mahasiswa Kebangsaan di Ampang, Selangor hari ini.

Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan berkata, pertemuan itu akan berlangsung di Ibu Pejabat PKR pada jam 2.30 petang.

"PKR ada beban kami perlu satukan semua pihak, sejak mula saya rasa PAS akan sukar untuk sertai, tetapi tidak bermakna kita perlu keluarkan mereka daripada proses," katanya.

Meskipun mengakui terdapat kesukaran untuk merealisasikan perkara itu, Rafizi berkata, setiap parti pembangkang perlu sedar matlamat utama mereka adalah untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Bukan tugas mudah untuk satukan dua pihak yang berbeza, tetapi apa yang penting ialah lawan BN.
"Akhirnya, menewaskan BN adalah kunci segalanya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dimaklumkan sama ada pertemuan itu akan berlangsung bersama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau tidak.

"Saya tidak dimaklumkan Hadi akan hadir, ini pertemuan kedua, sebelum ini dalam mesyuarat pertama diwakili timbalan presiden PAS (Datuk) Tuan Ibrahim (Tuan Man)," katanya, dan menambah, kebiasaannya barisan kepimpinan tertinggi PKR, termasuk Dr Wan Azizah akan menghadiri pertemuan itu.

Katanya, hasil pertemuan itu berkemungkinan memberikan beberapa pilihan termasuk penyertaan semua parti pembangkang dalam PR 2.0.

"Tetapi bagi mereka yang ingin menyertai pakatan itu perlu mematuhi kerangka dan prinsipnya.
"Model selain itu adalah jika PAS tidak sertai, tidak berada dalam pakatan baru, akan ada kerjasama berkaitan urusan pilihan raya bagi memastikan tiada pertandingan antara pakatan baharu dan PAS," katanya.











0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger