Home » , » Fikir kritis: Baiah talak tiga

Fikir kritis: Baiah talak tiga

Written By Wadah Baru on Selasa, 8 September 2015 | 3:54 PTG




APAKAH tujuan fatwa? Persoalan Syeikh Nurudin Lemu berusaha membuka mata kita bahawa terdapat dua jenis ulama: ulama teks dan ulama konteks.

Ulama teks ialah ulama yang hanya mengikut teks bulat-bulat tanpa memikirkan sama ada fatwa yang diberinya itu membawa lebih manfaat atau mudarat.

“Ustaz, mengapa wajib bayar zakat dengan menggunakan makanan asasi iaitu beras, bukan tunai?”
“Kerana kita mengikut Mazhab Shafie!” kata ustaz. Jika inilah jawapan yang diberi, ustaz ini ialah ulama teks. Dia tidak memikirkan tentang konteks masyarakat yang sudah berubah. Baginya, mazhab adalah agama yang haram dipersoalkan.

Bayangkan ulama konteks mempersoalkan ustaz ini. Kalau mengikut Mazhab Shafie menambah masalah lagi, adakah kita masih mengikut Mazhab Shafie dalam konteks ini?

Bagi ulama konteks, tujuan fatwa ialah menyelesaikan masalah atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah, bukan menambah masalah kepada umat dan dakwah. Islam adalah rahmat dunia. Maka, syariah mempunyai maqasid-maqasid (objektif-objektif) yang wajib dijaga demi maslahat manusia.

Taksub kepada mazhab sehingga mengabaikan maqasid-maqasid syariah akan membawa fitnah kepada Islam. Maka, menjaga agama adalah maqasid yang paling utama sekali. Fatwa yang dikeluarkan mestilah tidak menjadi landasan fitnah kepada maruah agama sebagai rahmah lil-‘aalamiin, bukan mengikut Mazhab Shafie bulat-bulat.

“Mengapa baiah talak tiga itu sah, jatuh talak tiga?” Kalau soalan ini ditujukan kepada Pas pada 2009, gambaran yang pertama diberi oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali ialah, “Saya juga telah menghubungi beberapa wakil rakyat Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Mereka juga memberitahu tidak pernah melakukannya. Saya sendiri terkejut dan tidak tahu mengenai kewujudan baiah itu sebelum ini.”

Ini adalah respons Mustafa setelah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan wujudnya amalan baiah talak tiga seperti ini pada 2009.
Jika soalan yang sama ditanya pada tahun ini, 2015, respons Pas jelas berbeza dan jauh lebih tegas dan jelas. Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata bahawa baiah talak tiga sudah diamalkan di Kelantan sejak 2004. Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh begitu tegas mengiyakan kewujudan baiah ini dengan berkata, “Kalau dia (calon pilihan raya) tidak hendak dengan baiah ini, jangan bertanding atas tiket Pas.”

Di sini kita lihat perbezaan yang ketara antara respons ulama Pas pada 2009 dan pada 2015. Mengapa berbeza?

Pada 2009 sebelum berpecah, ulama Pas lebih condong untuk memberi gambaran bahawa Pas menganggap baiah talak tiga adalah satu keaiban. Kalau tidak aib, mengapa merahsiakan?

Pada tahun ini, 2015, ancaman Parti Pekerja Malaysia terhadap Pas terlalu dirasai. Timbul persoalan: adakah Pas benar-benar memperjuangkan Islam atau ketuanan ulama?

Ulama konteks akan tanya, “Apa tujuan baiah talak tiga ini? Untuk mengikat pada parti atau perjuangan Islam? Pas adalah satu entiti parti, bukan agama. Budaya chai akan merosakkan Pas.

Ulama-ulama Pas begitu menegaskan sahnya talak tiga secara teks tetapi mereka tidak jawab persoalan konteks: Kalau seorang wakil rakyat yakin tanpa sebarang keraguan bahawa Pas sebagai parti politik tidak lagi memperjuangkan Islam seperti dahulu, adakah wakil rakyat ini haram keluar dari parti Pas? Dan jika keluar, akan tertalak tiga, atau dilaknat ALLAH SWT?

Kalau ya, maka Pas memang bukan lagi sebuah parti yang memperjuangkan Islam sebagai agenda paling utama. Bagaimana ulama Pas boleh menegaskan kewajiban ahlinya untuk terus kekal bersama sebuah parti yang sudah tidak memperjuangkan Islam?

Sama ada terjatuhnya talak tiga atau tidak, saya setuju dengan kenyataan Dr Zaharuddin Abd Rahman, Presiden Murshid bahawa “baiah tercerai isteri dengan talak tiga itu masih boleh bergantung kepada niat calon Pas yang menyebut dan teks yang dibacakan.”

Ulama perlu tanya ahli Pas apakah niat baiahnya. Walaupun teks menyebut baiah kepada parti, adakah dia berniat bahawa dia hanya akan setia pada parti selagi parti setia pada perjuangan Islam yang sebenar. Jikalau satu hari timbul keyakinan bahawa partinya tidak lagi memperjuangkan Islam, maka kesetiaan ini tidak lagi wajib kerana dia tidak memberhalakan parti seolah-olah parti itu maksum, seolah-olah Pas adalah Islam dan Islam adalah Pas.

“Pihak hakim syarie mestilah tidak terlalu literal,” Dr Zaharuddin menegaskan, “lalu menjatuhkan keputusan jatuhnya talak tiga tanpa mendalami dan mengambil kira suasana dan keadaan di mana baiah dan lafaz taklik dibuat, maqsad lafaz taklik, keadaan pelafaz dan sebagainya.”

Bagi saya, janganlah seorang ulama yang berhikmah terperangkap dengan strategi politik satu parti untuk mengekalkan kuasanya.

Dalam YouTube, “Wakil Rakyat Keluar Pas, Jatuh Talak Tiga – Hadi Awang”, Presiden Pas berkata, sambil tergelak-gelak bahawa “Kalau dia keluar parti, jatuh talak, pejabat agama akan datang tangkap kerana duduk dengan isteri yang sudah ditalak. Ini kadi kata, bukan saya kata. Jadi, kalau kita pecatnya bermakna tak ada apalah.  Ini dia, mengapa kita tak pecat.”

Talak adalah dibenci. Mengapa Haji Hadi berbicara tentang talak tiga secara gelak ketawa seolah-olah sedang berbicara tentang kahwin lagi?

Di sini jelas, talak tiga adalah dirancang untuk kepentingan parti politik. Presiden Pas membuat strategi pelan untuk memastikan talak tiga terjatuh jika keluar Pas. Strateginya ialah Pas tidak memecat wakil rakyatnya yang berniat untuk keluar dari Pas. Pas mempunyai pilihan untuk pecat dulu untuk selamatkan keluarga tetapi Pas tidak memilih alternatif ini. Bahkan menyalahkan suami mangsa!

Walaupun talak dibenci oleh Nabi Muhammad SAW, apatah lagi talak tiga, yang utama bagi Pas ialah survival partinya. Matlamat menghalalkan cara walaupun cara itu dibenci oleh agama.

Saya tidak hairan kalau satu hari, samseng ah long pun akan menggunakan janji talak tiga ke atas mereka yang terdesak kewangan.

Bahkan saya tidak hairan kalau anak-anak keluarga mangsa akan memijak-mijak gambar Presiden Pas! Merancang talak tiga adalah lebih mudarat daripada memijak-mijak gambar Haji Hadi!

Mengesahkan baiah talak tiga akan menambah masalah lagi bagi umat dan dakwah secara keseluruhan tetapi akan menguntungkan sebuah parti politik.

Islam mewajibkan bersifat ihsan bila sembelih ayam. Kita dilarang menayangkan pisau depan mata ayam. Adakah kita bersifat ihsan dalam isu baiah talak tiga ini dalam 'menyembelih' ahli-ahli parti?
Institusi keluarga adalah tonggak jemaah Islam. Seorang anak wajib meminta izin kedua ibu bapanya untuk keluar berjihad. Adakah baiah talak tiga menghormati institusi kekeluargaan?


*Abdul Naser Tun Rahman Ketua  Biro Pendidikan, Persatuan Cina Muslim

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger