Home » , » Saya memberi 14 hari dari tarikh ini untuk Pesuruhjaya PAS Terengganu ...

Saya memberi 14 hari dari tarikh ini untuk Pesuruhjaya PAS Terengganu ...

Written By Wadah Baru on Selasa, 8 September 2015 | 3:48 PTG

OLEH YB RAJA KAMARUL BAHRIN

Muqadimah: Berikutan asakan bertalu talu olih Pas Kuala Terengganu dan Pas Negeri untuk saya melepaskan Kerusi Parlimen, saya terpaksa memberi response. Bagaimana pun saya dapati sebahagian sebaran hanya menyiarakan SEPARUH dari keseluruhan text saya. Di sini saya sertakan text sepenuhnya.

Sebelum PRU 13, pada bulan Mei 2013 PAS, PKR dan DAP bersetuju memohon mendaftar Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti Gagasan pembangkang yang akan bertanding di bawah satu lambang, iaitu Pakatan Rakyat. Permohonan tersebut telah di tolak oleh R.O.S.

Bagaimanapun PAS, PKR dan DAP masih bertanding di bawah konsep “Pakatan Rakyat” walaupun terpaksa menggunakan lambang masing-masing (untuk mengelak pertandingan 3 penjuru dengan Barisan Nasional).

Perkara pokok dan hakikat sebenarnya di sini adalah kesemua parti bersetuju bertanding di bawah Satu Pasukan – Pakatan Rakyat, di mana pemilihan oleh rakyat adalah atas dasar muafakat satu pasukan.

Selepas PRU 13, PAS mulai :-

(i) Meninggalkan konsep “PAS untuk semua” (PAS for All) dengan menjauhi diri dari golongan bukan Islam, bukan Melayu dan juga DAP serta PKR. Selepas Muktamar bulan Jun 2015 PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP secara rasmi. Ini perubahan besar konsep asal sebelum PRU 13.

(ii) Keputusan bersama secara konsensus bersama PKR dan DAP tidak lagi dilaksanakan oleh PAS dalam Pakatan Rakyat.

(iii) Pada Muktamar Jun 2015, kesemua golongan profesional di singkir dari Jawatankuasa PAS Pusat dan ini memusnahkan konsep kerjasama asal profesional dan Ulama, satu lagi perubahan besar.

(iv) Berikutan itu, DAP dan PKR telah bersetuju mengumumkan pada bulan Ogos 2015 Pakatan Rakyat telah tiada lagi dan tidak lagi wujud.

Pada hemah saya, segala Konsep Perjuangan asal yang di persetujui sebelum PRU 13 secara berpasukan telah tidak lagi di amalkan oleh PAS.

Perkara ini amat lebih ketara selepas Kemangkatan Almarhum Tok Guru Nik Aziz pada 12 Februari 2015.

Di atas kesedaran perubahan segala Konsep Perjuangan di atas oleh PAS, saya berhijrah kepada Harapan Baru - Parti Pekerja untuk meneruskan perjuangan melalui sebuah Parti Islam mengikut Legasi Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, bekas Mursyidul Am PAS.

Dalam Surah Al-Maidah Ayat 89 ada menyebut tentang Yamin atau Aiman yang diberi ruang untuk menebus Sumpah Baiah jika berlaku perlanggaran. Hukumnya ialah :-

1) Memerdekakan seorang hamba

2) Berikan makan 10 miskin dari apa kita makan

3) Berpuasa 3 hari

Saya memilih yang kedua akan memberi makan 10 miskin, untuk menebus sumpah seperti di sebut dalam Ayat 89 Surah Al-Maidah.

Nabi Muhammad S.AW bersabda – “BARANG SIAPA YANG BERJANJI BERSUMPAH SESUATU LALU MELIHAT ADA YANG LEBIH BAIK DARI JANJINYA YANG DI ANGKAT MAKA DATANGILAH YANG LEBIH BAIK ITU DAN HENDAKLAH IA MEMBAYAR DENDA KAFFARAH.”

Berkenaan desakan untuk saya meletak Jawatan sebagai Ahli Parlimen sebenarnya tiada peruntukan dalam mana-mana undang-undang. Saya mohon Pesuruhjaya PAS Terengganu terlebih dahulu menyiasat perkara-perkara di bawah kerana kesemua Ahli Parlimen, yang bersidang hanya 3 kali setahun, di bayar gaji serta elaun untuk berkhidmat untuk Rakyat.

Saya menuntut Pesuruhjaya Terengganu membentang rekod-rekod rasmi aktiviti Ahli Parlimen PAS dari Terengganu, termasuk juga saya, seperti di bawah :-

(i) Kehadiran harian termasuk beberapa jam sehari setiap sessi oleh Ahli-ahli Parlimen Terengganu sejak PRU 13 dari Rekod Kedatangan Rasmi Parlimen sendiri.

(ii) Kekerapan bilangan ucapan-ucapan serta isu-isu yang di bawa oleh ahli-ahli Parlimen PAS Terengganu dalam Dewan.

(iii) Apakah prestasi Rekod Sidang Akhbar - Media isu Rakyat setiap Ahli Parlimen Terengganu melalui kemudahan yang di sediakan di Parlimen untuk mereka keluaran akhbar dan media alternatif – sosial.

(iv) Adakah Ahli-ahli Parlimen Terengganu terlibat dalam aktiviti-aktiviti melibatkan imbuhan berbayar lain semasa waktu sessi Parlimen sedang berjalan dari jam 10 pagi hingga tamat sessi malam memandangkan mereka di bayar gaji khidmat Parlimen.

(v) Rekod Kehadiran Ahli-ahli Parlimen Terengganu di Mesyuarat Pengurusan Mingguan Ahli-ahli Parlimen PAS di Pejabat Pembangkang Tingkat 14 Parlimen yang di panggil oleh Ketua “whip” PAS Dato’ Mahfuz Omar.

Setelah Pesuruhjaya membentang prestasi dan kehadiran setiap Ahli Parlimen Terengganu barulah beliau dan Rakyat – Pengundi boleh membuat penilaian siapakah sebenarnya yang patut meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Saya mohon fakta-fakta ini diperjelaskan dahulu 14 hari dari sekarang. Biarlah hukuman yang hendak di jatuhkan berasas pada fakta-fakta di atas.

Saya juga mohon Pesuruhjaya menjelaskan kenapakah tiada Ahli Parlimen dari Terengganu yang berlatar belakang Agama mengambil bahagian berucap pada 18 Jun 2015 hari akhir sessi Parlimen apabila Dato’ Mahfuz Omar menimbulkan kegagalan Kerajaan dan Parlimen sekali lagi membentang Akta Pindaan Enakmen Syariah Kelantan 355 Hudud di Parlimen.

 Kenapa mereka yang sepatutnya lebih arif dalam isu ini memilih berdiam diri di Parlimen dalam isu yang selama ini di gegarkan di kawasan masing-masing.

Saya memberi 14 hari dari tarikh ini untuk Pesuruhjaya PAS Terengganu membentang kepada rakyat rekod Ahli Parlimen Terengganu. Biarlah rakyat jelata mengetahui fakta-fakta keadaan sebenarnya prestasi Ahli Parlimen mereka sebelum menjatuhkan apa-apa hukuman atas mereka. Sesungguhnya Islam menuntut pertimbangan fakta-fakta yang benar untuk proses keadilan sebelum menjatuhkan hukuman.

Kesemua pengundi termasuk ahli-ahli biasa PAS berhak mengetahui prestasi sebenar wakil rakyat mereka di Parlimen.

Raja Bahrin Shah
Ahli Parlimen
Kuala Terengganu

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger