Home » , » PAS dan sindrom politik narsisisme

PAS dan sindrom politik narsisisme

Written By Wadah Baru on Selasa, 8 September 2015 | 2:08 PTG

Oleh Rizal Hamdan 

Mitos seringkali ditemukan dalam sejarah ketamadunan manusia. Ia bukanlah sebatas cerita khayalan, bahkan turut mengandungi nilai ‘psiko-politik’ samada masyarakat (kolektif) mahupun individu.

Sebagai contoh, hikayat Sang Sapurba, Nila Pahlawan dan Krishna Pandita menunggang lembu puteh dalam ‘Sulalatus Salatin’ mengambarkan tentang legitimasi yang dimiliki tiga beradik ini untuk diangkat sebagai pemimpin, berikutan perlambangan naratif lembu puteh yang dianggap suci dalam ‘ethos’ masyarakat setempat ketika itu.
Kemungkinan kisah ini benar-benar wujud atau sebaliknya, namun persoalan utama ialah bagaimana mitos ini dibina bagi membentuk pemikiran dan budaya masyarakat.

Menyedari betapa menariknya mitos dalam memahami ‘psiko-politik’ masyarakat, penulis menggunakan analogi berasaskan mitos Narcissus bagi menganalisis psikologi-politik Parti Islam SeMalaysia (PAS), khususnya mengenai masa depan mereka di persada politik nasional. Sindrom politik narsisisme
 
Mitos Greek purba memperihalkan watak pemuda bernama Narcissus. Seorang yang mempunyai rupa paras yang kacak dan digilai pari-pari cantik.

Akibat terlalu takjub akan bayangan ketampanan sendiri, Narcissus akhirnya terjatuh ke dalam kolam dan mati lemas (terdapat versi lain yang menyatakan beliau akhirnya bertukar menjadi sekuntum bunga ditepi sungai).

Secara umumnya, Narsisisme merupakan perasaan cinta atau kagum terhadap diri sendiri yang keterlaluan. Ahli Psikologi terkemuka, Sigmund Freud (1856-1939) turut menjadikan topik ini sebagai salah satu minat penyelidikan beliau dalam aliran psychoanalysis.

Masalah narsisisme bukan hanya terjadi terhadap individu, bahkan ia turut menular dalam parti politik. Gejalanya hampir serupa, sesebuah parti politik tertentu merasakan mereka lebih hebat, gagah sehingga menolak kerjasama dengan parti politik yang lain.

Sikap ‘perasan hebat’ ini selalunya didorong doktrin mereka ‘wakil Tuhan’ (agama), pelindung bangsa (etnik) atau pembela kelas pekerja atau pemodal (ideologi). Akibatnya, seperti mana nasib Narcissus, parti politik yang terpesona dengan kehebatan sendiri ini akhirnya tersungkur dan dikesampingkan dari kancah politik negara.

Contohnya, kes kekalahan Anna Dravida Munnetra Kazhagam (ADMK) yang tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Tamil Nadu 1996, setelah ‘pecah kongsi’ dengan parti Kongres.

Dalam konteks Malaysia, penulis melihat salah satu parti konservatif terbesar di Malaysia iaitu PAS sedang dijangkiti sindrom yang sama, bahkan berpotensi kalah besar dalam PRU yang akan datang jika sindrom politik narsisisme ini berlarutan dalam parti.

PAS terpesona bayang sendiri
 
Jika ditelusuri sejarah, politik narsisisme sudah mula membarah dalam PAS sebermula 2004 dengan pengistiharan Negara Islam sebagai manifesto mereka. Jika pada PRU 1999 mereka berjaya menguasai sebanyak 27 kerusi Parlimen, akibatnya ia merosot kepada 7 kerusi Parlimen pada PRU 2004.

Kedegilan PAS untuk meneruskan agenda Negara Islam mereka bukan sahaja menyebabkan kerjasama dengan parti komponen terjejas bahkan mereka kehilangan pentadbiran negeri Terengganu dan hanya berbekal kelebihan 1 kerusi bagi meneruskan kesinambungan kerajaan di Kelantan.

Namun, pada PRU 2008, memperlihatkan PAS menguggurkan agenda Negara Islam daripada manifesto mereka untuk bergabung dalam kerjasama Pakatan Rakyat (PR). Tindakan berkompromi ini membolehkan PAS kembali merebut 24 kerusi Parlimen dan menerajui pentadbiran Kedah dan Kelantan, di samping menjadi rakan kongsi pentadbiran di Selangor dan Pulau Pinang.

Walaubagaimanapun, kejayaan dalam perkongsian kuasa PR pasca 2008 memperlihatkan berkembangnya sindrom politik narsisisme dalam PAS bilamana terbitnya perasaan mereka lebih kuat dan berjaya jika bersendirian. Maka, bermulalah perang dingin antara PAS dengan rakan kongsi seperti DAP yang akhirnya memecahkan PR.  

Meneliti corak berpolitik PAS, setiap 10 tahun sekali, organisasi ini akan dijangkiti sindrom politik narsisisme. Setiap sedekad, mereka akan mula terlupa mereka merupakan parti yang seharusnya bergelut dalam kancah politik bagi merebut kekuasaan.

Berikutan itu, timbullah laungan bebal mereka bukan sekadar parti, bahkan sebuah ‘Gerakan Islam’. Persoalannya, apakah itu gerakan Islam? Adakah ia sebuah parti politik, NGO, atau sekadar perkumpulanan sesama minat (interest group)?

Ahli dan pimpinan PAS yang dibius doktrin ‘Allah bersama mereka’ terlalu bersifat fatalistic (berserah bulat-bulat kepada takdir) tanpa perancangan strategik yang rapi. Hegemoni pemikiran seperti ini menuntaskan sindrom politik narsisisme dan akhirnya menyebabkan PAS semakin menjauh dari realiti politik semasa.

Berikutan itu, tidak hairan sama sekali PAS mengambil keputusan untuk bergerak secara ‘solo’ tanpa sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti. Hal ini terjadi kerana mereka merasakan parti mereka dilindungi Tuhan berbanding parti-parti lain di Malaysia.

Akibatnya, mereka terpesona dengan ‘bayang-bayang sendiri’. Penulis melihat tindakan ‘tidak strategik’ PAS ini adalah suatu kerugian jangka masa panjang.

Politik angkuh yang merugikan
 
Politik narsisisme dalam PAS terbit berikutan sikap angkuh pimpinan serta kegagalan ahli strategi mereka dalam membaca budaya dan situasi politik tempatan. Tidakkah pimpinan PAS sedari mereka bakal kehilangan kerusi khususnya di kawasan undi bercampur?

Jika diteliti kembali PAS gagal merebut kawasan majoriti pengundi etnik Melayu misalnya di Selangor dalam PRU 2013. Kebanyakan kawasan yang dimenangi PAS adalah kawasan bandar yang rata-ratanya undi bercampur.

Jika dalam beberapa penggal pilihan raya, PAS masih gagal menewaskan Barisan Nasional (BN) di kawasan majoriti Melayu, apakah pertimbangannya yang mereka mampu memenangi kawasan ini di masa hadapan?

Kegawatan ini semakin diburukkan dengan potensi pertandingan 3 penjuru di antara PAS, BN dan AMANAH dalam PRU akan datang. Penulis berpendapat pada PRU akan datang, kemungkinan besar BN berpeluang menguasai kawasan yang kini dimiliki PAS, sementelahan berlakunya ‘undi pecah’ (Vote splitting).

Terbaru, timbalan presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan angkuh mengeluarkan kenyataan ketiadaan PAS dalam Bersih 4 begitu dirasai. Jika anda melihat politik daripada ruang lingkup etnik, kenyataan ini seolah-olah benar.

Namun hakikatnya, PAS tidak memahami penyertaan rakyat berbilang etnik yang lebih besar berbanding Bersih 3 memberikan isyarat, PAS semakin jauh terkeluar daripada realiti politik semasa.
Situasi semakin diburukkan dengan kenyataan tidak cerdik pimpinan PAS seperti Nik Abduh yang dilihat senada dengan parti pemerintah. Realitinya, anda (PAS) memilih untuk tidak bersama dengan ‘mood semasa’ rakyat, maka bersedialah untuk menjadi parti yang paling tidak popular, khususnya di kawasan pantai barat semenanjung dan Sabah-Sarawak (yang PAS sudah sedia tidak popular).

Penulis berpendapat, sikap angkuh pimpinan PAS mencerminkan mentaliti sempit dan sikap tidak sedia mereka dalam usaha ‘mengarus perdanakan’ PAS dalam kancah politik Malaysia. Hakikatnya, agenda ‘PAS for All’ hanyalah tinggal impian yang tidak kesampaian kerana perasaan angkuh pimpinan dan sikap fatalistik ahlinya yang menyebabkan mengakarnya sindrom politik narsisisme dalam parti mereka.

Mungkin sudah takdirnya PAS mengalami seperti nasib Narcissus yang angkuh dan terpesona dengan kehebatan sendiri, sehingga akhirnya tenggelam jauh dalam badai politik Malaysia. –

* Rizal Hamdan merupakan aktivis politik & Koordinator Kuliah Bangsar Utama.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger