Oleh Tun Mahathir
1. Saya hadir dalam tunjuk perasaan anjuran Bersih pada 29-30 Ogos.
Ramai yang tertanya-tanya apakah saya sudah jadi penyokong Bersih.
Apakah saya sokong parti lawan DAP dan Kit Siang. Ada juga yang bertanya saya sudah memihak kepada orang Cina.
2. Saya pernah menyatakan demonstrasi jalanan tidak harus diguna untuk
tekanan politik kerana ia menjejaskan perniagaan terutama perniagaan
kecil dan ekonomi Negara. Apakah sekarang perbuatan saya tidak menunjuk
sifat berdolak-dalik dalam politik.
3. Saya tidak
setuju dengan tunjuk perasaan kerana ada saluran lain yang boleh
digunakan untuk menekan Kerajaan apabila menyalahguna kuasa.
4. Kita
boleh buat laporan polis, dengan harapan polis dan Pendakwa Raya akan
ambil tindakan, menghadapkan pihak yang dituduh ke mahkamah.
5. Tetapi sekarang Najib sudah bubar dan musnahkan institusi-institusi Kerajaan yang ditugas untuk melindungi hak rakyat.
6. Apabila dituduh telah lesapkan duit Kerajaan melalui 1MDB, Najib
serah siasatan kepada Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang
Negara (PAC – Public Accounts Committee) Dewan Rakyat. Rakyat disuruh
tunggu sehingga siasatan oleh badan-badan ini selesai.
7.
Apabila wang sebanyak RM2.6 bilion terdapat dalam akaun peribadi Najib,
dan dia tak dapat menafi duit ini ada dalam akaunnya, dan ramai
bertanya daripada mana duit ini datang, dan penjelasan yang munasabah
tidak dapat diberi oleh Najib, maka satu pasukan bertugas (task force)
dibentuk untuk secara rasmi menyelidik wang ini.
8. Pasukan ini terdiri daripada Pendakwa Raya, Ketua Polis Negara, Ketua Badan Pencegah Rasuah dan Gabenor Bank.
9. Rakyat menunggu hasil siasatan ini. Tiba-tiba Pendakwa Raya
disingkir oleh Najib, Ketua Badan Pencegah Rasuah diarah bercuti, dan
Gabenor Bank diugut kononnya kerana Bank Negara bocor maklumat. Dan
terhentilah siasatan oleh badan ini.
10. Di masa yang sama
Pengerusi PAC dan tiga lagi ahli diberi jawatan dalam Kerajaan dan
siasatan berkenaan wang 1MDB oleh PAC pun dihentikan.
11. Beberapa pegawai polis dan lain-lain pegawai dipindah ke jawatan lain supaya tidak lagi dapat meneruskan siasatan.
12. Yang ditinggal dan yang baru dilantik adalah orang yang tidak
tunjuk minat untuk membuat siasatan, bahkan sengaja menghalang apa-apa
siasatan terhadap 1MDB dan duit RM2.6 bilion dalam akaun Najib.
13. Semua saluran untuk menyiasat 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun Najib sudah tidak lagi ada.
14. Sebaliknya Najib dan konco-konconya sering mendakwa duit RM2.6
bilion adalah derma. Tidak pula diperkenalkan penderma, punca
kekayaannya, bentuk wang yang diberi, bank yang terlibat dan lain-lain
butiran. Sebenarnya dakwaan ini tidak boleh diterima akal.
15.
Kepada pemimpin UMNO Najib mendakwa bahawa RM2.6 bilion ini adalah untuk
pilihanraya ke-14. Jika untuk parti belanja membeli nasi lemak atau
minuman atau sewa kereta seperti dahulu, jumlah ini beratus kali ganda
wang yang diperlukan.
16. Tetapi untuk sogok pemimpin dan ahli
Dewan Rakyat dengan berjuta tiap seorang, untuk sogok pegawai supaya
menipu, besar kemungkinan wang sebanyak RM2.6 bilion diperlukan.
17. Jika Najib menang kerana sogok wang, dia akan perlu lebih banyak
wang lagi untuk mengekalkan dirinya sebagai PM dan untuk PRU 15. Dari
mana akan datang berbilion lagi jika tidak secara haram.
Malaysia akan
diperintah oleh seorang Perdana Menteri yang bergantung kepada rasuah.
Najib sendiri berkata “Cash is King” “Wang Tunai adalah Raja”. Raja
inilah yang disembah oleh Najib.
18. Najib akan nafi tetapi
keadaan Negara sekarang amat buruk. Hubungan kaum tegang. Nilai Ringgit
dan saham jatuh dengan teruknya jauh lebih teruk dari Thailand,
Singapura dan lain-lain Negara. Kos sara hidup melambung naik kerana GST
dan lain-lain. Hutang Negara bertimbun dan lain-lain.
19.
Inilah masa depan Malaysia jika Najib kekal. Segala cara menukar
Perdana Menteri yang mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara
sudah ditutup oleh Najib. Hanya dengan suara keramat rakyat dibantu
dengan undi tidak percaya Dewan Rakyat sahaja yang boleh menjatuhkan
Najib dan menyelamatkan Negara daripada perasuah.
20. Oleh itu
saya terpaksa menyertai demonstrasi jalanan anjuran Bersih yang bertema
singkirkan Najib kerana rasuah, dan saya rayu kepada ahli Dewan Rakyat
UMNO dan BN supaya menyokong undi tidak percaya kepada Najib. BN tidak
akan jatuh setelah Najib disingkir. BN masih parti majoriti.
21. Selagi Najib berkuasa selama itulah ekonomi merosot, nilai Ringgit
jatuh, saham jatuh, kos sara hidup meningkat kerana GST, hutang Negara
bertimbun dan tidak dapat dibayar, pengangguran bertambah, berbilion
duit rakyat disalahgunakan.
22. Inilah nasib yang menunggu Malaysia kerana Najib.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan