OLEH ZULKIFLI SULONG
Reaksi
PAS yang dilihat berlebihan terhadap aksi segelintir peserta Bersih 4
memijak gambar pemimpin mereka akan menjauhkan lagi parti Islam itu dari
pentas utama politik negara, kata seorang bekas pemimpin parti itu.
Ini kerana, tindakan itu hanya akan menjauhkan mereka daripada ratusan
ribu peserta Bersih 4 dan penyokong mereka selepas berpisah daripada
rakan dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP, kata bekas setiausaha
agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar.
Katanya, tindakan PAS itu juga dibuat ketika mereka sedar perbuatan itu
satu provokasi pihak luar dan bukan datangnya dari penganjur Bersih 4,
kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0.
"PAS akan semakin jauh dari pentas utama politik negara dengan tindakan
itu setelah tidak bersama-sama dengan rakyat Malaysia dari pelbagai
kaum menyertai Bersih 4.
"Sudahlah mereka tidak bersama Bersih, kini mereka mahu menyerang
peserta Bersih dan penganjurnya dengan alasan ada yang memijak gambar
pemimpin mereka.
"Padahal mereka tahu itu kes terpencil dan perbuatan agen provokasi," kata Kamarudin
Ahli Parlimen Tumpat itu mengulas tindakan PAS yang mahu membuat
bantahan besar-besaran termasuk laporan polis, ekoran tindakan
segelintir peserta Bersih yang dilihat memijak gambar presiden mereka
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Gambar dan video tindakan beberapa wanita yang menyertai perhimpunan
Bersih itu kini viral melalui media sosial khasnya kumpulan perbincangan
WhatsApp.
Sedangkan pada masa sama, pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad
Sabu, juga tidak bersetuju dengan tindakan memijak gambar sebegitu walau
dilakukan oleh sesiapapun.
"Perbuatan memijak gambar walaupun dilakukan oleh sesiapa, terhadap
sesiapa pun, amat saya tidak setuju," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau sendiri mengakui pernah merasa pilu apabila gambarnya dipijak
sebahagian ahli dan pemimpin PAS pada satu demonstrasi di depan pejabat
PAS menjelang muktamar tahunan dahulu.
"Saya timbalan presiden ketika itu, alangkah pilu dan malunya saya dan
sebahagian pemimpin tidak melenting pun waktu itu," katanya yang lebih
dikenali sebagai Mat Sabu.
Sehubungan itu bagi Kamarudin, tindakan ini selain menjauhkan lagi PAS
dari pentas utama politik negara, juga menunjukkan parti itu tidak
ikhlas kerana tindakan sebegini juga dilakukan pemimpin mereka sebelum
ini.
Kumpulan yang memimpin PAS sekarang juga yang memijak gambar sebahagian
yang lain dalam satu demonstrasi di depan ibu pejabat parti ketika
berkempen menghalau sebahagian pemimpin yang kini berada dalam GHB.
Sementara itu, ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed
hari ini berkata, penghinaan peribadi perlu ditolak dalam amalan
berpolitik di negara ini kerana ia merupakan politik emosi dan nafsu.
Katanya, apa yang perlu dikembangkan sebagai gantinya ialah politik ilmu dan politik hujah.
"Insiden ini, meskipun kecil dalam satu himpunan besar seperti Bersih,
dan diperlakukan oleh mungkin anak muda yang agak beremosi, mengajak
kita para pemimpin utama politik menilai pendekatan dan batasan
masing-masing dalam mengemukakan perbezaan pandangan dan pendapat,
termasuk dalam berpolitik," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, menjadi kewajipan setiap pemimpin utama mana-mana parti
politik mendidik ahli membezakan antara perbezaan pendapat dan
penghinaan terhadap peribadi seseorang.
"Penghinaan kepada mana-mana pemimpin utama parti politik boleh mengundang reaksi balas yang tidak dapat dijangka.
"Akhirnya, ia boleh membawa kepada pertembungan yang lebih buruk
terhadap keharmonian bermasyarakat" katanya yang mengakui sayap parti
itu meneliti dengan prihatin insiden itu menerusi rakaman video yang
viral tersebut.
Reaksi berlebihan jauhkan PAS daripada politik arus perdana
Written By Wadah Baru on Rabu, 2 September 2015 | 10:44 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan