Home » , » Muhasabah Dan Tanya Diri Mengapa Orang Pijak Gambar Pemimpin

Muhasabah Dan Tanya Diri Mengapa Orang Pijak Gambar Pemimpin

Written By Wadah Baru on Rabu, 2 September 2015 | 10:45 PG

OLEH YB MOHD HANIPA MAIDIN

Memijak gambar mana mana orang apatah lagi pemimpin sesuatu organisasi memang tidak wajar dan
tidak mencerminkan nilai agama atau budaya mana mana bangsa atau kaum. Maka jika ada reaksi dari ahli dan penyokong parti yang mana gambar pemimpin pemimpin mereka itu dipijak ini suatu yang normal dan dan mudah dijangka.

2. Tidak mustahil jika selepas ini ada pula reaksi dan aksi memijak gambar gambar pemimpin yang lain sebagai tindak balas daripada ahli ahli Pas atau Umno ke atas perbuatan memijak itu atas dasar balas dendam.

3.Sebab itulah di dalam Al Quran , Allah melarang umat Islam menghina sembahan sembahan mereka yang menyembah selain Allah . Mengapa ianya dilarang? Jawapannya kerana perbuatan menghina itu akan membuka ruang untuk penyembah penyembah sembahan selain Allah itu menghina Allah pula. Maka jika Allah dihina kerana serangan balas itu , punca kesalahan adalah daripada orang Islam itu sendiri. Sebab itu Ibnu Kathir dalam tafsirnya membawa sebuah hadith yang mafhumnya bermaksud jika ibu dan bapa kita dihina oleh orang lain ia mungkin berlaku kerana perbuatan kita sendiri apabila kita memulakan penghinaan ibu bapa orang lain itu.

4.Sebab itu juga apabila ada pemuda Umno suatu ketika dulu menghina kepercayaan orang orang Hindu melalui demonstrasi kepala lembu di Shah Alam kita menganggap perbuatan tidak bertanggungjawab itu berpunca kerana kejahilan Umno tentang ajaran Islam itu sendiri.

5.Cumanya dalam konteks dua gambar pemimpin yang dipijak gambar mereka dalam perhimpunan Bersih 4, saya melihat reaksi pemimpin pemimpin Pas tertentu terhadap kes pijak tersebut agak tidak konsisten.Ini kerana apabila ada gambar gambar mantan pemimpin pemimpin Pas yang dipijak gambar mereka dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh orang orang Pas di depan Ibu Pejabat Pas sendiri tidak pula kedengaran kata kata yang menghentam perbuatan jijik itu jauh sekali melabel tindakan itu sebagai perbuatan biadap. Jika kita tidak melahirkan kekecewaan perbuatan sebegitu suatu masa dulu apa legitimasi kita untuk melahirkan kekecewaan perbuatan yang sama pada masa ini ?

6.Bagi dua pemimpin yang dipijak gambar itu mungkin elok juga bermuhasabah dan melihat dalam diri kenapa rakyat sanggup pijak gambar anda berdua. Adakah mereka yang pijak gambar itu hanya bersuka suka sahaja atau ianya hasil satu natijah daripada kemarahan yang amat sangat mereka kepada anda berdua.

7.Adakah anda berdua tidak rasa bahawa mungkin anda berdua telah banyak melakukan tindakan yang bagi pemijak gambar itu itulah cara sahaja mereka fikir boleh melepaskan geram mereka terhadap anda berdua.Cara mereka salah tapi tidak salah anda maafkan mereka yang buat salah itu.

8.Saya tidak sokong perbuatan memijak gambar kedua dua pemimpin itu, tapi saya sokong kedua dua pemimpin itu memaafkan apa yang dilakukan ke atas gambar mereka berdua.

Wallahu'alam
 Mohamed Hanipa Maidin

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger