Home » , » Pertemuan dengan RoS positif, pelancaran Amanah diteruskan 16 September

Pertemuan dengan RoS positif, pelancaran Amanah diteruskan 16 September

Written By Wadah Baru on Isnin, 14 September 2015 | 3:01 PTG

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Parti Amanah Negara (Amanah) akan meneruskan pelancaran rasminya pada 16 September ini selepas selesai pertemuan bersama Pendaftar Pertubuhan (RoS) hari ini, kata setiausaha agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Anuar berkata, pertemuan yang berlangsung pada 8.30 pagi di pejabat RoS di Putrajaya berjalan lancar tanpa parti itu perlu mengemukakan nama baharu, sebaliknya, agensi kerajaan itu menerima dokumen pendaftaran nama, logo dan bendera parti.

"Pertemuan yang sangat mesra, kita pergi dengan tujuan meminta nasihat RoS yang dipertanggungjawabkan menguruskan pertubuhan dan kita sebagai pelanggan.

"Nama masih lagi nama sama, tiada masalah, nama masih kekal dan pada 16 September kita akan terus kemuka nama, logo dan bendera parti yang kita cadangkan kepada RoS," katanya kepada The Malaysian Insider. Anuar berkata, pihaknya turut enggan memberikan tekanan kepada RoS.
"Saya sangat gembira dengan pertemuan tersebut," katanya.

Bagaimana pun, beliau berkata RoS tidak memberi tempoh masa urusan pendaftaran parti itu akan selesai.

Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah pada hujung minggu berkata, Parti Pekerja Malaysia tidak dibenarkan sama sekali mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Amanah selagi pertukaran nama belum diluluskan.

Beliau berkata, larangan itu selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.

Beliau berkata, RoS menerima makluman daripada Parti Pekerja Malaysia berhubung pelantikan baharu anggota Jawatankuasa Pusat yang diputuskan melalui Kongres Luar Biasa yang diadakan 25 Ogos lepas.

"Sebahagian besar Ahli Jawatankuasa baru ini terdiri daripada bekas ahli-ahli PAS yang pernah memegang jawatan sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2013-2015," katanya.
Beliau menambah, permohonan parti itu menukar nama kepada Parti Amanah Negara masih belum diluluskan setakat ini.

Katanya, mana-mana pertubuhan atau parti dan pemegang jawatan yang didapati melanggar larangan itu boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger