Sedutan Pidato Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH)
Written By Wadah Baru on Khamis, 17 September 2015 | 10:11 PG
AMANAH tampil dalam suasana dunia Islam sedang berada dalam kecelaruan politik yang luar biasa samada di peringkat global mahupun nasional. Ia muncul seolah sebagai satu reaksi umat dan rakyat yang prihatin terhadap masalah yang berlaku.
Dunia Islam sedang bergelut dengan satu permasalahan akibat ideologi Takfiriyah atau Gerakan Takfiri. Masyarakat dunia hari ini terkejut dengan kekejaman dan keganasan kumpulan Islamic State in Iraq and Syria (ISIS).
Ini adalah lambang bencana terburuk akibat fahaman Takfiri atau Takfiriyah. Apa yang jelas, gejala Takfiriyah ini sangat mudah menghukum individu lain yang tidak sehaluan dengan mereka sebagai kafir dan munafik, dimana kesannya membawa kepada pertumpahan darah akhirnya.
Fenomena mengkafirkan orang Islam serta mengeluarkan fatwa tanpa menurut panduan sebenar, sehingga menghalalkan perbuatan membunuh dan memerangi orang Islam yang lain, adalah satu bencana besar yang membawa kepada kerosakan masyarakat.
Lebih menyedihkan apabila semua jenayah tersebut dilakukan kononnya atas nama agama dan syariatnya, sedangkan hakikatnya, Islam adalah bersifat Tasamuh atau tolenrasi. Paling jelek, operasi keganasan itu dilakukan dengan iringan laungan 'La-ilaha ilalLah' dan takbir 'Allahu Akbar', kononnya dengan alasan tindakan itu sebagai menunaikan kewajipan berjihad dan mati syahid di jalan Allah.
Bibit yang sama wujud pada semua entiti Gerakan Takfiri di seluruh dunia, dimanapun mereka berada, dan dalam apa jua bentuk dan tahapnya. ISIS menghalalkan darah umat Islam yang tidak bersetuju dengan mereka kerana baginya, sesiapa yang menentang perjuangan ISIS adalah munafik dan kafir!
Ketaksuban golongan Takfiri ini sememangnya tidak langsung menunjukkan bahawa mereka memahami anjuran Islam untuk meraikan dan mengurus ikhtilaf (perbezaan). Bagi mereka, keluar dari jalur pemikiran dan ketaatan kepada pemimpin organisasi (jamaah) mereka, adalah seperti keluar dari agama Islam. Semua entiti dan organisasi Takfiri mempunyai ciri-ciri utama ini, walau apapun nama dan label mereka.
Disinilah AMANAH secara tegas menolak segala rupa bentuk dan pelbagai penampilan Takfiri, kerana ia jelas memusnahkan kemurnian dan kesucian Islam.
Konsep yang AMANAH kemukakan ialah Rahmatan Lil 'Alameen sesuai dengan firman Allah yang bermaksud.
"Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhamad saw), melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam (Al-Anbiyaa': 107).
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan