Home » » Adakah tindakan PAS Selangor bawa maksud menentang Presiden?

Adakah tindakan PAS Selangor bawa maksud menentang Presiden?

Written By Wadah Baru on Sabtu, 17 Oktober 2015 | 3:12 PTG

Oleh Mohd Azhar Abd Rahman

“Rakyat Kelantan ramai menyanjungnya kerana beliau dikatakan ulamak dan digelar Tok Guru,
walaupun beliau tidak banyak membangun kemajuan rakyat dan negeri kelantan. Malah kemajuan Islam di Kelantan tidak ke mana dan hukum hudud gagal dilaksanakan semasa hayatnya walaupun menjadi MB Kelantan lebih 20 tahun.” Ini adalah petikan tulisan Ibrahim Ali dalam statusnya di facebook selepas pemergian Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.

Berita Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi berpelukan dengan Ibrahim Ali bukan sesuatu yang sangat mengujakan dibincang kerana wajah PAS mutakhir ini  menggambarkan mereka saling berpelukan cuma tidak dizahirkan seperti gambar yang menjadi viral sehari dua ini.

Pertemuan mereka pertemuan biasa. Perbincangan  mencapai kata sepakat yang biasa. Cuma rentetan pertemuan itu hangat dibincangkan. Bagi setengan pihak, PAS mengambil keputusan itu sebagai provokasi halus kepada penentang dan boleh jadi sebagai bahan berita yang bakal menjadi polimik di kalangan lawan.


Jika disoroti rekod sebelum ini, banyak perkara memberi kesan langsung kepada PAS misalnya tahaluf siyasi semasa dalam Pakatan Rakyat, dan pelbagai perkara lain, PAS akan menggunakan Majlis Syura sebagai pemutus dan ahli-ahli di bawah perlu patuh sepenuhnya terhadap keputusan tersebut. Secara kebetulan juga setiap apa keputusan yang diambil Presidennya, Majlis Syura akhirnya akan bersetuju dengan tindakan itu.

Merujuk kepada isu terbaru, yang memberi maksud PAS sedia bekerjasama dengan Perkasa  atas tiga perkara yang mungkin sebagai permulaan untuk bekerjasama atas perkara yang lain selepas ini, PAS dilihat sudah mengambil satu langkah yang membuka ruang kepada tahaluf bersama Perkasa.

Perkasa bagi pendangan umum dikenali sebagai pertubuhan bercorak perkauman dan tujuan penubuhan juga menjengkelkan kerana semua yang diperjuangkan telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Maka Perkasa sebenarnya adalah imaginasi Ibrahim Ali yang mahu mengekalkan dirinya sebagai ‘seseorang’ selepas banyak onar yang telah dibuat dalam parti politik yang dibaiahnya termasuk PAS.

PAS semestinya sedia maklum, melalui pengalamannya lebih 60 tahun dalam politik di Malaysia akan kesan dan persepsi yang bakal diterima, berdasarkan sejarah pendirian mereka terhadap parti politik, NGO atau sesiapa sahaja yang ingin bekerjasama dengan mereka.

Persoalannya kini, selepas pertemuan dan kenyataan pertemuan itu dikeluarkan, PAS Selangor tampil bertegas tidak bersetuju dengan tindakan bekerjasama dengan PERKASA. Ada beberapa perkara yang menjadi tanda tanya di kalangan ahli dan pihak luar PAS dalam tindakan tersebut.
 Perkembangan ini memberi pengesahan bahawa banyak tindakan pemimpin tertinggi PAS tidak diketahui pemimpin lain dalam PAS.

Jika dilihat individu yang mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju itu, ia dikeluarkan sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Selangor  merangkap Naib Presiden PAS. hasil kempen di kalangan ulama PAS dan tersenarai dalam ‘cai’ yang tersebar di kalangan perwakilan semasa Muktamar Jun lalu.

Pihak lain yang turut memberi respon terhadap perkara ini ialah Mahfuz Omar, ahli jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik selepas muktamar yang lalu. Dipercayai ramai pimpinan lain tidak mengetahui perkara ini  hingga kenyataan kerjasama itu dikeluarkan.

Persoalan lain yang menjadi tanda tanya, apakah tindakan PAS Selangor menentang kerjasama Perkasa turut diklasifikasikan menentang Presiden atau mungkin Majlis Syura?

Atau pertemuan ini dianggap sebagai perkara kecil oleh pimpinan tertinggi dan tidak perlu dibincangkan oleh Majlis Syura. Kalau begitu pendiriannya maka benarlah anggapan setengah pihak pertemuan itu hanyalah acahan Perkasa dan PAS kepada lawan politik mereka untuk melihat reaksi pihak lawan tetapi dianggap serius oleh PAS Selangor yang tidak dimaklumkan acahan tersebut lebih awal.

Apapun PAS dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam tindakan mereka supaya tidak memakan diri pada masa akan datang. Cukuplah dengan pergolakan besar yang berlaku sebelum ini walaupun dinafikan pimpinannya.

Jangan kerana hendak mencapai jumlah kehadiran yang tinggi dan menagih penyertaan Perkasa dalam perhimpunan yang bakal diadakan di Kota Bharu nanti, PAS sanggup mengenepikan prinsip dan mewujudkan pertembungan  di kalangan pemimpin yang disahkan 100% pro ulama.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger