HARI ini, Islam menjadi tajuk berita utama di serata dunia.Perkembangan dunia Islam diikuti dengan rasa berkobar-kobar oleh rakan dan lawan. Dan imejan-imejan Islam yang ditonjol kepada kita hari ini: Tragedi 911, Taliban, Al-Qaeda, Osama bin Ladin, Charlie Hebdo, ISIS, Saudi Arabia, Iran dan Hudud.
Pandangan dunia terhadap Islam dibentuk dalam kerangka itu. Justeru, masyarakat dunia, Muslim waima bukan Muslim, sukar untuk membayangkan Islam pra-11 September 2011.
Ataupun membayangkan dunia Islam sebelum negara Arab dibahagi-bahagi kepada sempadan moden masa kini oleh bangsa Eropah pada awal kurun ke-20. Imaginasi dunia terhadap Islam tidak lari daripada panji-panji Hitam Jihadi. Atau paling kurang pun, Islam kini ditakrif dengan budaya, bahasa dan amalan bangsa Arab.
Kita di Malaysia tidak terkecuali, tidak terlepas dari melihat Islam melalui kepompong seumpama itu terutama apabila isu Hudud giat diperkata.
Justeru, setibanya delegasi DAP ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul untuk transit ke Tunisia, saya terkejut kerana tidak nampak perkataan Arab, mahupun fesyen Arab yang begitu mendominasi dunia Islam.
Terlupa sejenak kehebatan bangsa Turki dengan empayar Islam Uthmaniyahnya yang pada zaman kegemilangannya menakluk hampir seluruh Mediterranean dari tenggara Eropah ke utara Afrika yang dikenali sebagai Fertile Crescent – merangkumi Mesir, Palestine, Jordan, Lebanon, Iraq sehingga ke utara Teluk Parsi.
Uthmaniyah yang menjadi jambatan penghubung Timur dan Barat selama lebih 600 tahun, menjadikan bahasa Turki, bukan Arab sebagai bahasa rasmi. Budayanya, dari makanan sehingga fesyen, lebih kepada Persia dan Eropah berbanding Arab.
Pada zaman itu, Yahudi tidak begitu dimusuhi Islam bukan seperti yang digambarkan pada hari ini. Dunia sukar membayangkan Islam sedemikian wahal ia merupakan empayar Islam yang terakhir pernah dunia terlihat dalam sejarah.
Apabila kami tiba di Tunisia, kejutan baru pula menanti.
Kunjungan ke dunia Islam
Kunjungan DAP ke dunia Islam Tunisia dan Turki kali ini adalah sinambungan dari lawatan April lalu ketika Lim Kit Siang mengetuai delegasi pemimpin dan wakil rakyat DAP ke Jordan dan Mesir – bertujuan mendalami ilmu perihal dunia Islam dan politik Islam; topik penting untuk masa depan Malaysia.
Delegasi sekali lagi diketuai Lim Kit Siang dan selain penulis antara lain ialah Teresa Kok, Zairil Khir Johari, Liew Chin Tong (hanya ke Turki). Turut serta Dr Syed Azman, Adun Batu Burok, Terengganu.
Cerita Tunisia kita tahu. Pernah dijajah kuasa Barat selepas kejatuhan Empayar Islam Uthmaniyah, Tunisia mencapai kemerdekaan pada 1956. Sejak itu, hampir 55 tahun ditadbir oleh parti nasionalis yang sama.
Negara itu selama ini ada pilihan raya tetapi diselubungi penipuan rejim pemerintah. Pemimpin paling lama berkuasa – lebih 20 tahun, dan tempoh pemerintahannya dicemari skandal korupsi, kronisme, salah guna kuasa dan menindas suara alternatif. First Lady-nya pula kuat shopping, sehingga menggunakan jet peribadi milik kerajaan terbang ke sana sini untuk membeli belah.
Pada 2011, rakyat mula membangkang hingga tercetusnya Revolusi Tunisia yang menyaksikan jutaan rakyat – anak muda, mahasiswa, peguam, pekerja – keluar berdemontrasi di jalan raya.
Revolusi Tunisia inilah menjadi pencetus kepada ‘Arab Spring’. Akhirnya rejim lama tersungkur dek kegagahan kuasa rakyat.
Di sinilah, sebenarnya bermula cerita kami ke Tunisia.
Lim Kit Siang dengan Rachid Ghannouchi
Setiba di Tunisia, tokoh yang kami kunjung tidak lain tidak bukan Rachid Ghannouchi, pemimpin besar Hizbul en-Nahda, ataupun Parti Pembaharuan. Beliau berjambang dan berambut putih dengan kemeja putih bersih dan kot navy blue, punyai penampilan selayak pemikir dan negarawan.
Kit Siang dan Ghannouchi berjabat tangan tanda solidariti. Kedua-duanya sebaya, berusia 74 tahun – masing-masing “grand old man” di persada politik Malaysia dan Tunisia. Ia suatu pengalaman yang sukar digambarkan.
Kedua-duanya mula berkecimpung dalam gerakan politik negara masing-masing pada lewat 60-an. Pernah meringkuk penjara rejim bukan sekali tetapi dua kali. Namun dalam setengah abad perjuangan, mereka masih tidak serik dipukul badai penindasan demi prinsip yang diperjuang.
Mungkin sebab itu, saya lihat terjalin dengan semula jadi silaraturahim antara mereka walaupun pertama kali bertemu. Mereka mahir dengan perkembangan politik di negara rakan – Kit Siang dengan Tunisia, Ghannouchi dengan Malaysia.
Masing-masing bertukar fikiran tanpa was-was – sudah tentu mereka yang begitu mengerti akan rejim yang tidak membenarkan kebebasan, tidak akan mengehadkan kebebasan rakan untuk meluahkan pendapat.
Malah, Ghannouchi juga sempat bertanya khabar tentang rakan baiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kit Siang memberi pandangannya terhadap ‘Islam of the future’: Islam masa depan. Islam yang mampu memberi konteks kepada perubahan zaman dan dunia, bukan yang membantut perubahan.
Islam yang inklusif dalam masyarakat plural masa kini. Islam yang mampu memberi jawapan kepada persoalan hari ini, bukan Islam yang menghalang orang bersoal jawab.
Anak didik Ghannouchi, Dr Rafik Abdessalem, bekas Menteri Luar Tunisia selepas Revolusi yang ada bersama sempat mencelah:
“Islam yang didokong oleh Ghannouchi ialah Islam masa depan seperti yang dimaksudkan oleh Lim (Kit Siang). Ia Islam yang memberi ruang untuk kepelbagaian sama ada kepelbagaian agama ataupun etnik.”
Islam masa depan
Apabila Revolusi Tunisia menjatuhkan rejim Ben Ali pada 2011, Parti Ennahda yang masuk pilihan raya pada Oktober 2011 mendapat 41 peratus kerusi Parlimen dan menjadi parti terbesar. Ghannouchi dan Ennahda yang cenderung kepada Ikhwan Muslimin membentuk kerajaan Tunisia yang baru.
Dan sebagaimana hasrat gerakan politik Islam lain seperti FJP pimpinan Presiden Morsi di Mesir ataupun PAS pimpinan Tuan Guru Hadi Awang di Malaysia, Ghannouchi boleh mendirikan kerajaan Islam dengan perundangan Syariah. Itulah jangkaan rakan dan lawan.
Sebaliknya, Ghannouchi memilih bersekutu dengan dua parti sekular sosial demokrat bagi membentuk kerajaan. Ghannouchi tidak mengambil jalan Morsi di Mesir, jauh lagi jalan PAS di Malaysia.
Adakah itu suatu pengkhianatan? Sudah tentu ada yang menjatuhkan label itu ke atas Ghannouchi sedangkan mereka belum tentu mampu melalui liku-liku perjuangan Islam beliau.
Saya hairan dengan keputusan Ennahda pada 2011 itu. Di Malaysia, kita diberitahu sebuah gerakan Islam, peri pentingnya melaksanakan Hudud sehingga parti rakan boleh diketepi.
“Encik Ghannouchi, boleh berikan komen mengapa Ennahda memilih jalan ini dan tidak mengikuti langkah Ikhwan di Mesir dan PAS di Malaysia?”
“Syariah bukan set undang-undang tetapi ia nilai-nilai seperti keadilan, kerahmatan dan kebebasan. Justeru, kita kena lihat kepada nilai-nilai ini sebelum bicara soal penghukuman. Jika kita melihat Islam sebagai penghukuman, maka ia membawa imej negatif kepada Islam,” jawabnya.
Islam is not punishment but Rahmat
Teringat kepada pengajaran Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata: “Seorang Muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisme mengatasi jenayah (melalui Hudud) semata-mata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.”
D. Mohd Asri juga berkata: “Tujuan politik jauh lebih luas dari hanya membincang cara memotong tangan pencuri. Sebelum pencuri dipotong tangan, politik sepatutnya menbincang bagaimana memastikan tiada alasan untuk sesiapa pun mencuri disebabkan keadilan dan kebajikan negara.”
Namun saya tidak begitu ‘puas hati’ dengan jawapan Ghannouchi tadi. Ini soal kuasa dan politik, masakan sanggup lepaskan kuasa begitu sahaja? Bagaimana pula dengan perjuangan berpuluh-puluh tahun sampai masuk penjara?
“Perpaduan ummah penting – Islam benci perang saudara. Dalam politik perlu ada konsensus ataupun permuafakatan pelbagai pihak. Bukan boleh memaksa ideologi kita ke atas orang lain. Kita menekan kepada konsensus, bukan paksaan. Tanpa konsensus, masyarakat akhirnya akan menuju ke arah pemerintahan kuku besi ataupun perang saudara.”
Tapi, bukankah 98 peratus rakyat Tunisia itu Islam (seperti Kelantan) – takkan tak dapat konsensus? Saya tanya pendapat Ghannouchi, apakah model pelaksanaan Syariah paling baik sama ada dalam sejarah ataupun masa kini?
Saya kurang pasti dalam hal ini. Kerana Islam yang saya ‘belajar’ tertakluk kepada imejan-imejan Islam yang disebut di atas.
“Kami tidak berada di luar Syariah,” isytihar Ghannouchi.
“Jika kami memaksa masyarakat bergaduh, lawan satu sama lain, maka kami akan terkeluar dari Syariah. Kami melaksanakan Islam melalui acuan ijtihad. Islam tidak boleh dilaksanakan dengan kaedah sama di semua tempat.
“Tunisia tidak sama dengan Malaysia, tidak sama dengan London. Islam perlu berdepan dengan realpolitik. Islam perlu berdepan dengan realiti, bukan imaginasi. Bukan masyarakat dan dunia yang dibayangkan tetapi dunia yang sebenar-benarnya.”
Ini Islam di luar jangkau imejan-imejan yang dipaksa ke atasnya oleh Barat, oleh ekstrimis, oleh ISIS, oleh Arab.
Maka benarlah kata-kata Rachid Ghannouchi kepada rombongan kami: “Islam terbaik ada dalam al-Quran, bukan dalam sejarah – bukan juga pada kurun pertama dan kedua (Hijra) – sejarah itu eksperimen semata-mata. Kita boleh ambil pengajaran bukan telan bulat-bulat.”
(The best Islam is in the al-Quran not in history – not even in the first or second century (Hijra) – history is merely an experiment. We can take some things but not all things).
Ini Islam masa depan – Islam yang bukan mengajak manusia memandang ke belakang tetapi ke hadapan, selaras dengan konsep eschatalogi agama samawi yang memanggil umatnya menanti dan berusaha ke arah masa depan kerana kemenangan akan datang kepada segala-gala yang baik-baik.
* Gambar oleh Steven Sim. Beliau ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan