PAS menolak cadangan pembahagian kerusi yang dicadangkan bekas rakan
sekutunya dalam pakatan pembangkang, DAP, untuk Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) nanti.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan
bertanding di seluruh negara, malah akan menambah jumlah kerusi yang
akan ditandinginya.
"Kita parti peringkat nasional dan kita bertanding di seluruh negara...
belum ada DAP kita dah bertanding (pada pilihan raya umum). Kita bukan
parti kenegerian dan parti perkauman," katanya kepada pemberita selepas
menghadiri Himpunan Fastaqim (Himpunan Kebangkitan) di Stadium Sultan
Muhammad ke-IV di Kota Baru, malam tadi.
Beliau mengulas mengenai cadangan DAP sebelum ini yang mengemukakan
formula pengagihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang bagi mengelak
pertandingan 3 penjuru yang hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi DAP Lim Kit Siang dipetik sebagai berkata satu-satunya cara
ialah PAS bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala
Parti Amanah Negara (Amanah) pula bertanding di negeri lain yang
tertakluk atas persetujuan parti pembangkang lain.
Ditanya mengenai ancaman Amanah terhadap parti itu selepas kebanyakan
anggota PAS beralih arah kepada parti serpihan itu, Hadi yang juga
anggota Parlimen Marang menganggap perkara berkenaan hanya perkara
kecil.
"Kepada kita, Amanah ini tidak ada apa-apa cabaran yang besar kepada
PAS. PAS pernah menghadapi cabaran lebih besar daripada ini terutama
pada 1978 yang menyebabkan rakyat Kelantan buat demonstrasi sehingga
menyebabkan kerajaan Kelantan jatuh.
"Namun demikian kita dapat melangsungkan perjuangan kita dengan cara
yang baik dan kita dapat meningkatkan bukan sahaja anggota parti, bahkan
meningkatkan pengurusan parti," katanya. – Bernama,
PAS tolak formula agih kerusi cadangan DAP
Written By Wadah Baru on Ahad, 18 Oktober 2015 | 2:14 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan