Home » , » Amanah syor seketariat, majlis presiden Pakatan Harapan segera dibentuk

Amanah syor seketariat, majlis presiden Pakatan Harapan segera dibentuk

Written By Wadah Baru on Selasa, 13 Oktober 2015 | 4:00 PTG

Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengesyorkan supaya seketariat dan majlis presiden Pakatan Harapan segera dibentuk supaya persoalan dasar bersama dan kaedah pengurusan perbezaan pandangan dapat ditetapkan untuk dipersetujui dan didukungi bersama.

Menurut pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad, amalan bermusyawwarah demi mencapai kata sepakat dalam mengangani semua persoalan tetap merupakan dasar yang perlu diamalkan.
“Amanah mengalu-alukan pendirian PKR untuk memantapkan Pakatan Harapan dan bersetuju untuk membuka keahlian Pakatan kepada semua yang berminat untuk menyertainya.


“Namun, disiplin dan kejujuran dalam berpakat perlu ditekankan supaya pihak lawan tidak akan berjaya melaga-lagakan anggota Pakatan sepertimana mereka berjaya terhadap Pakatan Rakyat.  “Setiap anggota Pakatan hendaklah komited kepada Pakatan Harapan dan jelas berhubung siapa kawan dan siapa lawan,” katanya dalam satu kenyataan sebagai respons kepada pengumuman Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam.

MPP PKR semalam mengumumkan resolusi memperluaskan keahlian Pakatan Harapan untuk cuba memasukkan PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak.
Beliau pada masa sama, memuji kematangan dan kebijaksanaan barisan kepimpinan PKR di bawah kepimpinan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam menguruskan perbezaan pandangan.

“Amanah mengucapkan tahniah kepada saf kepimpinan PKR atas kemampuan mereka mencapai kata sepakat dalam suasana yang digambarkan begitu mencabar sehingga ada yang meramalkan PKR boleh berpecah 2,” katanya.

Katanya, pihaknya berpendirian pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh adalah antara keutamaan ke arah penyelesaian krisis negara.

“Ini berpaksikan keyakinan yang kerajaan BN perlu digantikan dan oleh itu usaha ke arah menyatupadukan pembangkang tidak boleh dilengah-lengahkan.

“Rakyat ingin melihat satu gabungan pembangkang yang mampu berkerjasama dan sanggup mengenepikan perbezaan dalam usaha menyelesaikan krisis negara yang semakin meruncing,” kata Khalid.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger