Oleh Faiz Fadzil
Pendedahan Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir berkenaan dakwaan salah guna wang anak yatim di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) bagi membiayai lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir dan rombongannya termasuk isteri beliau sendiri ke Amerika Syarikat pada tahun lepas adalah satu dakwaan serius kerana ia melibatkan wang derma orang ramai.
Menurut Akmal, lawatan tersebut yang diadakan bagi menjayakan satu program bertujuan "pemantapan dan pemerkasaan" Kelab Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (Santun) Yapeim namun ia bersifat suka ria dan langsung tiada amal jariah. Ini kerana rombongan Jamil turut bermain golf dan mengunjungi pusat beli-belah “upscale outlet” barangan berjenama yang terletak di Washington DC sebanyak 4 kali.
Kegagalan Jamil menafikan kebenaran bukti atau dokumen yang dikemukakan Akmal seolah-olah mengesahkan dakwaan pembiayaan lawatan dan program tersebut dengan menggunakan dana Yapeim sebanyak RM590,000.
Jumlah ini terlampau tinggi sedangkan terdapat ramai anak yatim memerlukan wang tersebut. Adalah diragui Jamil dan rombongannya bukanlah pihak yang berhak menikmati wang derma tersebut.
Jika dakwaan ini benar, adalah sesuatu yang mengecewakan kerana menteri yang menjaga hal-ehwal agama tidak sepatutnya terlibat di dalam kes sebegini. Sebagai “ustaz”, beliau perlulah menunjukkan keindahan pemerintahan yang dilandaskan syariat.
Mungkinkah beliau lupa tentang kisah amanahnya Khalifah Umar Abdul Aziz mengasingkan penggunaan harta negara dengan kepentingan peribadi. Wang Yapeim seharusnya digunakan bagi memberikan kehidupan yang lebih senang dan pendidikan yang lebih baik kepada anak yatim negara ini. Namun, wang ini digunakan oleh mereka yang bukan ahlinya dan ini bercanggah dengan firmah Allah di surah An-Nisa:58.
Jamil juga adalah menteri agama sama yang gagal menyekat penggunaan wang Tabung Haji digunakan untuk “bail-out” hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam pembelian satu plot tanah Tun Razak Exchange (TRX) dengan harga 50 kali ganda lebih daripada harga asal. Mungkin dulu beliau hanya menjadi pak turut, tetapi mungkin kini beliau pula menjadi pecatur.
Apa lagi yang boleh diharapkan pada Umno jika menteri agama pun gagal untuk menunaikan amanah dengan integriti dan trasparensi. Dakwaan yang serius sebegini hendaklah disiasat Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tidak cukup bagi Jamil hanya membuat saman malu. Tunjukkan keadilan dapat dilaksanakan dengan berlapang dada menjemput pihak SPRM menyiasat beliau dan Yapeim bagi membersihkan namanya dan yayasan tersebut berhubung dakwaan ini bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terutama umat Islam kepada institusi Islam di negara ini. –
* Penulis adalah timbalan ketua Pemuda Amanah Nasional.
Jamil Khir, Yapeim perlu disiasat, bukan saman malu
Written By Wadah Baru on Isnin, 16 November 2015 | 3:09 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan