Home » » PAS lebih berkemungkinan jadi jurucakap BN, kata DAP

PAS lebih berkemungkinan jadi jurucakap BN, kata DAP

Written By Wadah Baru on Ahad, 6 Disember 2015 | 2:27 PTG

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng bersama presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu. Lim berkata DAP tidak lagi membayar Mohamad sejak beliau keluar dari parti PAS dan meletak semua jawatan di Pulau Pinang. The Malaysian Insider

Menafikan dakwaan PAS yang Mohamad Sabu ialah jurucakap DAP, setiausaha agung parti pembangkang itu Lim Guan Eng berkata, parti Islam itu yang lebih berkemungkinan menjadi jurucakap kerajaan Barisan Nasional (BN) memandangkan bekas timbalan presidennya kini mengetuai Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Putrajaya.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tidak dibayar kerajaan negeri selepas beliau melepaskan semua jawatan di negeri itu walaupun sebelum itu membantu kerajaan negeri dalam beberapa isu seperti industri halal.

"Tidak seperti Nasharudin Mat Isa, bekas timbalan presiden PAS yang dilantik perdana menteri sebagai ketua pegawai eksekutif GMM.
"Saya fikir PAS lebih berkemungkinan jadi jurucakap Umno, MCA, MIC, Gerakan kerana Nasharudin dilantik kerajaan BN," kata Lim selepas merasmikan konvensyen negeri Wilayah Persekutuan di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

"GMM adalah di bawah kerajaan pusat," katanya.

Semalam, pengarah pilihan raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan Mat Sabu, presiden Parti Amanah Negara (Amanah), yang mengaitkan PAS dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) mengesahkan yang beliau ialah jurucakap DAP.

Lim berkata, tidak benar Amanah ialah jurucakap bagi DAP, seperti yang didakwa PAS.

"Ini tidak benar. Saya setiausaha agung DAP, saya tidak boleh menjadi jurucakap Amanah. Mat Sabu bukan setiausaha agung DAP, dia tidak boleh menjadi jurucakap DAP. Dia hanya boleh menjadi jurucakap Amanah.

"Semasa beliau (Mat Sabu) dalam PAS, beliau mendapat elaun. Tetapi apabila beliau meninggalkan PAS, meletak jawatan dan membantu secara sukarela, beliau tidak mendapat apa-apa dari negeri ini. Sebaliknya, Nasharudin dibayar kerajaan BN.

"Saya tidak membuat sebarang serangan," kata Lim, sambil menambah, dengan pelantikan Nasharudin, sekarang MCA, MIC dan Gerakan bersekongkol dengan PAS dan begitu juga sebaliknya.

Mat Sabu, bekas timbalan presiden PAS, pada Jun lalu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang, susulan keputusan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Beliau sebelum ini menganggotai lembaga pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan memegang jawatan sebagai pengarah Penang International Halal Hub.

Mustafa juga berkata semalam, ia juga strategi DAP untuk terus memburukkan PAS.

Menjawab perkara itu, Lim berkata, DAP hanya akan mengkritik mereka yang mesra dengan BN kerana PAS kini seolah-olah menjadi lebih mesra dengan parti pemerintah itu.

"Daripada pemerhatian kami, mereka (PAS) mengkritik parti pembangkang lebih daripada (mereka mengkritik) BN," katanya

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger