Home » , » Politik takut senjata baru Umno

Politik takut senjata baru Umno

Written By Wadah Baru on Sabtu, 5 Disember 2015 | 11:53 PG

Oleh  Faiz Fadzil

Umno merupakan parti politik tertua negara ini yang berjuang atas dasar perkauman Melayu dilihat tidak lagi mampu untuk membela nasib Melayu. Bagaimana hendak diharapkan dapat membela nasib kaum terbesar negara ini jika nasib timbalan presiden sendiri pun tidak mampu dibela 3 juta ahlinya.

Di samping itu, beberapa orang ahlinya yang lantang mengkritik dasar kerajaan dan Perdana Menteri turut dibuang. Krisis yang melanda Umno sekarang semakin parah dengan ruang demokrasi dillihat semakin tertutup.

Khurafat, Umno sahaja yang mampu membela nasib orang Melayu kini semakin diragui. Bagaimana hendak diharapkan Umno jika sasaran ekuiti Melayu dalam ekonomi negara sebanyak 30% di bawah dasar ekonomi baru masih gagal dicapai walaupun sudah lebih 40 tahun dasar ini dilaksanakan. Kadar pengangguran di kalangan anakmuda Melayu pula semakin meningkat.

Kenaikan harga barang dan terkini perkhidmatan pengangkutan awam seperti komuter dan ERL paling dirasai orang Melayu yang kebanyakannya terdiri daripada kelas menengah dan bawahan. Dianggarkan 40% pendapatan isi rumah orang Melayu di bawah RM2000 sebulan.

Walaupun ramai ahli perniagaan ali baba dicipta Umno, namun ia tidak kekal lama dan tidak banyak membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu secara keseluruhan. Sudah ramai kontraktor Melayu kini menjadi dormant dan tidak mampu untuk berdaya saing, apatah lagi dalam keadaan krisis ekonomi sekarang.

Retorik Umno untuk mempertahankan keistimewaan Melayu juga semakin terhakis sekiranya TPPA dilaksanakan kelak. Usahlah diharapkan Umno untuk mempertahankan aset negara yang biasanya dikawal orang Melayu jika saham EDRA dijual kepada syarikat asing dan bukannya kepada TNB. Tiada penentangan Umno terhadap langkah 1MDB tersebut.

Kerana itu, Umno tidak lagi peduli hak dan kedaulatan negara ini, jauh sekali untuk melindungi hak dan kepentingan orang Melayu.

Rakyat kini mulai sedar akan keadaan ini. Umnoperlu mencipta satu senjata baharu dalam politik tanahir. Politik takut atau 'politics of fear' adalah pilihan terakhir untuk terus berkuasa. Pelbagai undang-undang zalim digubal seperti POTA, SOSMA dan yang terkini RUU Majlis Keselamatan Negara 2015 kononnya atas tujuan keselamatan negara.

Tiada langsung tanda-tanda keselamatan negara terancam. Maka, sudah tentu ada muslihat tertentu atau 'ulterior motive' RUU ini dibentangkan secara mengejut. Undang-undang baharu ini jika diluluskan dan dilaksanakan kelak akan memberikan kuasa mutkak kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan di mana pasukan bersenjata di bawah Majlis Keselamatan Negara akan mengawal penuh kawasan yang diisytiharkan. Ketika itu, tiada lagi kebebasan kepada rakyat di dalam sebuah negara yang merdeka.

Apa yang membimbangkan adalah kuasa ini boleh dimanipulasi Umno yang menerajui kerajaan kononnya keselamatan negara terancam dan jika pengisytiharaan dibuat, ia boleh menimbulkan ketakutan kepada rakyat terutamanya orang Melayu untuk terus mengundi Umno dek takut kehilangan ketuanan di bumi sendiri. Dengan cara ini, Umno akan terus berkuasa walaupun orang Melayu sedar keperitan hidup di bawah kezaliman Umno.

Sampai bilakah orang Melayu akan tertipu dengan sandiwara Umno. Sedarlah orang Melayu adalah bangsa yang hebat sepertimana pesanan Hang Tuah 'takkan Melayu hilang di dunia'.

Namun, untuk membawa Melayu terus maju, orang Melayu mesti berani berubah dari segi pemikiran dan cita-cita. Tiada kejayaan tanpa langkah pertama. Mulakanlah langkah pertama dengan melucutkan kekuasaan Umno daripada pemerintahan negara ini.

Sesungguhnya, rakyat takut kepada kerajaan kerana kezaliman. Sebaliknya, kerajaan yang takut kepada rakyat adalah kerana adanya kebebasan.


* Faiz Fadzil ialah Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Parti Amanah Negara.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger