Home » , » PAS tunjuk tanda positif muafakat dengan Umno

PAS tunjuk tanda positif muafakat dengan Umno

Written By Wadah Baru on Selasa, 8 Disember 2015 | 1:50 PTG

KUALA LUMPUR, 8 Dis — PAS telah menunjukkan tanda-tanda menggalakkan ke arah
permuafakatan dengan Umno berdasarkan beberapa tindakan positifnya terhadap parti tunjang orang Melayu itu, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Perdana Menteri berkata antaranya ialah langkah PAS yang tidak menolak Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat 16 Nov lepas menggambarkan tanda-tanda menggalakkan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti orang Melayu itu.

"Dalam pengundian bajet mereka tidak menyokong langkah tolak bajet. Walaupun mereka tidak undi pihak kita, tetapi mereka tidak tolak bajet. Ini tanda-tanda yang saya anggap sebagai menggalakkan," katanya dalam satu temubual dengan sebuah stesen televisyen di sini, malam tadi.

Temubual itu dikendalikan oleh Editor Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Media Prima Bhd Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah; Editor Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Media Prima Bhd Datuk Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak.

Video temubual itu turut dimuatnaik di laman web www.newsplus.my/live-tv
Najib percaya tindakan PAS itu berpegang kepada prinsip Islam yang mengharamkan tindakan menjatuhkan sesebuah kerajaan dengan cara yang tidak diizinkan oleh Islam.

"Ini termasuk demonstrasi jalanan dan sebagainya. Jadi apa yang disuarakan oleh pemimpin PAS itu selari dengan prinsip Islam," katanya.

Semasa sesi pengundian peringkat dasar rang undang-undang itu pada November lepas, enam anggota Parlimen dari PAS mengambil keputusan berkecuali iaitu Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Nik Mohd Abduh Nik Aziz (PAS-Pasir Mas), Nasaruddin Hassan (PAS-Temerloh), Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang), Marzuki Shaari (PAS-Bachok) dan Dr Izani Hussin (PAS-Pengkalan Chepa).

Manakala empat lagi Anggota Parlimen PAS termasuk Abdul Hadi tidak hadir pada sesi itu.
Najib juga berkata kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya Datuk Dr Haron Din juga turut menunjukkan tanda-tanda positif ke arah permuafakatan itu.

Abdul Hadi dalam beberapa kenyataannya dilihat lebih berpihak kepada Umno seperti tidak membidas rombakan kabinet pada Julai lepas dan turut menyokong Najib supaya tidak tunduk kepada tekanan untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Najib berkata beliau terbuka dalam soal permuafakatan antara Umno dan PAS kerana soal perpaduan adalah sangat penting dan begitu diberi perhatian dalam agama Islam.

"Cuma kita tak boleh paksa ini berlaku. Ini perlu terbit dari nawaitu (niat) ikhlas dan biarkan proses ini berjalan mungkin langkah demi langkah tetapi yang penting sekali kepimpinan Umno dan PAS sedar bahawa perpaduan ummah adalah penting untuk umat dan agama Islam," katanya. — Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger