Home » , » Rang Undang Undang MKN-"Rompakan" Kuasa Yang DiPertuan Agong di siang hari!

Rang Undang Undang MKN-"Rompakan" Kuasa Yang DiPertuan Agong di siang hari!

Written By Wadah Baru on Selasa, 8 Disember 2015 | 2:31 PTG

1. Rang Undang Undang (RUU) MKN 2015 adalah usaha desperado terakhir Perdana Menteri mengkonsolidasi kuasa beliau bagi melindungi pengaruhnya yang semakin hari semakin tipis. Cuma kali ini tindakannya nampak lebih berani dengan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan "merompak" kuasa Yang DiPertuan Agong ('YDPA') yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

2.  MKN dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat dalam keadaan gopoh dan tergesa gesa tanpa Ahli Ahli Parlimen diberi ruang masa yang mencukupi untuk mengkaji dan berbahas dalam keadaan mereka sibuk membuat persiapan bagi berbahas Belanjawan 2016 di peringkat dasar dan jawatankuasa.

3. Kegopohan BN untuk meluluskan MKN dapat dilihat apabila ada usul dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan ( YAB Lim Guan Eng ) untuk merujuk RUU MKN itu kepada Jawatankuasa Pilihan ( Select Committee ) bagi  diteliti lebih mendalam , ia ditolak oleh Timbalan Speaker meskipun usul tersebut adalah satu yang wajar dan paling munasabah dan dibuat mengikut prosedur yang betul dan tepat.

4. Kalau dilihat partipasi ahli ahli Parlimen BN yang berbahas RUU tersebut, bukan sahaja jumlah pembahas mereka jauh lebih kecil daripada pembahas pembahas daripada blok pembangkang , malahan tidak keterlaluan kalau dikatakan mereka ( BN ) nampaknya tidak begitu selesa untuk mempertahankan RUU MKN tersebut. Jelas mereka tidak ada hujah jauh sekali hujah yang kuat untuk menyokong undang undang yang rapuh.

5. Apabila tiba giliran Menteri iaitu Dato Seri Shahidan Kassim menjawab perbahasan , jelas beliau terkial kial untuk meyakinkan ahli ahli Parlimen malahan mungkin dirinya sendiri apakah justifikasi MKN digubal dengan merampas kuasa YDPA. Sebagai Menteri yang tidak berlatar belakang undang undang , saya amat simpati melihat beliau cuba mempertahankan satu RUU yang mempunyai implikasi Perlembagaan yang amat besar dan mendalam. Bagi saya dengan jawapan yang beliau berikan ia meyakinkan lagi untuk kita menolak RUU MKN tersebut.

6. Menteri cuba meyakinkan Dewan kononnya RUU ini bukan diwujudkan kerana wujudnya darurat maka sebab itulah , kata Menteri, ia diwujudkan di bawah Artikel 74 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan dan bukan Artikel 149 dan 150 Perlembagaan Persekutuan.  Apabila Menteri ditegur bahawa tiada apa apa yang istimewa tentang Artikel 74( 1 ) kerana ia hanya memperuntukkan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang undang yang terletak di bawah bidangkuasa Parlimen , saya lihat Menteri terpaksa akur jawapan beliau itu tidak ada apa apa nilai.

7. Bila Menteri ditegur juga sebenarnya Artikel 74 ( 1 ) tidak boleh dibaca bersendirian sebaliknya wajib dibaca dengan Artikel 74 ( 3 ) Perlembagaan Persekutuan sekali lag saya lihat, hujah Menteri yang bersandar kepada Artikel 74 Perlembagaan bukan sahaja tidak membantu beliau malahan ianya kelihatan begitu dangkal sekali.

8. Semasa berbahas saya nyatakan bahawa memang benar undang undang ini digubal bukan dalam waktu darurat namun peruntukkan peruntukkan di dalam MKN adalah jelas peruntukkan peruntukkan yang hanya wujud dan boleh wujud  dalam undang undang yang digubal semasa darurat. Kerana itulah , bagi kami ahli ahli Parlimen pembangkang, jika Kerajaan ingin gubal undang undang seperti MKN itu ia hendaklah dibuat di bawah Artikel 149 atau 150 Perlembagaan Persekutuan.

9. Artikel 149 dan 150 Perlembagaan Persekutuan adalah peruntukkan yang melibatkan suasana luar biasa yang memerlukan satu penyelesaian yang drastik dan luar biasa seperti keadaan di mana wujudnya ancaman keselamatan negara dan darurat . Maka dalam suasana itu ,'penggubal perlembagaan ( framers of constitution ) telah dengan sengaja memberikan kuasa kepada YDPA untuk menggunakan Parlimen membuat undang undang yang agak keras dan drastik termasuklah Parlimen diberi kebenaran untuk menggubal undang undang yang melanggar beberapa peruntukkan dalam Perlembagaan termasuk yang menyentuh hak asasi manusia seperti Artikel 5, 9 ,10 dan 13 Perlembagaan Persekutuan.

10. Yang jelas kuasa untuk membenarkan undang undang seperti MKN ini digubal hanya direzabkan kepada satu pihak sahaja iaitu YDPA . Selagi Perlembagaan belum dipinda, maka kuasa YDPA itu harus dihormati dan dilindungi.

11. Justeru itu apabila RUU MKN menyatakan di dalam seksyen 3 bahawa Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hendaklah menjadi pihak berkuasa pusat Kerajaan untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dengan keselamatan negara adalah jelas ia merampas kuasa YDPA yang diperuntukkan di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan.

12. Bagitu juga bila RUU MKN memperuntukkan di bawah seksyen 18(1) bahawa Perdana Menteri sebagai pemutus tunggal bagi mengisytiharkan mana mana kawasan di Malaysia yang diganggu atau diancam dengan serius sebagai kawasan keselamatan ('security area ) tidak syak lagi ia secara terang mengambil kuasa YDPA di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 3 dan 18 adalah intipati keseluruhan RUU MKN dan dan jika ada keraguan sama ada MKN ini bercanggah atau tidak dengan Perlembagaan , seksyen 3 dan 18 itu menghapus segala keraguan itu.

13. Yang lebih menakutkan sebaik sahaja Perdana Menteri mengisytiharkan sesebuah kawasan sebagai Kawasan Keselamatan , maka dari situ mengalirlah kuasa kuasa drakonian yang timbul dari kawasan keselamatan tersebut yang boleh dilihat dalam Bahagian V RUU MKN tersebut yang meliputi seksyen 22 hingga 36 RUU MKN itu.

14. Antara kuasa kuasa drakonian itu adalah kuasa menahan orang masuk ke kawasan keselamatan itu, kuasa memindahkan orang daripada kawasan itu, kuasa memerintah perintah mengurung, kuasa mengawal pergerakkan atau jalan dan lain-lain , kuasa  menangkap tanpa waran, kuasa memeriksa mana mana orang dan menyita, kuasa menggeledah premis, kuasa memeriksa orang, kuasa menyita kenderaan , kuasa mengambil milikan tanah atau bangunan dan banyak lagi.

15. Bukankah kuasa kuasa itu amat drakonian dan amat drastik yang sepatutnya tidak digunakan dalam keadaan dan waktu biasa. Ia mungkin hanya boleh dijustifikasi jika wujudnya darurat bila YDPA berpuas hati keadaan itu wujud . Namun MKN telah merampas kuasa YDPA yang dijamin oleh undang undang tertinggi di negara ini. MKN juga meletakkan semua rakyat negara ini kepada ancaman salah guna kuasa .


Mohamed Hanipa Maidin
Pengerusi KANUN
( Biro undang Undang Amanah )
Ahli Parlimen Sepang

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger