Home » , » PAS tiada hak halang Amanah duduki kerusi PBT

PAS tiada hak halang Amanah duduki kerusi PBT

Written By Wadah Baru on Selasa, 5 Januari 2016 | 2:35 PTG

PAS tiada hak menghalang Parti Amanah Negara (Amanah) daripada menduduki kerusi ahli Majlis
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor kerana Amanah mempunyai wakil di negeri itu.

Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim berkata, keputusan mengenai kerusi PBT terletak di tangan kerajaan negeri yang merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).

“Bukan hak PAS untuk menghalang Amanah sebab keputusan nak bagi kerusi PBT ini adalah keputuan bersama Pakatan Harapan.

“Kuota itu hendaklah dibincang bersama dalam Pakatan Harapan kerana kerajaan negeri merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan di Selangor,” kata beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Izham mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad semalam bahawa PAS Selangor tidak akan memberi  laluan kepada Amanah untuk mendapatkan kuota ahli majlis PBT di negeri itu.

Menurut Izham, pihaknya hanya memohon bilangan kerusi yang minimum iaitu dua bagi setiap kawasan.

“Kita tidak minta kuota yang melampau paling maksimum dua sahaja setiap PBT. Takkan sorang-sorang satu PBT, macam mana nak buat kerja. Kita bukan nak jawatan pun tapi nak berkhidmat kepada masyarakat,” katanya lagi.

Izham juga berkata, Iskandar tidak sewajarnya menyamakan pemilihan ahli jawatankuasa masjid dengan pemilihan ahli majlis PBT.

“Lantikan masjid berasaskan kepada mesyuarat agung ahli kariah dan senarai nama diputuskan di peringkat Majlis Agama Islam Selangor. Parti tak ada kena mengena. Kalau kebetulan ahli Amanah dapat jawatan itu, itu hak peribadi dia. Iskandar sepatutnya lebih tahu perkara ini, jangan cakap mengarut,” katanya.

Iskandar semalam berkata, ahli PAS akan marah jika kerusi PBT diberikan kepada ahli Amanah kerana dalam pemilihan nazir masjid baru-baru ini, calon-calon PAS yang berkebolehan tidak dipilih oleh Jabatan Agama Islam Selangor sedangan calon Umno dan Amanah terpilih.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ahli majlis baharu akan diumumkan pada 16 Januari ini.

Beliau sebelum ini juga berkata, kerusi akan diberikan kepada Amanah secara adil.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger