Home » , » Rakyat harus hakimi Perdana Menteri

Rakyat harus hakimi Perdana Menteri

Written By Wadah Baru on Ahad, 31 Januari 2016 | 3:44 PTG

OLEH FAIZ FADZIL

 Pengumuman Peguam Negara berkenaan hasil siasatan kes kemasukan wang RM2.67 bilion ke
akaun peribadi Perdana Menteri yang tidak menzahirkan sebarang kesalahan jenayah amat menyedihkan rakyat dan mencalar kredibiliti institusi demokrasi negara termasuk SPRM dan Peguam Negara.

Kenyataan Peguam Negara bahawa wang sebanyak RM2.03 bilion telah dipulangkan kepada penderma iaitu keluarga diraja Arab Saudi menimbulkan pelbagai persoalan yang gagal dihuraikan dengan alasan sah dan positif.

Ini adalah kerana alasan pemulangan jumlah tersebut tidak pernah dibangkitkan selama ini oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri sebelum ini telah memberikan beberapa kenyataan yang menunjukkan percanggahan berkaitan kes ini, di mana awalnya beliau menafikan transaksi tersebut, tetapi kemudiannya mengakui menerima wang tersebut dengan alasan digunakan oleh umno untuk dana pilihanraya umum ke-13.

Kenyataan bercanggah boleh dianggap satu kenyataan bohong.

Jika jumlah RM 2.03 bilion telah dipulangkan, ia menimbulkan persoalan lanjut tentang kesan undang-undang terhadap perbezaan jumlah RM 600 juta yang tidak dipulangkan? Di manakah jumlah tersebut dibelanjakan? Apakah hubungan penderma dengan kempen pilihanraya umno? Adakah kuasa luar seperti Arab Saudi cuba mempengaruhi politik dan pentadbiran negara ini?

Dari segi undang-undang, Perdana Menteri tidak harus terlepas daripada pendakwaan. Derma ditafsirkan sebagai suapan di bawah seksyen 3 Akta SPRM. Penerimaan wang ini diakui Perdana Menteri dan disahkan oleh Peguam Negara. Anggapan di bawah seksyen 50 Akta SPRM bahawa penerimaan wang sebagai dorongan melakukan sesuatu perkara adalah dianggap rasuah terpakai di dalam kes ini.

Di dalam undang-undang, Perdana Menteri diletakan beban untuk membuktikan wang tersebut bukannya rasuah.

Beban ini hendaklah dibuktikan di mahkamah dan bukannya dihakimi oleh Peguam Negara. Oleh kerana sudah wujud bukti kemasukan wang, maka pendakwaan harus dilakukan. Biarlah Perdana Menteri yang mengakas anggapan rasuah di mahkamah. Sekurang-kurangnya, pertuduhan di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima wang tanpa balasan boleh dibuat terhadap Perdana Menteri.

Peguam Negara tidak seharusnya bertindak melampaui amalan prudent pendakwaan yang kebiasaanya mendakwa seseorang apabila elemen pertuduhan sesuatu kes mencukupi.

Samaada wang tersebut adalah rasuah atau sebaliknya hendaklah dibuktikan oleh Perdana Menteri di mahkamah. Peguam Negara tidak seharusnya bertindak sebagai hakim di dalam kes ini.

Sekalipun Perdana Menteri dibersihkan oleh Peguam Negara, kredibiliti beliau telah tercalar dan diragui rakyat. Sekiranya benar wang tersebut adalah derma daripada pak arab dan bukannya wang daripada SRC International yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB, maka Perdana Menteri seharusnya menyaman Wall Street Journal, Sarawak Repot dan mantan Perdana Menteri Tun Mahadhir yang konsisten mendakwa wang tersebut adalah daripada dana 1MDB.

Rakyat harus bijak memilih pemimpin. Pilihlah pemimpin yang bertanggungjawab dan berintegriti.
Jika benar wang tersebut adalah derma, kenapa tidak digunakan sahaja wang tersebut untuk meringankan beban hidup rakyat yang tertekan dengan kenaikan kos sara hidup, tol, minyak, pengangkutan awam dan gst. Derma tersebut seharusnya boleh digunakan sebagai pemberian biasiswa kepada pelajar universiti.

Justeru, tujuan tersembunyi derma tersebut amat diragui kerana ia telah dipulangkan. Derma tidak akan ditarik balik kecuali adanya 'ulterior motive' yang tidak dipenuhi.

Kedudukan negara sebagai negara ketiga yang paling korup di dunia tidak harus dipandang ringan. Negara bakal menuju kehancuran dan boleh menjadi negara gagal (failed state) sekiranya rasuah terus berleluasa tatkala ekonomi negara terus di dalam keadaan 'stagnant'.

Justeru, Pemuda Amanah menyeru rakyat untuk menjadi hakim dalam skandal ini. Menolak umno dan barisan nasional dalam pilihanraya umum ke-14 adalah sabitan kecurangan Perdana Menteri dalam kes RM2.6 bilion ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger