Oleh Dinsman
Sejak saat mengejutkan pada malam Himpunan 365 di depan pintu penjara Sungai Buloh, 9 Februari
2016 itu, macam-macamlah pula orang melemparkan komen terhadap
perbuatan Mohamad Sabu, presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu.
Saya ada di situ pada malam itu. Saya pun naik pentas malam itu baca
sajak "Gila Gila Apakah Ini" di hadapan kira-kira 3 ribu hadirin.
Tetapi sewaktu Mohamad Sabu (atau selalu dipanggil Mat Sabu) mencampak
mikrofon itu saya tak nampak. Terlindung oleh hadirin yang ramai.
Hanya dengar cerita orang lain sahaja.
Namun teknologi hari
ini membantu. Malam itu juga video Mat Sabu marah-marah di atas pentas
dan melempar mikrofon itu tersebar di ruang maya. Semua orang boleh
melihatnya dengan jelas. Itulah maka pelbagai komen turut tersebar.
Saya pun terdorong untuk mengulas peristiwa tersebut.
Saya menganggapnya satu peristiwa penting dan bersejarah kerana yang
melakukannya adalah seorang presiden kepada satu daripada 5 parti
politik utama di Malaysia – Umno, DAP, PKR, PAS dan Amanah.
Mat
Sabu ialah presiden parti Amanah. Memang logik dan munasabah kalau
orang mengatakan dia tak sepatut dan tak sewajarnya berkelakuan begitu
di atas pentas dalam majlis penting begitu. Majlis mengingati setahun
Datuk Seri Anwar Ibrahim dikurung di dalam penjara yang tak jauh dari
pentas tersebut.
Tetapi saya tidak melihatnya dari sudut
patut-tak-patut dan munasabah-tak-munasabah itu. Saya melihatnya dari
segi rasional mengapa terjadinya peristiwa penting itu dan selepas ia
terjadi, apakah makna yang diisyaratkannya kepada kita.
Cuba perhatikan kata-katanya di hujung ucapannya yang ringkas itu!
"Sampai bila kita nak berkeadaan begini? Usiaku menjelang 60 tahun.
Belum lagi berubah rakyat Malaysia. Ayoh, Melayu Cina India Kadazan
Murut, semua kaum. Tanya diri kita: Apakah kita pejuang, atau hanya
bermain slogan, untuk menyedapkan hati saudara kita di penjara sana?
Cih!!! Mari kita lawan!" (Atau "mari kita bangun", tak jelas).
Lalu sambil berpusing ke kanan, dengan tangan kanan (memegang mikrofon)
yang kelihatan agak terketar-ketar (menahan marah-kecewa-geram) itu dia
melempar mikrofon ke arah belakang pentas, sambil berjalan menuju ke
tangga turun.
Persoalannya ialah mengapa. Mengapa sampai
terjadi seorang presiden sebuah parti yang baharu lagi ditubuhkan,
selepas berpecah dan keluar daripada parti Islam yang dia pernah
menjadi timbalan presiden, dengan dakwaan mengambil alih perjuangan
parti Islam itu yang lari dari landasan perjuangan asal – mengapakah
sampai terjadi demikian?
Mengapakah seorang presiden sebuah
parti progresif dan bersemangat pejuang itu sampai bertindak
menunjukkan kekecewaan dan kemarahan begitu?
Jawapannya ialah
kekecewaan teramat sangat. Dia sudah sampai ke satu tahap kekecewaan
yang sangat berat. Kecewa bercampur marah dan geram. Marah kepada
pihak-pihak tertentu di kalangan yang menonjolkan diri sebagai rakan
seperjuangan tetapi pada hakikatnya hanya bermain slogan untuk
kepentingan diri.
"Tanya diri kita: Apakah kita pejuang, atau hanya bermain slogan untuk menyedapkan hati saudara kita di penjara sana?"
Kawan-kawan saya bertanya siapakah dimaksudkan "hanya bermain slogan
untuk menyedapkan hati saudara kita di penjara sana?" Memang kita boleh
meneka dan mengagak siapakah yang dimaksudkan oleh Mat Sabu itu. Tetapi
bagi saya itu tidak penting.
Yang lebih penting ialah hakikat
Mat Sabu mengalami satu tahap kekecewaan yang besar. Sudah berpuluh
tahun berjuang tetapi rakyat Malaysia masih tidak berubah. "Sampai bila
kita nak berkeadaan begini?"
Tanyanya kepada hadirin yang ribuan itu, dan saya percaya kepada dirinya sendiri juga.
Saya sebenarnya beberapa kali membangkitkan persoalan ini dalam
tulisan-tulisan sebelum ini, sejak beberapa tahun lalu. Dan saya juga
pernah menulis perihal bayangan keletihan yang saya lihat pada wajah
Anwar sendiri.
Dan saya pun lama memerhati ramai di kalangan
pimpinan kita sendiri yang hanya suka bermain slogan bukan sahaja untuk
menyedapkan hati orang yang di dalam penjara itu, tetapi untuk
menyedapkan hati rakyat juga.
Dalam kata lain mereka menipu dan
memperdaya rakyat, untuk kepentingan diri sendiri semata. Di kalangan
pimpinan PKR dan juga di kalangan pimpinan PAS, sama sahaja macam Umno.
Parti Amanah masih baharu, kita belum dapat menilainya.
Saya
dan kawan-kawan dalam kumpulan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) malah
melihat gelagat sumbang di kalangan sebahagian pimpinan kita itu seawal
Jun 2008 lagi. Bacalah tulisan saya "Era Reformasi sudah berganti era
Reformani?" dalam buku "Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya" (2012).
Dan kami di dalam Paksi sedikit demi sedikit memperkukuhkan
kepercayaan kepada tekad budaya (cultural will), lebih daripada
percayakan tekad politik (political will). Maksudnya kami tidak percaya
politik boleh menyelesaikan segala masalah masyarakat kita, seperti
yang dipercayai dan didakwa kebanyakan pimpinan politik di negara kita.
Malah kepercayaan demikian itu (politik boleh menyelesaikan segala
masalah masyarakat) adalah satu kepercayaan salah, dan karut.
Kami di dalam Paksi juga berpandangan masyarakat kita hari ini
keterlaluan berpolitik, atau berpolitik berlebihan. Contoh dan buktinya
terlalu banyak. Boleh dilihat dalam masyarakat kita pada bila-bila masa
sahaja, sekiranya anda memahami apa yang dimaksudkan dengan tekad
budaya.
Maka apabila Mat Sabu memperlihatkan kekecewaannya
begitu di depan khalayak ramai pada malam Selasa 9 Februari lalu, saya
tidak terkejut. Memang begitulah yang sepatutnya berlaku pada seorang
yang jujur dan ikhlas berjuang untuk memperbaiki masyarakatnya di
Malaysia hari ini.
Masyarakat sudah mengalami kerosakan teruk
seperti masyarakat Malaysia hari ini memerlukan lebih daripada politik.
Dengan politik sahaja tidak akan mampu untuk mengubati penyakit dan
menyelesaikan masalah di dalam masyarakat hari ini.
Politik
kita hari ini hanya asyik berebutan kuasa, dan mereka yang sedang
berkuasa menumpukan seluruh usaha mempertahankan kuasa mereka. Itu
sahaja. Membantu rakyat itu pun hanyalah sebahagian usaha untuk merebut
kuasa dan mempertahankan kuasa. Kalau ia tidak boleh menyumbang ke
arah itu maka bantuan kepada rakyat itu tidak akan berlaku.
Campaklah berapa banyak mikrofon pun Mat Sabu, keadaan tidak akan
berubah. Malaysia hari ini memerlukan kepada tekad Budaya (cultural
will), kerana tekad atau keazaman politik (political will) sahaja tidak
memadai.
Kerosakan sudah sampai ke tahap yang sangat kronik.
Sistem nilai masyarakat seluruhnya sudah rosak. Tidak ada tekad atau
keazaman politik yang dapat menyelesaikan permasalahan ini. Kita
memerlukan kepada tekad dan keazaman budaya.
"Cara politik"
selalu berfikir dalam kerangka waktu yang tak mengizinkan untuk
berjangka panjang. Sebarang cadangan untuk bergerak dalam kerangka
jangka panjang akan diketepikan.
Nah, sekarang terbukti. Di
atas pentas Himpunan 365 itu Mohamad Sabu mengakuinya – kegagalan "cara
politik". Maka marilah kita berbincang untuk melihat permasalahan ini
dengan "cara budaya" pula. Insya-Allah!
Campaklah berapa banyak mikrofon pun, Mat Sabu
Written By Wadah Baru on Rabu, 17 Februari 2016 | 9:14 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan