Home » , » Saya tak akan putus asa usaha singkir Najib, kata Dr Mahathir

Saya tak akan putus asa usaha singkir Najib, kata Dr Mahathir

Written By Wadah Baru on Rabu, 17 Februari 2016 | 9:11 PG

Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disiasat kerana mengkritik Datuk Seri Najib Razak dan
pentadbirannya, berkata beliau tidak akan putus asa dalam usahanya menyingkirkan perdana menteri.
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, beliau percaya dalam melakukan sesuatu yang berbaloi.

"Saya sentiasa percaya, apabila kita gagal, kita bangun, dan cuba lagi dan lagi. Ia sama ada apa yang kita buat itu berbaloi atau tidak," katanya kepada pemberita pada satu majlis Proton di Shah Alam hari ini.


Dr Mahathir berkata, masalah yang dihadapi masih mengenai pentadbiran Najib, oleh itu beliau akan terus mendesak perdana menteri itu meletak jawatan.  "Saya masih menekankan keperluan untuk Najib berundur. Semuanya kembali kepadanya (Najib)," katanya ketika ditanya apa yang akan dilakukan seterusnya.

Dr Mahathir lantang mengkritik Najib dan pentadbirannya yang dicemari dan diuji skandal kewangan, iaitu firma pelaburan negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad, "derma" RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya, ekonomi yang perlahan dan ringgit yang makin lemah.

Beliau turut menyeru Najib meletak jawatan, malah menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada Ogos lepas, di mana beliau mendakwa beberapa pemimpin Umno korup dan tidak membantah langsung pentadbiran Najib yang terlibat dengan kontroversi.

Tulisan di blog beliau baru-baru ini, yang membidas keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mengambil tindakan terhadap perdana menteri dan mengatakan pendakwa utama negara itu tiada kredibiliti, mengakibatkan beliau kini disiasat kerana kesalahan jenayah fitnah.

Dr Mahathir berkata, undang-undang di negara ini tidak dilaksanakan dengan sewajarnya dan bertanya jika pentadbiran negara adalah sebahagian daripada demokrasi apabila orang yang bercakap dan mengkritik akan ditimpa masalah.

"Undang-undang sedia ada tidak dilaksanakan dengan betul. Undang-undang baru kemudiannya digubal untuk tujuan lain dan orang ditangkap dan dibicara.

"Saya tahu, ketika zaman saya, kita ada ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) tetapi saya tidak menggunakannya untuk mengganggu orang, mereka yang mengkritik saya.

"Kecuali apabila mereka melakukan sesuatu kepada negara," katanya.

"Kalau anda kritik kerajaan sekarang, anda akan ditahan, disoal dan dibicarakan. Kalau ada tidak boleh mengkritik, mana demokrasinya?

"Undang-undang berbeza digunapakai, bergantung kepada siapa anda. Jadi, seseorang perlu katakan sesuatu. Saya perlu mengatakannya kerana saya mahu negara mempunyai reputasi yang baik."

Dr Mahathir berkata, reputasi Malaysia kini busuk dan ia sesuatu yang memalukan apabila orang bertanya apa yang berlaku kepada negara ini.

"Orang bertanya kepada saya apa yang berlaku kepada negara anda? Ia memalukan. Semuanya kerana kepimpinan seorang individu."

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger