Home » » Husam cadang Tuan Ibrahim ambil alih daripada Hadi selamatkan PAS

Husam cadang Tuan Ibrahim ambil alih daripada Hadi selamatkan PAS

Written By Wadah Baru on Selasa, 8 Mac 2016 | 10:08 PG

OLEH ZULKIFLI SULONG

Pemimpin berpengaruh PAS Kelantan Datuk Husam Musa mengutarakan 1 cadangan radikal dalam usaha membawa kembali parti Islam itu ke pentas utama politik negara, yang pasti mencetuskan kemarahan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bekas naib presiden itu mencadangkan timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil alih kepimpinan daripada Hadi, yang katanya perlu berundur dan menggantikan tempat mursyidul am atau timbalannya.

Husam yang juga salah seorang tokoh PAS paling dikenali di peringkat nasional berkata ia pernah berlaku sebelum ini apabila bekas presiden Yusof Rawa dilantik menjadi mursyidul am PAS pada 1989 dan jawatan pemangku presiden diberikan kepada Datuk Fadzil Mohd Noor.


"Tuan Ibrahim perlu ambil alih jawatan presiden secara lunak dan presiden ganti mursyidul am atau timbalannya secara rundingan dalaman. "Jika ini berlaku, saya yakin PAS ada peluang masuk kepada aliran tengah dan penting politik negara semula," kata Husam

Fadzil dikenang ahli PAS sebagai orang yang bertanggungjawab “mengarusperdanakan” parti dengan menjadikan ia lebih menarik kepada profesional di luar organisasi itu yang tidak berlatarbelakangkan pendidikan agama.

Membuat teguran pedas terhadap status PAS ketika ini, Husam yang juga bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama 2 penggal berkata, parti itu kini hanya menjadi "kuasa ketiga" dalam landskap politik negara.

"Saya lihat sekarang ini PAS ditadbir umpama persatuan pelajar universiti saja oleh orang yang kurang pengalaman.

"PAS sudah bertukar daripada seekor singa gagah kepada seekor kucing yang tidak tahu ke mana mahu pergi," kata Husam , merujuk kepada kenyataan berputar-putar daripada pucuk kepimpinan parti itu.

Tetapi, nasib parti itu boleh diubah jika Tuan Ibrahim, yang juga bekas pesuruhjaya PAS Pahang, mengambil alih.
Husam adalah antara pemimpin golongan "progresif" berhaluan kiri dalam PAS yang menyaksikan kebanyakannya meninggalkan parti itu untuk membentuk Parti Amanah Negara (Amanah) selepas kepimpinan konservatif PAS di bawah Hadi memutuskan hubungan dengan DAP tahun lepas, yang membawa kepada kejatuhan pakatan pembangkang sebelum ini, Pakatan Rakyat.

Cadangan Husam dibuat susulan hasil kajian yang dijalankan badan pemikir Ilham Centre yang mendapati ahli PAS merasakan mereka tiada arah tujuan kerana kenyataan sering berbeza dikeluarkan pemimpin tertinggi dan tiadanya perpaduan kini memandangkan ia tidak lagi menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang nasional, Pakatan Harapan.

Contoh terbaru ialah apabila Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan parti itu tidak akan menyertai inisiatif Deklarasi Rakyat diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, 3 pemimpin PAS, Datuk Mustafa Ali, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Khairudin Aman Razali menghadiri majlis pelancaran deklarasi itu pada 4 Mac lalu dan mencatatkan nama mereka pada dokumen yang antara lain, menggesa penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tuan Ibrahim kemudiannya menjelaskan, ketiga-tiga mereka hadir dengan kebenaran Hadi.
Walaupun mengkritik Hadi pada masa lalu, Husam berkata beliau tidak menyimpan sebarang dendam terhadap presiden.

"Saya sayang kepimpinan PAS seperti Ustaz Hadi. Bila saya cadangkan Ustaz Hadi diberi kerusi yang lebih munasabah, seperti mursyidul am atau timbalannya.

"Saya buat kenyataan itu dalam harapan supaya ruang perubahan secara terhormat berlaku," katanya.

Husam berkata, ahli PAS mesti bersifat kritikal dan terbuka dalam menghadapi suasana politik sekarang, sambil menambah, beliau pernah beberapa kali membuat cadangan itu secara terbuka di hadapan ahli sebelum ini supaya ia dipertimbangkan.

"Cadangan ini bukan saya nak perlekehkan presiden PAS yang ada, tetapi satu penghormatan, supaya pihak yang lebih baru dan dikenali, tidak mempunyai bebanan politik yang besar untuk berperanan dalam pilihan raya umum akan datang," kata Husam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger