Home » , » Pemimpin UMNO terbuang diberi pentas untuk berucap – Wan Azizah

Pemimpin UMNO terbuang diberi pentas untuk berucap – Wan Azizah

Written By Wadah Baru on Selasa, 8 Mac 2016 | 10:06 PG

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan memberi pentas kepada pemimpin UMNO dalam
usaha menggembleng sokongan umum menuntut perletakan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perhimpunan yang dinamakan `Muafakat Selamat Malaysia’ itu akan diadakan di setiap negeri bermula bulan ini.

“Ia untuk memberi pentas kepada semua pihak dan tokoh termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan lain-lain,” katanya dalam sidang media selepas selesai mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Parlimen, hari ini.

Hari ini, PH mengumumkan bahawa membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dikemukakan sebagai agenda utama, disamping mendesak Najib meletak jawatan dan reformasi institusi.
Dalam pada itu Wan Azizah menjelaskan, Pakatan Harapan juga akan terus konsisten menolak isu-isu ekonomi yang menekan rakyat.

Ini kerana katanya, isu berkenaan tidak boleh ditenggelamkan begitu sahaja oleh perkembangan politik mutakhir ini.

Ia termasuk isu-isu seperti penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST), pembiayaan pendidikan yang munasabah serta menghentikan kenaikan cukai, levi dan yuran yang dikenakan kerajaan.

“Oleh itu, Pakatan Harapan menyeru semua rakyat Malaysia yang mahukan perubahan supaya turun menyertai Perhimpunan Mansuh GST yang akan diadakan pada 2 April 2016 di Kuala Lumpur bersempena dengan satu tahun rakyat Malaysia dibebankan dengan GST,” katanya.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu akan mengetuai jawatankuasa penganjur Perhimpunan Mansuh GST dan perhimpunan `Muafakat Selamat Malaysia’.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger