Home » » PAS sengaja guna hudud cetus pertelingkahan dalam PR

PAS sengaja guna hudud cetus pertelingkahan dalam PR

Written By Wadah Baru on Sabtu, 19 Mac 2016 | 11:59 PG

PETALING JAYA: PAS secara sengaja menekankan agenda pelaksanaan hudud untuk mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat sehingga gabungan pembangkang itu berpecah.

Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pimpinan PAS juga telah menggunakan isu perlaksanaan hudud bagi berkempen untuk menyingkirkan golongan aktivis-profesional yang kononnya menolak pelaksanaan hudud dalam Muktamar PAS yang lalu.

Beliau berkata, tanggapan dan persepi sedemikian dibuat dengan mengandaikan pimpinan PAS sebenarnya faham pra-syarat pelaksanaan hudud termasuk keperluan pindaan Perlembagaan.

“Ramai yang terkejut dengan laporan sidang akhbar mereka (pengumuman PAS bekerjasama dengan IKATAN) termasuk laporan FMT. Kejutan tercetus kerana tajuk yang diberikan news portal FMT ‘Pas-Ikatan sepakat hudud tidak sesuai di Malaysia’. Pada awalnya saya jangka FMT silap lapor atau di’spin’ tajuk oleh wartawan.

“Setelah mendengar dengan teliti sendiri video sidang akhbar itu, saya yakin laporan itu adalah benar dan tepat dengan maksud penerangan yang dibuat oleh kedua-dua Presiden parti itu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pada 16 Mac lalu ketika mengumumkan kerjasama dengan IKATAN, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata PAS perlu membuat persediaan terlebih dahulu sebelum boleh melaksanakan undang-undang Islam itu.

Kenyataan Abdul Hadi itu sekaligus membawa maksud PAS menangguhkan perjuangan pelaksanaan hudud di Kelantan untuk memberi tumpuan kepada blok pembangkang ketiga yang baharu ditubuhkan.

Dr Zulkefly berkata, maka jelas kepada semua bahawa pendirian dan sikap PAS terhadap kedudukan hudud telah berubah.

“PAS yang sebelum ini telah menganggap bahkan menuduh pelbagai pihak yang menolak pelaksanaan hudud di Malaysia dengan hujah atau alasan memerlukan suasana kondusif, tidak bertepatan dengan keutamaan dan umat yang belum bersedia, sebagai golongan yang menolak hudud,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menjelaskan, PAS wajar menjelaskan kedudukan sebenar serta segera menarik balik tuduhan dan memohon maaf kepada semua pihak yang telah mereka zalimi dengan sikap melampau (al-ghuluw) termasuk kepada Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan semua pihak supaya menamatkan segera penggunaan agama khususnya hudud untuk menjatuhkan pihak lawan dan mengkafirkan pihak lawan.

Katanya, AMANAH menyeru seluruh kepimpinan politik daripada semua parti politik pembangkang mahupun kerajaan supaya menumpu agenda besar reformasi dan penambahbaikkan (al-lslah) dalam rangka memenuhi gagasan #Selamatkan Malaysia.

“Semua kebejatan rasuah, ketirisan dan salah-guna kuasa, sama ada yang berlaku di pihak kerajaan Persekutuan mahupun mana-mana kerajaan negeri, wajib dibenteras segera dan rakyat yang celik dan mempunyai maklumat serta informasi, tidak lagi boleh diperkotak-katikkan serta dibelenggu oleh pimpinan kerajaan Pusat dan Negeri,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger