Home » , » Mohamed Hanipa selamat selepas tiga jam dibedah

Mohamed Hanipa selamat selepas tiga jam dibedah

Written By Wadah Baru on Selasa, 5 April 2016 | 2:25 PTG

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin selamat menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)
pada pukul 12.50 tengah malam tadi.

Pembedahan bermula jam 9.45 malam dan berakhir kira-kira tiga jam selepas itu.
Hanipa yang mengalami pendarahan di kepala menjalani rawatan di Bahagian Neurologi.
Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub antara pemimpin yang terawal menziarahi beliau untuk mengetahui perkembangan terkini Pengerusi Kanun Amanah Nasional itu.

Turut hadir malam tadi ialah Ahli Jawatankuasa Amanah, Dr Hatta Ramli dan Dr Mujahid Yusof dan Penolong Setiausaha Agung Amanah, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Antara pemimpin PKR yang hadir ialah Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin serta Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani.

Selain itu, bekas Exco DAP kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu serta beberapa wakil rakyat Amanah dan DAP juga hadir.

Dalam hal berkaitan, Timbalan Pengerusi Amanah merangkap Timbalan Ketua Amanah Batu, Tarmizi Mat Jam berkata, beliau bersama Ketua Amanah Batu, Ishak Surin dan Bendahari, Khairul Salleh Ishak meninggalkan ruang legar bilik bedah neurologi pukul 1.35 pagi tadi.

"Pendarahan beku di kepala sudah dibuang. Ramai pihak yang datang dan menanti keputusan pembedahan tersebut," ujarnya yang juga bekas editor akhbar rasmi Harakah.

Dimaklumkan kira-kira pukul 1.45 pagi tadi, Hanipa telah dipindahkan ke wad ICU neurologi dan hanya isteri beliau sahaja dibenarkan masuk.

Semalam Mohamad Hanipa dikejarkan ke hospital kira-kira jam 5.30 petang  apabila beliau telah pengsan sewaktu persidangan Dewan Rakyat.

Beliau kemudian dibawa dengan kerusi roda ke klinik Parlimen dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger