Oleh Arif Atan
Rata-rata
pengundi Cina di Parlimen Sungai Besar yang ditemui oleh Ilham Centre
dalam tinjauan lapangan badan kajian politik itu baru-baru ini
menyatakan penolakan mereka secara berterus-terang terhadap Pas.
Pengerusi Eksekutifnya, Hisomudin Bakar berkata, reaksi spontan
pengundi Tionghoa di parlimen tersebut dipercayai ekoran perubahan dasar
kepimpinan Pas termasuk bertindak keluar daripada blok pembangkang
sekaligus memecahkan gabungan Pakatan Rakyat.
“Pengundi Cina sudah tentu tak akan undi Pas. Melalui pertemuan
dengan penduduk Cina di Sungai Besar, bila ditanya kepada mereka, berapa
peratus Cina boleh bagi (undi) pada Pas, mereka ada yang jawab, kalau
dapat 1 peratus pun, Cina buta saja yang undi Pas,” ujarnya.
Berkongsi hasil pemerhatiannya pada forum “Tiga Penjuru: Pembangkang
Rugi?” di Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi, beliau memberitahu,
pengundi Cina di Parlimen Sungai Besar jelas marah dengan pendirian
politik Pas.
“Jadi, ke mana pengundi cina pergi? Kepada Amanah kebarangkalian
tinggi, atau dapat nombor dua (jumlah undi). Jika kena dengan strategi,
Amanah juga akan meraih undi daripada kelompok atas pagar yang sebelum
ini mengundi Pas atas tiket pakatan pembangkang,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Hisomudin mengakui pihaknya tidak terlalu optimis
dengan jumlah undi yang diterima Amanah sekiranya peratusan pengundi
Cina keluar mengundi merosot atau pengundi muda di luar Sungai Besar
enggan pulang untuk mengundi.
Mengulas perkembangan semasa Pas di Sungai Besar, beliau berpendapat
parti diterajui Datuk Seri Hadi Awang itu sedang mengalami banyak
masalah.
“Suramnya kempen Pas di Sungai Besar setakat ini. Pas tak buka lagi
40 cawangan. 15 cawangan saja yang buat (mengadakan) mesyuarat. Itupun
tak buka UPU (Unit Peti Undi) mereka.
“Mereka sudah tahu keputusan (PRK). Pas dijangka hilang 6,000 hingga 8,000 undi daripada pengundi Cina,” ujarnya.
Melihat potensi yang ada pada Amanah ekoran kemelut Pas itu,
menurutnya, situasi tersebut berbeza di antara Parlimen Sungai Besar dan
Kuala Kangsar.
“Ada kelompok harummanis (masih ahli Pas tetapi kritis terhadap
parti) yang masih belum keluar. Kelompok ini lebih ramai di Sungai Besar
berbanding Kuala Kangsar. Pada peringkat awal lalu, mereka yang masuk
Amanah ini ramainya adalah guru dan aktivis Pas,” katanya lagi.
Sementara itu, pemilihan Budiman Mohd Zohdi sebagai calon bertanding
di Sungai Besar, ujarnya, keputusan BN itu lebih bersandarkan faktor
populariti.
“Budiman dia ini begitu popular termasuk kalangan mat-mat rempit.
Umno ingin mengambil jalan mudah kerana calon sudah dikenali. Kita juga
perlu memahami cara berfikir penduduk tempatan yang tegar pemikirannya
sama ada di sebelah Umno mahupun Pas,” tambahnya lagi.
Forum anjuran Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) selama kira-kira dua
jam itu tetap diteruskan dalam keadaan bergelap dan panas akibat
terputusnya bekalan elektrik ketika memasuki jam kedua program tersebut.
Walau bagaimanapun, pentas forum masih diterangi sedikit cahaya
apabila beberapa peserta secara spontan menyalakan fungsi lampu pada
telefon pintar masing-masing.
Pas bakal hilang 6 hingga 8 ribu undi Cina Sg. Besar
Written By Wadah Baru on Selasa, 7 Jun 2016 | 2:49 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan