Home » , » Kenapa Pakatan Harapan Dan TIdak Yang Lain ?

Kenapa Pakatan Harapan Dan TIdak Yang Lain ?

Written By Wadah Baru on Selasa, 2 Ogos 2016 | 10:44 PG

Oleh J amzuri Ardani

Ketika Soviet Union menjajah Afghanistan, rakyat Afghanistan bangun berjihad dengan satu tujuan iaitu membebaskan negara mereka dari penguasaan kuasa asing. Ratusan ribu para syuhada yang gugur.

Sebaik sahaja Soviet keluar dari bumi Afghanistan, maka muncung senjata para pejuang dihalakan sesama mereka. Maka berlakulah perang saudara yang memakan korban yg lebih besar di kalangan rakyat.

Sentimen kelompok dan fahaman tribalisma mula menguasai pemimpin politik baru Afghanistan. Bosan dengan pertelingkahan yang tiada hujungnya, rakyat akhirnya memberi sokongan pada Taliban. Tapi Taliban juga gagal. Sehingga kini, rakyat Afghanistan masih menjadi korban keganasan pertembungan kuasa dan sektarian.

Kebangkitan Arab (Arab Spring) juga mengalami nasib hampir serupa. Rakyat bangun mahu menjatuhkan diktator yang korup. Di Tunisia, Mesir, Libya, dan Yaman ... rakyat bersatu menumbangkan rejim diktator yg memerintah begitu lama.

Namun, selain Tunisia, negara-negara lain tidak berjaya. Mesir kembali kepada junta. Libya masih terperangkap dlm perang saudara. Yaman juga tidak ke mana.

Apa pengajarannya? Bagi saya, kalau parti-parti politik pembangkang mahu menumbangkang BN, mereka perlu terlebih dahulu menyusun organisasi politik mereka dengan baik. Kita tidak mahu jadi macam Afghanistan atau Libya. Kejatuhan rejim lama hanya digantikan dengan pertelingkahan kelompok yang tiada kesudahan oleh parti-parti yang sebelumnya menentang rejim lama.

Maka itu, pendekatan "loose coalition", "election pact", "persefahaman satu lawan satu" dan seumpamanya bukan jawapan kepada kerosakan besar yang dilakukan oleh BN.

Parti-parti pembangkang perlu kepada sebuah kolisi politik yang tersusun, berdisiplin, dan bersatu-padu. Kolisi politik ini perlu mempunyai struktur dan dasar yang jelas dalam perkara-perkara yang kritikal. Mereka perlu diikat dengan perjanjian dan persefahaman yang utuh. Hanya kolisi politik seperti ini yang mampu memberi jawapan kepada dilema politik negara kita.

Maka itu, saya melihat hanya Pakatan Harapan yang setakat ini mempunyai persediaan ke arah itu. Saya sangat pesimis dengan pendekatan politik yang hanya mahu mengalahkan BN, tetapi tidak mempunyai komitmen untuk membina kolisi politik yang padu sebagai persediaan awal mengambil-alih pemerintahan.

Pada tahun 2008, lima negeri terlepas dari genggaman BN. Waktu itu, pembangkang tidak mempunyai kolisi yang baik untuk mengambil alih pentadbiran negeri. Tetapi kita bernasib baik kerana kita punya tokoh tersohor seperti TG Nik Abdul Aziz, DS Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang berjaya membentuk Pakatan Rakyat.

Sebaik sahaja TG Nik Abdul Aziz meninggal dunia dan DS Anwar Ibrahim masuk penjara, kolisi Pakatan Rakyat jadi berantakan.

Pengajaran ini perlu diambil sebaiknya. Jawapan kepada permasalahan ini ialah Pakatan Harapan, dan tiada yang lain. Sekiranya "Grand Coalision" mahu diwujudkan yang melibatkan penyertaan parti-parti politik yang lain, ianya mesti wujud dengan format yang dengan Pakatan Harapan.

Saya secara tegas menyatakan, saya tidak yakin dengan pendekatan hanya sekadar "loose coalition","one-to-one understanding", "dual coalition" dan seumpamanya kerana ini adalah benih-benih yang bakal membawa kepada pertelingkahan di kemudian hari.

Kita telah melihatnya berlaku, dan pastinya ia akan berulang. Ketololan itu ialah apabila anda melakukan perkara yang sama berulang-ulang, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.
Wallahu a'lam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger