Oleh Nasharuddin Muhammad
Biarpun belum diketahui sama ada diluluskan Pendaftar Pertubuhan
(ROS) atau tidak, yang pasti kewujudan satu lagi parti politik baru,
Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau mahu dikenali sebagai Bersatu tambah
menyerlahkan lagi perpecahan dan kekeliruan politik yang berlaku dalam
kalangan orang Melayu dan Bumiputera.
Walaupun belum diketahui sejauh mana kekuatan, termasuk cabaran yang
boleh diberikan parti itu dalam mencorakkan landskap politik tempatan
khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, yang pasti
pemerintah, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh mengambil mudah
terhadap kewujudannya.
Dalam hal ini, tindakan berterusan segelintir ahli dan pemimpin UMNO
memperkecil-kecilkan cadangan penubuhan parti baru itu sebenarnya tidak
membawa sebarang kebaikan kepada parti dalam jangka masa panjang.
Sebaliknya, BN dan UMNO perlu melihat kewujudan parti itu dalam
konteks lebih positif sebagai cermin diri untuk memperbaiki sebarang
kelemahan dan kepincangan jika ada, seterusnya meningkatkan lagi
keupayaan dan perkhidmatan kepada majoriti rakyat yang memberikan mandat
dan kepercayaan kepada parti itu pada PRU ke-13 yang lalu.
Sebagai parti yang sudah terbukti berjaya meletakkan negara pada
tahap yang ia miliki sekarang, BN dan UMNO sebenarnya tidak perlu
menggelabah, sebaliknya parti itu perlu berterusan melaksanakan segala
agenda yang dirancang untuk faedah majoriti rakyat.
Andai dilihat terlalu panik, ia hanya menyerlahkan lagi kekalutan
sendiri sedangkan parti baru itu belum pun lagi diluluskan untuk
ditubuhkan secara rasmi, termasuk pemilihan namanya sama ada dibenarkan
atau ditolak oleh ROS nanti.
Benar, cadangan penubuhan parti baru itu agak berbeza dengan
penubuhan parti-parti serpihan UMNO sebelum ini khususnya selepas era
negara mencapai kemerdekaan khasnya Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan
Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pertamanya, parti baru ini diasaskan oleh bekas Perdana Menteri
selama 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Presiden UMNO
paling lama berkuasa bersama beberapa bekas pemimpin parti termasuk
bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bakal
Presidennya.
Keduanya, parti politik baru itu diasaskan di celah-celah pelbagai
kemelut yang melanda UMNO dan kerajaan pimpinannya khususnya isu 1MDB
yang kini turut mengundang campur tangan negara asing termasuk negara
kuasa besar Amerika Syarikat.
Ketiganya, cadangan keanggotaan parti baru itu sendiri yang terbuka
kepada hanya orang Melayu dan Bumiputera dari seluruh negara sebagai
ahli penuh yang mempunyai kuasa mengundi manakala bukan Melayu boleh
menjadi ahli bersekutu tanpa kuasa mengundi.
Kerana itu, biarpun penubuhan parti baru ini pada asasnya tetap
berpaksikan kepada kekecewaan disebabkan matlamat tertentu barisan
pemimpin pengasasnya tidak dapat dicapai atau dipenuhi kerajaan namun
tetap tidak boleh dipandang sebelah mata, dianggap enteng dan remeh.
Sebagai ahli dan pemimpin parti, seseorang itu memang berhak dan
dituntut untuk mempertahankan organisasinya namun bukan dengan
mengeluarkan pelbagai kenyataan yang memperlekehkan pihak lawan,
sebaliknya mempertahankan parti dengan membuktikan segala dakwaan dan
tohmahan dibuat itu tidak benar.
Dalam konteks ini, BN dan UMNO perlu melihat penubuhan parti baru
ini umpama cermin diri kepada mereka untuk kembali melihat semula
kelemahan dan kepincangan sendiri yang ada dan mengatasinya secepat
mungkin.
Jika ini dapat dilakukan dengan baik dan berkesan, tidak mustahil ia
mampu untuk terus berkuasa, sekali gus melenyapkan impian parti baru
itu seperti dilaung dan dicanangkan pemimpin pengasasnya konon mahu
mengambil dan memenuhi peranan dan tanggungjawab yang gagal dilakukan BN
dan UMNO.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan