Home » , » Nurul Nuha mahu Tun M buat pengakuan maaf terbuka kepada Anwar

Nurul Nuha mahu Tun M buat pengakuan maaf terbuka kepada Anwar

Written By Wadah Baru on Rabu, 14 September 2016 | 11:27 PTG

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memohon maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengakui kesalahan-kesalahan masa lalu terhadap pemimpin pembangkang, kata Nurul Nuha Anwar.

Nurul Nuha anak kedua kepada bekas timbalan perdana menteri itu berkata, Dr Mahathir mesti mengakui dakwaan rasuah dan liwat "yang direka-reka" terhadap Anwar pada tahun 1998 sebelum berfikir mengenai sebarang bentuk pakatan dengan Ketua Umum PKR itu.

"Sebagai seorang anak gadis yang menyaksikan azab yang tidak terkira bapa saya lalui 18 tahun yang lalu, hasrat peribadi saya adalah supaya Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka dan mengakui dakwaan berkenaan adalah rekaan.

"Saya rasa ini akan mengurangkan penderitaan yang kami lalui sebagai sebuah keluarga. Ia bukannya akan menjadi lebih mudah, tetapi kamu perlu menjadi lebih kuat,"kata Nurul Nuha kepada Malay Mail Online seperti dipetik.

Dr Mahathir muncul di mahkamah pada 5 September lalu untuk kes yang melibatkan Anwar, yang telah memfailkan injunksi interim di Mahkamah Tinggi, untuk menghentikan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 daripada dikuatkuasakan.

Kedua-dua pemimpin enggan mengulas sama ada pertemuan bersejarah itu , merupakan satu bentuk langkah perdamaian.

Dr Mahathir memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998, dan beliau kemudiannya dipenjarakan dan didakwa dengan tuduhan liwat dan rasuah.

""Saya senada dengan kata-kata ayah, kita maafkan tetapi kita jangan lupa," kata Nuha, sambil menambah keluarganya bagaimanapun akan menghormati sebarang keputusan Anwar mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir sekarang.

Sambung Nurul Nuha lagi, "seperti yang saya katakan, bagi saya, Dr Mahathir datang ke mahkamah adalah isyarat yang jelas mengakui kesalahannya dalam konspirasi dan ia satu permulaan yang baik.

"Bagaimanapun, kami akan berdiri di belakang bapa kami dengan keputusan yang beliau buat," katanya.

Semalam Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan juga berkata pertemuan bapanya dengan Anwar adalah satu permulaan bagi bagi kerjasama antara PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger