Home » , » Bajet muruku Najib, enak sampai bila?

Bajet muruku Najib, enak sampai bila?

Written By Wadah Baru on Khamis, 27 Oktober 2016 | 3:13 PTG

Oleh Dr Dzulkefly Ahmad

Menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak berjaya merumuskan “bajet pilihan raya” dengan cemerlang. Syabas!

Pastinya hampir seluruh segmen rakyat diberikan peruntukan bagi menyuntik rasa sedap. Tidak ada yang dipinggirkan. Perdana menteri berjaya mencetuskan “rasa enak” atau “feel-good factor”.
Tetapi selama mana boleh lega dan rasa sedap atau enak itu? Selama ada makanan itu dalam mulut sebagai “alas perut”.

Ya, tetamu diberikan hidangan “muruku” ketika bertandang di rumah sahabat menyambut perayaan Deepavali. Tak sedap ke muruku ini? Sedap. Tetapi kalau sampai ke malam tetamu masih menguyah muruku, tentunya pelik dan ada yang tidak kena.

Nah, kami nobatkan Belanjawaan 2017 ini sebagai “Bajet Muruku Najib Razak”! Tulisan ini bertanggungjawab meyakinkan anda akan ketepatan keputusan kami.

Buat permulaan, peringatan fakta anggaran perbelanjaan dan sedikit komentar awal tentang perihal itu.

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan yang diperakukan bagi tahun 2017 berjumlah RM262,800 juta. Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM214,800 juta, sementara Perbelanjaan Pembangunan disediakan peruntukan sebanyak RM48,000 juta atau 18.3%.

Daripada peruntukan pembangunan ini, hanya RM25.9 bilion sahaja untuk sektor ekonomi, selebihnya untuk sektor sosial, keselamatan dan pentadbiran am.

Hutang ‘tersembunyi’

Mengurangkan peruntukan pembangunan sememang menjadi tabiat Najib. Peruntukan untuk memacu pembangunan ekonomi khasnya, sejak beliau ambil alih negara, sengaja secara di luar bajet atau “off-budget spending”.

Hutang itu tidak dikira atau “nampak” dalam penyata kewangan (balance sheet) sebagai aset dan hutang (debt) sebagai liabiliti. Dengan kata lain, hutangnya “tersembunyi”. Maka kewangan negara (atau syarikat) nampak sihat atau ‘heathy’.

Laporan Ketua Audit 2012, contohnya, menggemparkan rakyat yang faham kewangan, kerana tetiba nama PFI Sdn Bhd, anak syarikat milik kerajaan berhutang sebanyak RM28 bilion. Tabiat berbelanja di luar kawalan pemantauan Parlimen ini jugalah, antara lainnya, menatijahkan fenomena skandal super-mega 1MDB.

“Defisit fiskal” nisbah KDNK seolah-olah terus turun daripada 3.8% pada 2013 kepada 3.4% pada 2014, 3.2% untuk tahun 2015. Bagi 2016, kerajaan mengharapkan defisit fiskal akan dapat diturunkan ke paras 3.1% KDNK dan 3% untuk 2017. Hakikatnya pastinya tidak begitu.

Penelitian Laporan Ekonomi 2016/2017 yang diterbitkan Kementerian Kewangan akan menemukakan kita dengan fakta bahawa Syarikat Awam Bukan Kewangan (SABK) yang terdiri daripada 29 syarikat-kaitan kerajaan (GLC) seperti Indah Water Konsortium, KTM Bhd, Telekom Malaysia, Malaysia Airlines Bhd, Malaysia Airport Holdings, Prasarana, Syarikat Perumahan Negara, Tenaga Nasional, MRT Co, UEM Group dan banyak lagi, juga berhutang dengan jumlah yang besar.

Laporan tersebut menunjukkan SABK masih punya hutang berbaki sebanyak RM50,472 juta (RM50.5 bilion). Pembayaran hutang (debt services) kerajaan pusat pula dilaporkan dalam bajet pada paras RM28.8bilion setahun untuk 2017.

Itu tidak termasuk hutang RM20 bilion, juga ditanggung kerajaan akibat angkara rompakan ke atas 1MDB.

Tema bajet Najib, andainya anda terlupa kerana seronok menguyah muruku, ialah “Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh”. Tahniah Najib! Tema Belanjawaan paling panjang sejak Merdeka.

Seandainya penulis diminta mengulas bajet Najib tentang perihal seluruh “pemberian muruku atau gula-gula” ini kepada semua segmen rakyat; B-40 dan M-40, OKU, awam-swasta dan sektor ketiga-tak formal, bandar-luar bandar, mengikut sektor pertanian, pembuatan, perkhidmatan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain nescaya habis ruang penulisan ini. Tentu tidak besar menafaatnya. Cukup secara kritis dan secara selektif. Kita mulakan.

Bajet PRU?

Kita jawab dulu sama ada ini “bajet pilihan raya”. Sebab ada yang dakwa tak mungkin kerana peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya RM48.6 juta sahaja.

SPR diperuntukkan RM150.6 juta pada 2016 bagi antara lainnya, menjalankan pilihan raya negeri Sarawak. Pada Bajet 2013, SPR mendapat peruntukan mega RM461.6 juta untuk mengurus pilihan raya umum (PRU) ke-13. Jadi bagaimana?

Komentar saya, tanggapan seperti ini punya risiko. Ini mungkin langkah Najib secara taktikal untuk “decoy” atau “tipu” pembangkang. Bila-bila masa Najib boleh bentang “Anggaran Perbelanjaan Tambahan” (Supplementary Budget) kalau beliau sudah cukup yakin boleh menang tahun depan. Hati-hati dan jangan terleka.

Perumusan Bajet 2017 ini dan ditambah dengan cara Najib membentangkannya berjaya melupakan rakyat akan kedudukan ekonomi negara sebenarnya.

Pendapatan negara terus menurun sejak 2015 daripada RM235.2 bilion kepada anggaran RM225.7 bilion pada 2016. Bajet 2017 menganggarkan pendapatan turun lagi sebanyak RM219.7 bilion. Anggaran angka itu pun tidak realistik.

Sementara pendapatan dari hasil cukai pendapatan petroleum (Pita) yang menurun daripada RM11.6 bilion pada 2015 kepada RM8.5 bilion, apakah asas jangkaan Najib bahawa ramalan pendapatan dari Pita akan meningkat ke tahap RM10.6 bilion?

Begitu juga kedudukan cukai pendapatan korporat (Cita) yang dijangkakan akan meningkat, sementara Putrajaya tahu bahawa kadar pertumbuhan negara tidak begitu memberangsangkan. Ramalan untuk mendapatkan RM69.2 bilion, sekali lagi agak tinggi. Pihak korporat hanya mampu menjana RM63.2 bilion tahun 2016 ini.

Pun begitu, ramalan untuk mendapatkan pungutan cukai GST untuk 2017 akan melonjak ke paras RM40 bilion dari RM38.5 bilion untuk 2016. Apa asas Najib rakyat akan berbelanja besar. Sebab diberi BR1M?

Buat pekak

Persoalan besar buat kami ialah keengganan Najib berterus terang mengenai kedudukan ekonomi sebenar atau dengan kata lain, dia buat pekak sahaja.

Kembali kepada topik asal. Persoalan besar yang perlu dijawab Najib ialah sejauh mana bajet ini mampu merungkaikan permasalahan rakyat. Memang dijangkakan BR1M akan dinaikkan. Tetapi penambahan 54 sen sehari untuk kelompok penerima BR1M di bawah gaji RM3,000, apakah akan dapat membantu menangani kos saraan hidup sementara gaji mereka tidak naik berkadar dengan inflasi?

Memetik kajian orang awam (NST, Okt 22, 2016, ms 6), Pengurus Perhubungan Raya, Melinda Ambrose, 30, menyatakan kenaikan RM200 tidak bemakna bagi mereka yang layak menerimanya, sebab ia tidak banyak membantu perbelanjaan seharian kerana kos saraan hidup telah meningkat.
“Apa yang kami perlukan ialah mengurangkan kadar tol dan perkhidmatan nurseri percuma supaya ibu-ibu mampu berkerja”. Nah, kerajaan patut tahu denyut nadi rakyat.

Kalau asalnya hanya golongan B-40, tetapi sekarang Putrajaya bermurah hati melanjutkan kepada golongan M-40. BR1M tidak wajar dijadikan program jangka jauh. Takut-takut Malaysia akan segera menjadi ikon “BR1M-Economy” dalam liga negara maju sedikit waktu lagi!

Apa sebenarnya yang mahu dicapai Bajet 2017? Kalaulah seperti yang selalu didakwa Putrajaya, kaedah perumusan bajet yang digunakan mereka ialah “Outcome-Based Budgeting” atau “Bajet Berdasarkan Keputusan”, maka apakah keputusan yang mahu dicapai?

Apakah peningkatan hutang – 3 jenis – korporat, isi-rumah dan hutang kerajaan? Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebenarnya dipacu hutang atau “debt-based growth” melalui “debt-based consumption” atau perbelanjaan berhutang. Pertumbuhan dipacu “domestik” dengan berhutang besar. Itu model yang tidak mapan. Pertumbuhan mesti dipacu produktiviti.

Nasib B-40

Lebih khusus lagi, sejauh manakah Bajet 2017 sebagai alat fiskal jangka pendek, berbanding dengan program pembangunan jangka tengah dan jangka panjang (seumpama Rancangan Malaysia), mampu mengatasi beberapa persoalan besar seperti penekanan terhadap penjanaan pekerjaan yang memberi sistem upah yang lebih tinggi? Apakah memadai dengan selama-lamanya menjadi pemandu Uber sahaja buat B-40 bahkan M-40!

Ya, sejauh manakah Bajet 2017 ini, diyakini dapat membantu peningkatan tahap produktiviti pekerja-pekerja di negara ini sekaligus memberi peluang pekerjaan dan ruang untuk menjana pendapatan dan upah yang lebih tinggi. Ini yang dituntut Gen-Y dan semua rakyat. Seramai 60,000 diberhentikan kerja mutakhir ini dan 200,000 graduan menganggur.

Untuk ingatan, Najib akui dalam ucapannya, hanya 2.1 juta daripada 14.6 juta warga kerja atau 14%, yang mampu atau perlu membayar cukai pendapatan. Itu membuktikan hakikat kedudukan tahap gaji atau “wage regime” rendah di negara ini. Sepatutnya juga asas pemilikan rumah mesti bersandarkan pendapatan yang munasabah.

Barulah akan terlaksana “pemilikan yang berhemah”. Bukan dengan cara meningkat kelayakan pinjaman penjawat awam berhutang dan pengenalan pelbagai skim rumah mampu milik! Takut hanya mampu tengok! Sekali lagi, asas dan dasarnya ialah “pendapatan yang bermaruah” – “a decent income”.

Memang diakui pelbagai peruntukan dirumus bagi meningkat pusat vokasional, politeknik dan pembangunan keterampilan teknikal atau TVET untuk keperluan industri. Namun potongan hampir 20% kepada 20 institusi pengajian tinggi awam dalam pengurusan perbelanjaan pasti akan menjejaskan prestasi pusat pengajian tinggi awam negara yang baru memasuki radar ranking dunia.

Potongan dana penyelidikan adalah satu yang tidak wajar kalau “outcome-based budgeting” meletakkan kepentingan melahirkan kreativiti dan inovasi adalah kunci dalam merancakkan kegiatan ekonomi-berteraskan pengetahuan.

RM300 juta yang dikongsikan bersama 5 universiti penyelidikan tidak memberi keutamaan yang sewajarnya. Jangan sedap pada retorik sahaja.

Sementara itu, amat mustahak bagi memperteguhkan institusi yang kritikal bagi menyemakkan imbang ketempangan semua pihak termasuk penguasa politik atau parti pemerintah dan pihak birokrat.

Cerita “little napolean” semakin menjadi-jadi. Songlap RM114 juta dana Jabatan Air Sabah satu contoh mutakhir. Sudah jadi budaya perihal songlap dan rompakan seperti ini.

Apakah preskripsi dan peruntukan Bajet 2017 untuk mendepani gejala ini secara konkrit dan serius? Langsung tidak disinggung. Umum amat fahami kedudukan menteri kewangan.

Namun, untuk Najib kekal dalam penafian bahkan mengalihkan kesalahan merosakkan persepsi masyarakat pelabur antarabangsa kepada pihak pembangkang, adalah paling tidak sopan dan tidak bermoral.

Agar Belanjawaan 2017 tidak menjadi sekadar “Bajet Muruku” untuk alas perut, amat mustahak semua pihak menggembleng tenaga memainkan peranan menjaga maruah dan keutuhan kedaulatan tanah air tercinta ini.

Memerangi apa jua jenis kezaliman dan kemungkaran, termasuk dibidang kemungkaran ekonomi dan memajukan tadbir urus kewangan, adalah tangungjawab bersama.

* Dr Dzulkefly Ahmad merupakan pengarah strategi Amanah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger