Home » , » Ezam tinggalkan Umno

Ezam tinggalkan Umno

Written By Wadah Baru on Ahad, 2 Oktober 2016 | 1:50 PTG

PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti Umno hari ini.

“Saya membuat keputusan sukar ini demi mempertahankan prinsip saya berjuang demi melakukan perubahan (islah) sedaya upaya saya,” kata Mohamad Ezam dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan antara sebabnya ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Rahsia Rasmi sebagai sebahagian daripada masalah, menghalang memerangi rasuah. Jelasnya, OSA disalahguna dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Julai lalu, Ezam memberi komen mengenai 1MDB, mengkritik klasifikasi kerajaan terhadap laporan 1MDB oleh Ketua Audit Negara di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Katanya, OSA hanya perlu digunakan terhadap maklumat yang berkaitan dengan keselamatan negara.

“Ini adalah sejuta langkah ke belakang dalam proses transformasi yang dilaungkan menjadi teras kerajaan… Makanya saya sedar saya bukan lagi di dalam parti dan jemaah yang serius mahu lakukan pembaharuan dan islah lebih-lebih lagi apabila ia menyangkut soal rasuah dan penyelewengan.

“Saya tidak boleh berkompromi dalam soal ini. Sebagai satu-satunya warganegara yang pernah dipenjara di bawah OSA, saya benar-benar faham setiap inci peruntukan akta dan merasa bertanggungjawab kepada negara apabila mendapat tahu ia disalahgunakan untuk melindungi perasuah dan penjenayah,” katanya.

Ezam dijatuhi hukuman penjara 2 tahun pada 2001 ketika menjadi ketua Pemuda PKR kerana mendedahkan maklumat sulit mengenai permit AP untuk import kenderaan.

Beliau merupakan individu yang terkenal dengan gerakan Reformasi selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno, sekali gus menjadi ketua Pemuda PKR.

Ezam didapati bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi pada tahun 2001 atas tuduhan terhadap AP yang dipegang oleh menteri ketika itu, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Sebaik bebas, beliau menubuhkan kumpulan anti-rasuah Gerak (Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi).

Ezam meninggalkan PKR selepas konflik dengan pembantu Anwar, Datuk Seri Azmin Ali dan menyertai Umno pada 2008, menentang Anwar.

Beliau juga dilantik sebagai Senator selama satu penggal dan menjadi pengarah komunikasi untuk Perbendaharaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger