PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau 
percaya ramai di dalam PAS yang masih bersama pakatan pembangkang 
meskipun ada pimpinan parti Islam itu yang tidak bersama daripada segi 
kerjasama dengan DAP.
Ketua pembangkang itu berkata meskipun diketahui PAS enggan 
bekerjasama dengan DAP, kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya 
umum tidak bertindih.
Bagaimanapun, katanya bagi kerusi di mana kedua-dua parti komponen 
Pakatan Harapan, PAS dan Amanah berminat untuk bertanding, rundingan 
lebih terperinci akan diadakan.
Beliau berkata Pakatan Harapan banyak belajar daripada pilihan raya 
negeri Sarawak pada Mei lalu yang menyaksikan pertandingan banyak 
penjuru dengan Barisan Nasional.
“Kita akan belajar juga daripada hasrat kita yang mendepani segala 
hasrat individu itu untuk negara. Apa yang penting sekarang ialah untuk 
pembangkang menubuhkan blok terbesar,” katanya dalam satu temu bual 
Wan Aziah berkata beliau juga percaya PAS ialah parti yang realistik 
dan ada perbezaan antara PAS Selangor dengan kepimpinan pusat parti 
Islam itu.
Beliau turut memberi contoh Naib Presiden PAS dan Exco Selangor, 
Datuk Iskandar Abdul Samad yang sebelum ini berkata DAP dan PAS masih 
boleh duduk sekali di negeri itu walaupun PAS mengeluarkan kenyataan 
tidak boleh bekerjasama.
“Tetapi apabila datang kepada fungsi kuasa, saya kira PAS tahu dan 
juga mahukan tahap kerjasama tertentu dengan PKR sebagai orang tengah. 
Walaupun Selangor ini unik sikit sebab ada Amanah. Saya kira boleh 
diusahakan lagi,” katanya.
Baru-baru ini, Mursyidul Am PAS yang baru dilantik, Hashim Jasin 
berkata parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP lagi dan sanggup 
berdepan pertembungan 3 penjuru dengan parti pembangkang serta BN dalam 
PRU14.
Hashim berkata kerjasama dengan PKR dan Amanah akan hanya diputuskan 
pada mesyuarat PAS Pusat pada 22 hingga 23 Oktober depan di ibu 
pejabatnya, di mana jawatankuasa itu juga akan membentangkan kajian 
kerjasama politik dengan parti pembangkang.
Wan Azizah: Ramai orang PAS masih bersama pakatan pembangkang
Written By Wadah Baru on Sabtu, 15 Oktober 2016 | 9:15 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 ulasan:
Catat Ulasan