AMPANG - Bekas Exco Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen yang sebelum ini digantung keahliannya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.
Pengumuman tersebut dibuat dalam sidang media di sebuah hotel di sini yang turut disertai 28 bekas pemimpin cawangan Umno juga mengumumkan keluar parti.
Menurut Mohd Rafiq, keputusan tersebut dibuat mereka setelah hilang kepercayaan terhadap Umno dam kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kami yakin telah ramai ahli dan kepimpinan Umno terutama di akar umbi hilang kepercayaan kepada Umno kerana matlamat perjuangan yang tidak lagi meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
"Pengumuman ini selaras dengan cabaran beberapa pemimpin Umno meminta ahli yang tidak lagi menyokong Presiden Umno agar segera tinggalkan parti," katanya.
Menurut beliau, ahli-ahli Umno yang keluar parti hari ini bebas menentukan platform perjuangan mereka selepas ini.
"Ada yang sudah tinggalkan Umno lebih awal dan sertai Parti Bersatu. Saya tidak akan memaksa mereka.
"Saya sendiri sebagai orang Melayu akan memilih parti yang memperjuangkan bangsa saya tanpa meminggirkan bangsa lain. Buat masa ini, saya cenderung ke arah Bersatu tetapi belum menyertai secara rasmi," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan