Pas menjadikan hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
dengan Amanah dan DAP sebagai alasan untuk melambat-lambatkan rundingan
dengan Bersatu.
Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir berkata, Amanah tidak
mempunyai masalah jika Pas ingin menyertai Pakatan Harapan malah
bersedia mengadakan rundingan jika terdapat pertindihan kerusi.
Bagaimanapun katanya, kerjasama itu sukar dilakukan kerana Pas
langsung tidak boleh menerima kewujudan Amanah apatah lagi mahu
menjalinkan kerjasama politik.
"Amanah tak ada masalah langsung (dengan Pas) cuma sekarang ini Pas sebut nama kami pun tak nak. Dia sebut PAN, PAN.
"Sebut nama pun tak mahu kalau mengigau malam dengan Amanah ini
agaknya igauan yang menggerikan. Kita tak ada masalah. Ibarat orang
bercerai, dah bercerai sudahlah. Kita kahwin baru, dapat isteri baru,
suami baru, peristiwa lepas lupakanlah," katanya dalam sidang media di
Wisma Amanah, Jalan Kuching, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita mengenai sikap
Bersatu yang masih terbuka dengan Pas walaupun parti Islam itu kelihatan
tidak mahu meneruskan rundingan kerana Bersatu mempunyai hubungan
dengan Amanah dan DAP.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, Pas mesti menyatakan pendirian yang
jelas sama ada mahu bersama pembangkang atau Umno-BN dalam menghadapi
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Kalau ditakdirkan dalam seminggu dua ini Pas mengubah fikiran sama
ada mahu bersama pembangkang atau bersendirian, mereka kena pilh
betul-betul.
"Kalau nak jadi parti mesra BN kena umum, senang rakyat tak pening.
Tapi kalau buat keputusan kena bersama pembangkang sebab masih sebuah
parti pembangkang dan kalau ingin menyertai Pakatan Harapan kita akan
berunding bersama empat parti ini sekali lagi. Kalau ada pertindihan
kerusi dan sebagainya kita bersedia bincang," katanya.
Senada dengan Mahathir
Namun katanya Amanah juga senada dengan Pengerusi Bersatu Tun Dr
Mahathir Mohamad yang berkata beliau ‘tidak akan cium kaki pemimpin
Pas’.
Anuar berkata, Mahathir mungkin berkecil hati dengan Pas sehingga membuat kenyataan demikian.
"Mungkin Dr Mahathir kecil hati kerana hubungan dia dengan Pas dah
lama, bukannya baru. Pas kena hormat juga Mahathir sebagai mantan
perdana menteri," katanya.
Mahathir semalam berkata, tempoh sebulan yang diberikan kepada Pas
untuk membuat keputusan sama ada mahu bersama pakatan pembangkang bagi
menghadapi PRU14 sudah mencukupi.
"Kami telah cuba untuk menyelesaikan (kebuntuan) ini. Kami amat
bersabar. Kami tidak berkata apa-apa yang buruk tentang Pas. Kami telah
melakukan segala yang mungkin.
"Apa lagi boleh kita lakukan. Saya tidak mahu merangkak dan mencium kaki pemimpin Pas. Cukuplah," kata Mahathir.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka memberikan penjelasan berhubung kerjasama politik dengan Bersatu Jumaat ini
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan
tersebut akan ditentukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
“Saya mengetuai pertemuan dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri
Mukhriz Mahathir awal bulan lalu dan seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja Pas
Pusat perlu mendengar sendiri penjelasan
Presiden parti sekali gus
membuat keputusan mengenai perkara itu," katanya seperti dipetik Utusan
Malaysia.
Pas jadikan Amanah, DAP alasan lengahkan rundingan dengan Bersatu
Written By Wadah Baru on Rabu, 15 Februari 2017 | 4:06 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan