Home » , » PAS mungkin perlu bergabung Umno pertahan Kelantan

PAS mungkin perlu bergabung Umno pertahan Kelantan

Written By Wadah Baru on Khamis, 2 Februari 2017 | 12:32 PTG

Oleh Liew Chin Tong
 
Adakah kerajaan PAS benar-benar kukuh di Kelantan? Adakah Umno bersedia merampas semula negeri itu? Atau adakah bakal wujud kerajaan baru di Kelantan dalam bentuk Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada pilihan raya umum yang akan datang?

Setelah lebih 20 kali lawatan saya ke Kelantan sejak 1993, termasuk untuk beberapa penyelidikan lapangan bagi menyempurnakan tesis ijazah saya mengenai PAS di antara 2002 dan 2004, saya sentiasa kagum dengan kecanggihan politik orang Kelantan.

Rakyat Kelantan memilih pentadbiran PAS berturut-turut antara 1959 dan 1978, serta sekali lagi mulai 1990 sehingga hari ini. Sentimen kewilayahan Kelantan yang berkait rapat dengan politik persekutuan adalah faktor penting bagi pengundi Kelantan sejak dahulu hingga sekarang.

Dalam semua pilihan raya umum sejak kembali berkuasa pada 1990, kehadiran Datuk Nik Aziz Nik Mat – seorang ulama yang tegas dalam sikap rendah dirinya – menjadi faktor positif berterusan untuk PAS. Malangnya, ulama bijaksana ini tiada lagi bersama kita, sejak 2015.

Keunikan Kelantan termasuklah kekuatan rakyatnya menolak “momok Cina” ciptaan Umno yang tidak masuk akal itu. Malah, cerita “takut dengan DAP” yang sering menjadi senjata ampuh Umno di banyak kawasan majoriti Melayu, tidak pernah berkesan di negeri Cik Siti Wan Kembang kerana orang Kelantan mempunyai keyakinan diri lebih tinggi.

Bagaimanapun, dalam keadaan di mana PAS dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Umno sejak kebelakangan ini, manakala Umno buntu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang semakin tidak popular, PAS kini dilihat semakin hilang kekuatan kewilayahan atau anti-persekutuan di mata ramai rakyat Kelantan.

Ramai rakyat Kelantan berhijrah dan menetap di Lembah Klang, tetapi mereka masih mengundi di kampung halaman mereka. Kalangan penyelidik percaya lebih 20% pengundi Kelantan tinggal di luar Kelantan. Biasanya, mereka mengundi mengikut peralihan cita rasa nasional – yang pada masa ini tidak memihak kepada Najib dan sesiapa yang bersekutu dengan perdana menteri.

Oleh itu, mitos PAS boleh menjadi penentu politik negara, sebagai satu kuasa ke-3, terutamanya kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang perlu dikaji semula. Entah bagaimana kalangan pemerhati politik melihat kekuatan PAS di Kelantan tanpa banyak penelitian mendalam.

Kajian yang lebih teliti sebenarnya mendedahkan senario sangat berbeza, mungkin juga mengejutkan sesetengah orang. Dalam persaingan untuk menguasai Dewan Undangan Negeri Kelantan pada pilihan raya umum akan datang, PAS berada dalam kedudukan kabur untuk menyerlahkan kuasa ketiganya. Malah, PAS mungkin terpaksa membentuk satu pakatan pilihan raya dengan Umno di Kelantan, sama ada secara sukarela atau demi kepentingan politik.

Dengan mengandaikan Amanah mampu memberi cabaran serius kepada PAS di 10 daripada 33 kerusi Dewan Undangan Negeri miliknya, manakala PPBM mampu berbuat demikian di 5 daripada 12 kawasan Dewan Undangan Negeri milik Umno, PAS dan Umno tidak boleh sewenang-wenangnya bertanding satu sama lain di mana-mana kerusi di Kelantan.

Dengan mengandaikan Amanah, PPBM dan PKR tidak bertanding menentang satu sama lain, tetapi membentuk satu gabungan mantap – melawan PAS atau Umno atau kedua-duanya, dalam pertandingan 3 atau 4 penjuru – maka pihak yang bakal rugi besar bukanlah Pakatan Harapan dan PPBM.

Jika PAS dan Umno tidak dapat mencapai satu persetujuan untuk membentuk gabungan pilihan raya dan mengambil keputusan untuk berlawan satu sama lain – sementara Pakatan Harapan dan PPBM membentuk gabungan untuk meletakkan calon tunggal di setiap kerusi – tiada siapa yang dapat meramalkan dengan tepat keputusan pilihan raya di Kelantan nanti, terutamanya bagi kerusi marginal, iaitu yang dimenangi dengan peratusan undi kecil.

Jika undi PAS dan Umno kurang 10% – kerana dikaitkan dengan Najib – dan mereka tetap mahu bertanding 3 penjuru, PAS mungkin kehilangan Kelantan, manakala Umno boleh mengucapkan selamat tinggal kepada impian mereka untuk menawan semula negeri itu.

Pada pilihan raya umum 2013, kedua-dua PAS dan PKR mendapat 425,291 undi (55.26%), manakala Barisan Nasional 343,416 undi (44.62%). PAS memenangi 32 daripada 45 kerusi DUN, manakala PKR menang DUN Guchil dengan hanya 49.9% undi.

Daripada 32 kerusi PAS, 13 dimenangi dengan kurang 55% undi. Daripada 12 kerusi Umno di DUN Kelantan, 9 dimenangi dengan kurang 55% undi.

Dalam erti kata lain, 23 daripada 45 kerusi Kelantan – lebih sedikit daripada separuh – adalah kerusi bahaya untuk kerajaan PAS, jika Pakatan Harapan dan PPBM meletakkan satu gabungan mantap, manakala Umno dan PAS berlawan satu sama lain.

Jangan sekali-kali memandang rendah kebijaksanaan pengundi Kelantan. Saya bertemu ramai orang Kelantan selama ini dan saya amat menghormati mereka. Jika berlaku perubahan cita rasa di Kelantan, PAS dan Umno terpaksa membentuk satu gabungan. Oleh itu, mitos PAS sebagai kuasa ke-3 yang kuat hanya angan-angan.

Liew Chin Tong adalah pengarah pendidikan politik kebangsaan DAP dan ahli Parlimen Kluang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger